Diuji masalah kesihatan, ikon hafiz UTM tamat PhD dengan cemerlang

Diuji masalah kesihatan, ikon hafiz UTM tamat PhD dengan cemerlang

Nov 16, 2025 | UTM NewsHub

JOHOR BAHRU, 16 Nov. – Pada Majlis Konvokesyen ke-69 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kisah kejayaan Muhammad Dhiauddin Ahmad Termizi, 29, menjadi bukti bahawa kekurangan fizikal bukan halangan untuk mencapai puncak kejayaan.

Walaupun berdepan dua ujian kesihatan utama iaitu kehilangan pendengaran sebelah telinga dan gangguan suara kronik, beliau tetap berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pendidikan. Ketabahan dan kebergantungan kepada Allah SWT menjadi kekuatan yang membawanya melangkah hingga ke pentas konvokesyen.

Anak jati Temerloh, Pahang ini merupakan anak sulung daripada tujuh beradik dan dibesarkan dalam keluarga pendidik, dengan kedua-dua ibu bapanya bekerja sebagai guru. Sejak kecil, atmosfera ilmu dan disiplin membentuk wataknya.

“Saya melihat sendiri bagaimana ibu bapa tidak pernah jemu mengajar. Dari situ saya belajar bahawa ilmu adalah amanah yang perlu dijaga dan disampaikan,” katanya.

Perjalanan akademiknya penuh kecemerlangan. Beliau memulakan pendidikan di Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Felda Purun dan memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian di Maahad Tahfiz Pekan di bawah kelolaan Sultan Pahang dan meraih keputusan 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR). Pada peringkat menengah atas, beliau meneruskan pengajian di Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan sekali lagi membuktikan keupayaan luar biasanya apabila memperoleh 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tanda keseimbangan antara akademik dan hafazan.

Selepas menamatkan Sijil Tahfiz al-Quran di Darul Quran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau menyambung ke peringkat A-Levels di International Islamic School Malaysia (IISM) sebelum kembali ke UTM untuk melengkapkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan kepujian kelas pertama.

Pencapaian ini membuka peluang fast-track kedoktoran, membolehkan beliau terus menjejakkan kaki ke pengajian PhD tanpa melalui peringkat sarjana.

Namun, detik menuju PhD menjadi getir apabila kesihatan mula menguji. Gangguan suara yang dialaminya menghalang beliau berkomunikasi dengan jelas, sekali gus menyukarkan perbincangan bersama penyelia, rakan penyelidik dan responden.

Sebagai seorang hafiz, ujian itu lebih pedih apabila beliau tidak lagi mampu mengulang hafalan seperti dahulu. Dalam kesakitan itu, beliau perlu berulang-alik menjalani rawatan dan pembedahan sambil memastikan penyelidikan tetap berjalan.

Dr. Dhiauddin selepas menjalani pembedahan sebagai sebahagian daripada proses rawatan gangguan suara

“Ujian ini mengajar saya bahawa rezeki bukan hadir melalui suara yang lantang tetapi melalui usaha dan ketentuan Allah SWT. Penyakit ini melemahkan suara, namun ia menguatkan jiwa,” katanya tenang.

Penelitiannya bertajuk Penilaian Ciri Quranik Berdasarkan Dimensi Konteks, Input, Proses dan Produk di Sekolah Menengah Imtiaz Terengganu, menggabungkan pendekatan sains pendidikan moden dengan nilai-nilai Islam.

Kajian itu bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan pendidikan tahfiz di Malaysia tetapi juga menghubungkan metodologi akademik dengan tradisi keilmuan al-Quran.

Pemilihannya terhadap bidang pendidikan Islam berakar daripada jati dirinya sebagai hafiz.

“Saya datang daripada bidang kejuruteraan, tetapi hati saya tidak pernah jauh daripada dunia tahfiz. Bila diuji dengan sakit suara, saya anggap itu sebagai petunjuk untuk kembali menyumbang kepada bidang yang lebih dekat dengan jiwa,” ujarnya.

Dhiauddin turut menzahirkan penghargaan terhadap mentornya, Dr. Muhammad Talhah Jima’ain, yang menjadi inspirasi dalam melihat ilmu sebagai medium dakwah dan pembinaan masyarakat. Pengalaman menyertai pertandingan hafazan 30 juzuk peringkat kebangsaan pada 2019 turut membentuk pandangannya terhadap definisi kecemerlangan.

