UTM terajui Festival IDEA Johor 2025 dengan tema Komuniti Bestari Masa Depan Lestari

UTM terajui Festival IDEA Johor 2025 dengan tema Komuniti Bestari Masa Depan Lestari

Oct 4, 2025 | UTM NewsHub

JOHOR BAHRU, 4 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul sebagai peneraju utama penganjuran Festival Idea Johor (FIJ) 2025 yang berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri selama dua hari bermula 4 hingga 5 Oktober 2025.

Perasmian festival edisi sulung ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan. Penganjuran tersebut dilaksanakan selaras dengan mandat yang diberikan oleh KPT yang mengiktiraf UTM sebagai peneraju utama penganjuran Festival Idea Putrajaya 2025 di peringkat negeri Johor.

FIJ 2025 menghimpunkan penyertaan meluas daripada institusi pendidikan tinggi negeri Johor termasuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Segamat dan Pasir Gudang, Politeknik Ibrahim Sultan, Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Politeknik Mersing, Politeknik Metro Johor Bahru, Kolej Komuniti Kluang, Kolej Komuniti Bandar Penawar serta Kolej Komuniti Pasir Gudang. Kehadiran pelbagai institusi ini menyerlahkan semangat kolaborasi pendidikan tinggi Johor dalam memperkukuh ekosistem ilmu dan inovasi negeri.

Lebih daripada sekadar mempamerkan hasil penyelidikan atau inovasi universiti, FIJ 2025 direka sebagai jambatan yang menghubungkan dunia akademia dengan masyarakat, industri, agensi kerajaan dan generasi muda. Matlamatnya adalah untuk memacu inovasi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, berkata penganjuran festival bertemakan “Komuniti Bestari, Masa Depan Lestari” ini menzahirkan komitmen UTM dalam menterjemahkan penyelidikan dan teknologi kepada penyelesaian berimpak tinggi untuk komuniti.

“Festival Idea Johor 2025 bukan sekadar pameran idea, tetapi wahana untuk mencipta impak langsung kepada masyarakat, khususnya golongan B40, ibu tunggal, usahawan mikro dan kecil, anak-anak orang asli, pelajar serta para belia. Melalui teknologi baharu, peluang keusahawanan dan jaringan kolaborasi, kita bersama-sama meningkatkan taraf hidup rakyat serta mengukuhkan daya saing negeri Johor,” katanya.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim ketika menyampaikan ucapan di Festival Idea Johor (FIJ) 2025

Dalam pada itu, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman menegaskan bahawa FIJ 2025 bukan sekadar sebuah festival, tetapi merupakan platform pemangkin idea baharu untuk menjana penyelesaian kepada cabaran semasa, memperkukuh jaringan kolaborasi dan memperhebatkan budaya inovasi di Wilayah Selatan.

“Apabila kerajaan, industri, akademia, komuniti dan alam sekitar bersatu, maka lahirlah medan yang subur untuk melahirkan idea, inovasi dan kreativiti demi kemajuan negeri Johor dan negara. FIJ 2025 membuktikan dasar yang dirangka bukan sekadar di atas kertas, tetapi diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat,” jelas beliau.

Beliau turut menambah bahawa festival ini menggarap aspirasi Malaysia MADANI dengan mendekatkan universiti kepada komuniti, merakyatkan ilmu pengetahuan serta memacu teknologi yang inklusif dan bermanfaat untuk semua lapisan masyarakat.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan ketika menyampaikan ucapan perasmian

Pelbagai pengisian kreatif dan interaktif turut disajikan sepanjang festival. Antaranya ialah pertunjukan fesyen bertemakan “Rentak Budaya dalam Alunan Fesyen” oleh Politeknik Ibrahim Sultan yang menggabungkan elemen tradisional dengan rekaan kontemporari. Aktiviti seni kreatif turut diperiahkan dengan persembahan face painting bertema “Ink, Shine & Drama – Pop Art Comic Glamour” hasil kreativiti pelajar politeknik berkenaan.

