Empat Pegawai FGV Palm Industries Raih MBA, Perkukuh Modal Insan Industri Sawit Negara

Empat Pegawai FGV Palm Industries Raih MBA, Perkukuh Modal Insan Industri Sawit Negara

Nov 16, 2025 | UTM NewsHub

JOHOR BAHRU, 16 Nov. – Empat pegawai kanan FGV Palm Industries Sdn. Bhd. melakar sejarah peribadi dan profesional apabila berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kejayaan mereka bukan sahaja menjadi bukti ketekunan dan iltizam peribadi, malah mencerminkan komitmen FGV Palm Industries dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan serta kepimpinan strategik dalam industri sawit negara.

Mereka ialah Mohd Wafi Abd. Rahim, Ketua Unit Belanjawan dan Perancangan, Jabatan Khidmat Korporat; Ts. Rosliezan Md Hussain, Ketua Jabatan Perolehan; Hazrin Ab Dulhamid, Regional Controller, Wilayah 4; dan Raja Mohd Adzlan Raja Adanan, Deputy Regional Controller, Wilayah 4.

Keempat-empat pegawai ini telah berkhidmat lebih sedekad bersama FGV Palm Industries dan menjadi antara tonggak penting dalam operasi serta tadbir urus syarikat.

Atas keyakinan terhadap kemampuan mereka, syarikat menawarkan peluang melanjutkan pengajian MBA di UTM sebagai langkah strategik yang diyakini mampu membuka ruang lebih luas kepada pembangunan profesional, kematangan kepimpinan dan peningkatan prestasi organisasi.

“Pada awalnya, memang agak berat. Kami sudah berkeluarga, ada anak-anak, dan pada masa sama memikul tanggungjawab kerja sepenuh masa. FGV Palm Industries menguruskan 63 kilang minyak sawit di seluruh Malaysia dan merupakan pengeluar minyak sawit terbesar dunia, jadi komitmen kerja sangat besar,” kata Mohd Wafi ketika ditemui.

Hubungan akrab mereka menjadi pemangkin utama dalam meneruskan pengajian secara konsisten sepanjang dua tahun

Walaupun berdepan tempoh pengajian yang menuntut disiplin tinggi, mereka berjaya membahagikan masa antara kelas, tugasan, kerja dan keluarga.

Menurut mereka, kejayaan ini bertitik tolak daripada komitmen yang tidak berbelah bahagi, sokongan pasangan masing-masing serta keyakinan penuh syarikat.

Semangat saling membantu antara rakan sekerja turut menjadi penyokong utama sepanjang dua tahun mereka menuntut ilmu di UTM.

“Program MBA UTM selama dua tahun ini bukan sekadar akademik, malah bersifat praktikal dan terus boleh diaplikasikan dalam operasi harian syarikat,” ujar Wafi. Beliau menjelaskan bahawa modul-modul yang dipelajari memberikan impak langsung kepada proses kerja dan keputusan strategik di FGV Palm Industries.

Malah, pengalaman sepanjang pengajian mendorong mereka memperkenalkan program AI Champions di syarikat, satu inisiatif yang kini memberi manfaat kepada lebih 650 kakitangan pentadbiran.

Usaha itu dijalankan sebagai langkah memperkasa penggunaan teknologi kecerdasan buatan dalam proses pentadbiran bagi meningkatkan kecekapan dan ketepatan tugasan.

Empat pegawai ini turut merancang untuk mengintegrasikan lebih banyak pengetahuan dan kemahiran daripada modul MBA ke dalam sistem kerja FGV Palm Industries agar produktiviti, daya saing dan keberkesanan operasi syarikat terus ditingkatkan.

Antara kenangan paling manis sepanjang pengajian ialah kerjasama erat sesama mereka. Sifat saling membantu dalam menyiapkan tugasan dan ulang kaji menjadikan perjalanan pengajian lebih teratur dan menyeronokkan.

Sokongan rakan sekelas turut menjadi elemen penting yang memupuk suasana pembelajaran positif dan kondusif.

Pensyarah UTM pula disifatkan sebagai berwibawa, berpengalaman serta sentiasa peka kepada pendekatan pengajaran semasa.

Sistem pembelajaran yang interaktif dan mesra pengguna membantu mereka menyesuaikan diri dengan cepat walaupun terikat dengan tuntutan kerja dan keluarga.

Sebagai pesanan kepada para profesional lain, Wafi menegaskan bahawa pembelajaran adalah proses yang tidak pernah berhenti. “Jangan takut atau ragu-ragu untuk sambung belajar. Bahagikan masa dengan bijak dan berikan komitmen sepenuhnya. Percayalah, ia bukan beban tetapi satu kelebihan,” katanya.

Beliau sendiri tidak pernah terlepas satu pun kelas, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian, sepanjang dua tahun pengajian.

Bagi beliau, ketekunan itu hanya dapat dicapai melalui sokongan pasangan dan keluarga serta kesungguhan untuk menyeimbangkan kerjaya dan akademik.

Kisah kejayaan ini bukan sekadar mengenai segulung ijazah. Ia adalah cerita tentang iltizam, pengorbanan dan transformasi.

UTM berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka, menyaksikan bagaimana ilmu yang diperoleh diterjemahkan terus ke dalam tindakan yang memberi impak besar kepada sektor perindustrian negara dan masa depan kepimpinan dalam industri sawit.

Source: UTM NewsHub

Explore More

Pelajar Johor rangkul tiga anugerah antarabangsa di Korea dengan filamen dari sisa nanas

JOHOR BAHRU, 8 Dis – Bermula dengan sebuah projek bekas makanan daripada sisa nanas, sekumpulan pelajar dari SMK Tan Sri Mohamad Rahmat kini mencipta sejarah apabila berjaya mengharumkan nama Johor dan Malaysia di pentas antarabangsa melalui inovasi filamen pencetak...

Lima atlet UTM galas tanggungjawab negara wakili Sukan SEA Thailand 2025

BANGKOK, 8 Dis – Sukan SEA 2025 edisi ke-33 yang merupakan temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara bakal berlangsung dari 9 hingga 20 Disember 2025 di Thailand, negara yang sinonim dengan jolokan Gajah Putih. Sebanyak 11 negara ASEAN mengambil bahagian iaitu...

UTM 2u2i: Celebrating Industry Partners, 100% GE, and Rising Premium Salaries

KUALA LUMPUR, Dec 6 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM), through its Faculty of Computing, successfully organized the 2u2i Appreciation Night to honor the strong partnerships that have shaped the success of the UTM 2u2i programme, Bachelor of Computer Science (Data...

UTM secures its 5th consecutive win at the NI Autonomous Robotics Competition 2025

NIBONG TEBAL, Dec 6 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) achieved another milestone by securing its fifth consecutive championship at the NI Autonomous Robotics Competition (NI ARC) 2025, held on 6 December 2025 at Dewan Utama, USM Engineering Campus, Nibong Tebal,...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index

UTM Open Day