“Saya melihat anak-anak muda yang cemerlang dalam akademik dan hafazan. Dari situ saya mahu mengkaji secara ilmiah bagaimana kecemerlangan Quranik boleh dibangunkan dalam sistem pendidikan moden,” katanya.

Kini, meskipun belum berkhidmat secara tetap, beliau aktif menyumbang sebagai pensyarah sambilan, guru tahfiz, imam, tutor dan pendidik al-Quran. Baginya, keberkatan ilmu bukan terletak pada jawatan tetapi pada sejauh mana ia dapat dimanfaatkan. Beliau percaya bahawa ilmu yang diamalkan adalah bentuk keberkatan sebenar. Antara prinsip hidup yang menjadi panduan beliau ialah

“Ilmu itu amanah, niat menentukan ringan atau beratnya langkah, dan istiqamah lebih utama daripada laju.”

Dr. Dhiauddin bersama keluarga yang menjadi tulang belakang dalam perjuangannya

Bagi Dr. Dhiauddin, kejayaan bukan sekadar sebuah gelaran akademik. Ia adalah kesedaran tentang makna perjuangan ilmu.

“Saya mahu generasi muda faham bahawa ilmu bukan hanya tangga dunia tetapi jalan menuju Allah. Jika langkah sedikit perlahan, jangan risau. Yang penting jangan berhenti,” katanya.

Beliau turut menitipkan nasihat kepada para pelajar dan graduan agar tidak gentar menghadapi cabaran.

“Setiap kelewatan ada hikmah dan setiap kegagalan ada pelajaran. Langkah kecil yang ikhlas lebih bermakna daripada lompatan besar yang kosong,” katanya lagi.

Mengakhiri kisahnya, Dr. Dhiauddin merakamkan penghargaan kepada ibu bapanya, yang menjadi inspirasi sejak kecil, isterinya yang setia memberi kekuatan, para penyelia dan pensyarah UTM, serta rakan-rakan seperjuangan yang tidak pernah jemu memberikan sokongan.

“Segala kejayaan ini hadir kerana Allah meminjamkan saya kekuatan melalui doa dan kasih mereka,” katanya sebak.

Kisah Dr. Muhammad Dhiauddin Ahmad Termizi bukan sekadar cerita kejayaan akademik tetapi kisah ketabahan, kesabaran dan keimanan. Dari hilangnya suara, lahir suara hati yang jauh lebih kuat, menyeru agar manusia tidak berputus asa dalam menuntut ilmu dan mengejar redha Allah.

Source: UTM NewsHub

Explore More

UTM–Infineon Strategic Partnership Paves the Way for Future-Ready AI and Semiconductor Innovation

KUALA LUMPUR, 8 Dec – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) and Infineon Technologies Asia Pacific Pte. Ltd. strengthened their long-standing collaboration today with the signing of a Memorandum of Agreement (MoA) and the official launch of the UTM–Infineon Innovation...

Pelajar Johor rangkul tiga anugerah antarabangsa di Korea dengan filamen dari sisa nanas

JOHOR BAHRU, 8 Dis – Bermula dengan sebuah projek bekas makanan daripada sisa nanas, sekumpulan pelajar dari SMK Tan Sri Mohamad Rahmat kini mencipta sejarah apabila berjaya mengharumkan nama Johor dan Malaysia di pentas antarabangsa melalui inovasi filamen pencetak...

Lima atlet UTM galas tanggungjawab negara wakili Sukan SEA Thailand 2025

BANGKOK, 8 Dis – Sukan SEA 2025 edisi ke-33 yang merupakan temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara bakal berlangsung dari 9 hingga 20 Disember 2025 di Thailand, negara yang sinonim dengan jolokan Gajah Putih. Sebanyak 11 negara ASEAN mengambil bahagian iaitu...

UTM 2u2i: Celebrating Industry Partners, 100% GE, and Rising Premium Salaries

KUALA LUMPUR, Dec 6 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM), through its Faculty of Computing, successfully organized the 2u2i Appreciation Night to honor the strong partnerships that have shaped the success of the UTM 2u2i programme, Bachelor of Computer Science (Data...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index

UTM Open Day