Empat program flagship Nexus Care pula diketengahkan sebagai inisiatif utama dalam memperkasa komuniti melalui ilmu, pendidikan, teknologi dan kemahiran. Program tersebut termasuk penyampaian Sijil Latihan Kemahiran KTP Nexus kepada 30 ibu tunggal dan wanita B40 bagi meningkatkan ekonomi keluarga; KTP Nexus Remaja yang menyokong pembangunan pendidikan dan sahsiah lebih 100 pelajar B40 serta anak yatim daripada lima sekolah sekitar UTM; Rocket to Fluency yang menggunakan pendekatan interaktif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui permainan bahasa, penguasaan kosa kata dan Fun English Learning with MyLine; serta Robotics for All yang memberi pendedahan awal kepada teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI) sekali gus menyemai minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM).

Sempena festival ini, FIJ 2025 turut memperkenalkan Anugerah Ikon Komuniti sebagai tanda penghargaan kepada individu dan kumpulan yang aktif, konsisten serta memberi sumbangan bermakna melalui kerjasama bersama UTM dalam pembangunan masyarakat. Anugerah tersebut diberikan kepada Komuniti Pangsapuri Kenari, Kangkar Pulai. Sementara itu, Anugerah Rakan Strategik Libat Sama Komuniti 2025 pula diserahkan kepada Far East Planet Enterprise sebagai pengiktirafan kepada sokongan berterusan mereka dalam mengangkat kesejahteraan komuniti.

Komuniti Pangsapuri Kenari, Kangkar Pulai menerima Anugerah Ikon Komuniti sempena FIJ 2025
Far East Planet Enterprise diumumkan sebagai penerima Anugerah Rakan Strategik Libat Sama Komuniti 2025

Majlis ini turut menyaksikan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM bersama komuniti Koperasi Hybrid Selatan Berhad yang diwakili oleh Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM bersama Zulikram Ramli, Pengerusi komuniti koperasi tersebut.

Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad bersama Zulikram Ramli ketika sesi pertukaran MoU

Selain itu, satu lagi sesi pertukaran surat kerjasama diadakan antara UTM bersama 36Five X Sdn. Bhd. Kerjasama strategik ini menjadi simbolik kepada jalinan erat dalam memanfaatkan kepakaran dan fasiliti kedua-dua pihak, khususnya dalam bidang akademik, komuniti, penyelidikan, inovasi serta pemindahan ilmu. Usahasama ini juga akan menggalakkan penggunaan kemudahan bertaraf antarabangsa di EduCity Sports Complex oleh warga UTM. Penyerahan dokumen kerjasama ini disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md Ilias bersama Pengarah 36Five X Sdn. Bhd., Mizal Saizul Ikram.

Prof. Dr. Rosli Md Ilias ketika sesi pertukaran surat kerjasama strategik bersama Mizal Saizul Ikram

Dengan dukungan padu pelbagai pihak, FIJ 2025 menyerlahkan peranan UTM sebagai peneraju inovasi, pemangkin kesejahteraan komuniti dan pemacu pembangunan lestari negeri Johor, sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap pendidikan tinggi negara.

Source: UTM NewsHub

Explore More

UTM Celebrates Major Wins at Seoul International Invention Fair 2025

SEOUL, Dec 5 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) marked an exceptional milestone at the Seoul International Invention Fair (SIIF) 2025, securing multiple international awards across diverse research fields. Hosted by the Korean Intellectual Property Office (KIPO)...

Penyelidik UTM hasilkan straw penapis air JerneH2O sebagai solusi mudah alih ketika krisis

Kesukaran mendapatkan sumber air bersih ketika bencana alam, khususnya banjir besar yang sering melanda negara, menjadi pencetus kepada sebuah inovasi penting daripada sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Situasi getir yang menyaksikan ribuan...

Keberangkatan Tunku Panglima Johor, Tunku Putera Johor meriahkan Motorsports Talk di UTM

JOHOR BAHRU, 4 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima keberangkatan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, serta YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor, dalam program Motorsports Talk with JMR...

MJIIT Students Sweep Top Awards in Japanese Speech and Skit Contests, Set to Represent Malaysia in Japan 2026

MJIIT Students Shine in National Japanese Competitions: Excellence Award at AEON 1% Club Speech Contest & First Place at JFKL Skit Contest 2025 KUALA LUMPUR, Dec 3 – Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) students continue to excel at the...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index

UTM Open Day