Kolaborasi universiti dan industri hasilkan produk simen mesra alam di Kajang

Kolaborasi universiti dan industri hasilkan produk simen mesra alam di Kajang

Nov 23, 2025 | UTM NewsHub

KAJANG, 24 Nov – Program perpindahan ilmu berkonsep kelestarian, ECOSTONE: Empowering Communities Through Sustainable Cement Crafting, telah berjaya dilaksanakan pada 22 dan 23 November 2025 di Surau Al-Amin, Desa Mahkota, Kampung Sungai Kembung Hilir, Kajang.

Program dua hari ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Yayasan Canselor UNITEN (YCU), dan IJM Toll Division, dengan matlamat membekalkan kemahiran praktikal kepada komuniti setempat melalui teknologi pembuatan produk simen mesra alam, dikenali sebagai ‘Simenfero’.

Seramai 45 peserta terlibat secara aktif, terdiri daripada 20 penduduk kariah Surau Al-Amin, 12 pelajar dan 10 staf UNITEN, serta tiga orang awam dari kampung bersebelahan. Program ini dirangka untuk memindahkan ilmu dan teknologi pembuatan Simenfero daripada pakar universiti kepada komuniti, di samping meningkatkan kreativiti dan inovasi peserta dalam menghasilkan produk kraf yang mempunyai nilai estetik dan potensi komersial.

Selain itu, program ini juga menekankan semangat kerjasama serta membina hubungan erat antara institusi pengajian tinggi, industri, dan komuniti tempatan. Penggunaan bahan buangan seperti habuk kayu dalam proses pembuatan Simenfero turut memperlihatkan komitmen program terhadap kelestarian alam sekitar.

Peserta menyertai sesi bancuhan simen secara praktikal
Para peserta melepa simen untuk menghasilkan kerusi landskap mereka

Hari pertama program dimulakan dengan sesi pembukaan di Balairaya Desa Mahkota, diikuti taklimat keselamatan dan pengenalan mendalam tentang Simenfero oleh tenaga pengajar dari UTM. Sesi praktikal diketuai oleh Ts. Mohd Hazri Ishak dan dibantu oleh barisan pakar, termasuk Mohd Nor Azsuan Mohd Yaacob, Norlaili Abd Jalal, Sarah Nadeha Samad, Suhaini Mashuri, dan Ts. Wan Abdul Fattah Wan Abdullah.

Aktiviti praktikal bermula dengan bancuhan mortar, diikuti dengan teknik merangka produk menggunakan jaring keluli, sebelum peserta membangunkan produk Simenfero mengikut langkah-langkah yang diterangkan. Program turut menekankan kelestarian dengan penggunaan habuk kayu sebagai sebahagian daripada bahan bancuhan.

Hari kedua menyaksikan keterujaan peserta apabila mereka diberi peluang mengeluarkan produk daripada acuan sendiri. Sesi mengecat yang ceria menjadikan setiap produk lebih menarik dan berwarna-warni, menambahkan nilai estetik pada hasil kerja peserta.

Peserta gigih mengecat produk kerusi Simenfero yang telah dihasilkan
Peserta mengecat cendawan landskap Simenfero secara kreatif

Majlis penutup berlangsung di Laman Surau Al-Amin, dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Dr. Nur Liyana Mohd Kamal, Ketua Projek dari UNITEN; Harith Yaakub, Nazir Surau Al-Amin mewakili peserta; Shah Rizal Mohamed Fawzi, Pegawai Jabatan Pemantauan Konsesi dan Komunikasi Korporat, Divisyen Tol IJM; serta Ts. Mohd Hazri Ishak, Ketua Projek dari UTM.

Program ini mencatat kejayaan bukan sahaja melalui penyertaan yang tinggi, tetapi juga output fizikal yang mengagumkan. Tiga set meja landskap Simenfero lengkap dengan lima kerusi setiap satu, 20 set cendawan mini hiasan landskap, dan 10 unit slab stepping stone berjaya dihasilkan dan disumbangkan kepada Surau Al-Amin.

Setiap peserta menerima Sijil Penyertaan dan Buku Modul ‘Asas Teknologi Simenfero’ daripada UTM. Satu daripada tiga kumpulan peserta dinobatkan sebagai kumpulan terbaik berdasarkan kekemasan produk, kebersihan tempat kerja, semangat kerjasama, dan kreativiti, manakala dua kumpulan lain menerima hadiah hamper atas komitmen dan usaha mereka.

Dalam ucapan penutup, Dr. Nur Liyana Mohd Kamal menekankan kepentingan kelestarian dan pemindahan ilmu.

“Program ECOSTONE bukan sekadar mengajar kemahiran, tetapi memacu pemikiran ke arah kelestarian. Ilmu yang dipelajari diharapkan dapat diteruskan dalam komuniti, melahirkan usahawan kecil atau membolehkan penduduk memperindah persekitaran mereka sendiri.”

Sementara itu, Ts. Mohd Hazri Ishak dari UTM menekankan tentang kesinambungan.

“Kerjasama erat antara universiti, industri dan komuniti seperti ini adalah kunci kepada pembangunan negara yang seimbang. Kami di UTM berharap kerjasama seperti ini akan berterusan dan diperluas pada masa akan datang, dengan mungkin melibatkan lebih banyak kampung dan produk inovasi yang lain.”

Harith Yaakub, yang mewakili peserta, mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

“Atas nama penduduk kariah Surau Al-Amin, kami amat menghargai inisiatif ini. Kami bukan sahaja memperoleh ilmu baru yang berguna, malah surau kami kini mempunyai perabot landskap yang cantik hasil tangan kami sendiri. Ini membuktikan bahawa apabila semua pihak berganding bahu, banyak perkara hebat boleh dicapai untuk manfaat komuniti.”

Barisan pengajar program, dari kiri Ts. Mohd Hazri Ishak, Mohd Nor Azsuan, Sarah Nadeha, Dr. Nur Liyana, Norlaili Abd Jalal, Suhaini Mashuri, dan Ts. Wan Abdul Fattah

Dengan penghasilan produk landskap yang kreatif, pemberian sijil dan modul, serta jalinan ukhwah yang erat antara peserta, program ECOSTONE meninggalkan impak mendalam. Program ini diharap menjadi pemangkin kepada kelestarian jangka panjang, di mana ilmu yang diperoleh boleh dikongsi kepada komuniti lain dan diaplikasikan dalam projek komuniti masa hadapan. Kejayaan kolaborasi pelbagai agensi ini juga diharapkan dapat diteruskan dalam program-program akan datang yang lebih bermakna dan melibatkan lebih ramai peserta serta inovasi baharu.

Source: UTM NewsHub

Explore More

UTM perkasa kedudukan serantau dengan penganjuran ASEAN Quantum Summit pertama

JOHOR BAHRU, 11 Dis — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) komited dalam mengukuhkan peranan sebagai peneraju inovasi serantau apabila selesai menganjurkan Majlis Perasmian ASEAN Quantum Summit 2025 di Dewan Sultan Iskandar, satu perhimpunan saintifik yang menandakan...

UTM Pioneers Region’s First ASEAN Quantum Summit

JOHOR BAHRU, Dec 11 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hosted the officiation of the ASEAN Quantum Summit 2025 at Dewan Sultan Iskandar, marking a defining step forward for Southeast Asia’s scientific and technological advancement. The ceremony, officiated by the...

From UTM Petroleum Engineering Students to Energy Industry Leaders

JOHOR BAHRU, 11 Dec — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) continues to demonstrate its strength in producing industry-ready graduates and future employers through the success of its alumni, Muhammad Al Siediq Ahnap and Izam Ikhwan Kamaruddin, co-founders of MISE...

UTM raih lima kejayaan gemilang di Majlis Anugerah MAPIM-KPT ke-16

PUTRAJAYA, 9 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti penyelidikan berimpak tinggi selepas meraih kejayaan cemerlang dalam Majlis Anugerah MAPIM–KPT Kali Ke-16 yang berlangsung di Dewan Za’aba, Kementerian Pendidikan...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index

UTM Open Day