Menjelang detik bersejarah Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-69 yang bakal berlangsung dari 15 hingga 20 November 2025, suasana kampus mula dihiasi dengan kegembiraan para graduan yang teruja melangkah ke fasa baharu kehidupan. Setelah melalui pelbagai cabaran akademik, projek penyelidikan dan pengalaman di kampus, hari konvokesyen menjadi simbol pencapaian luar biasa yang diraikan bersama keluarga, rakan dan pensyarah.
Namun, di sebalik kegembiraan itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, mengingatkan bahawa kejayaan sebenar seorang graduan bukan sahaja diukur melalui segulung ijazah, tetapi lebih mendalam iaitu sejauh mana nilai, adab dan falsafah universiti berjaya meresap ke dalam diri setiap pelajar. Beliau menegaskan bahawa kecemerlangan akademik tidak bermakna tanpa kekuatan prinsip dan karakter. Roh sebenar kecemerlangan UTM terletak pada penghayatan slogan universiti, “Kerana Tuhan Untuk Manusia,” yang menjadi panduan membentuk graduan berjiwa ihsan dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
Menurut Prof. Ts. Dr. Ali, slogan ini bukan sekadar lafaz simbolik yang terpampang di pintu masuk kampus, tetapi merupakan falsafah hidup yang membimbing warga universiti memahami tujuan ilmu dan peranan mereka sebagai penyebar manfaat.
“Segala usaha menuntut ilmu, berfikir, mencipta dan berkhidmat perlu dilakukan dengan niat suci kerana Tuhan, dan natijahnya harus memberi manfaat kepada manusia sejagat,” jelas beliau.
Prof. Ts. Dr. Ali Selamat
Beliau menekankan bahawa mahasiswa dan graduan UTM harus menjadikan slogan ini sebagai kompas moral dan spiritual yang memastikan kecemerlangan akademik seiring dengan keutuhan nilai, adab dan kematangan sahsiah. Dalam era global yang semakin mencabar dan kompleks, graduan bukan sahaja perlu menguasai kepakaran teknikal tetapi juga kebijaksanaan intelektual untuk membuat pilihan beretika serta membentuk masyarakat progresif dan konstruktif.
Gerbang Pintu Masuk UTM
Prof. Ts. Dr. Ali menjelaskan bahawa pengamalan nilai ini memerlukan keseimbangan antara ilmu, iman dan ihsan. Ilmu menjadikan seseorang berpengetahuan, iman memberikan prinsip dan pedoman, manakala ihsan memastikan tindakan manusia disertai empati, belas ihsan dan keinsafan terhadap tanggungjawab sosial. Gabungan ketiga-tiga unsur ini membentuk graduan UTM yang bukan sahaja mampu bersaing di peringkat global, tetapi juga membawa nilai kemanusiaan sejagat ke mana sahaja mereka pergi.
Prof. Ts. Dr. Ali bersama para graduan MJIIT UTM (Kredit : MJIIT)
Beliau turut mengajak seluruh pelajar dan graduan menghayati slogan ini dengan menjadikan nilai-nilai insani dan ketuhanan sebagai asas setiap tindakan. Menuntut ilmu mesti dilakukan dengan niat ikhlas kerana ilmu adalah amanah yang perlu dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat. Ilmu tidak seharusnya dijadikan alat untuk mengejar pangkat atau kepentingan peribadi semata-mata, tetapi untuk menyelesaikan masalah masyarakat, meningkatkan taraf hidup rakyat dan memperkasa pembangunan negara.
Dalam konteks ini, graduan UTM diharap mampu membawa perubahan melalui inovasi beretika, penyelesaian masalah berasaskan ilmu, serta penyertaan aktif dalam pembangunan masyarakat. Sama ada melalui usaha keusahawanan, penyelidikan, advokasi sosial atau perkhidmatan awam dan swasta, graduan perlu tampil sebagai individu yang peduli dan sentiasa memberikan khidmat terbaik.
Perarakan masuk pengurusan tertinggi Universiti ke dalam Dewan Sultan Iskandar (DSI)
Beliau juga menegaskan bahawa semangat “Untuk Manusia” tidak dapat dirasai sepenuhnya tanpa membina jati diri yang terbuka, beradab dan menghormati perbezaan. Dalam dunia yang berbilang budaya, agama dan ideologi, keterbukaan dan toleransi adalah kunci kepada keharmonian dan kestabilan sosial. Nilai ini juga menjadi bukti ketamadunan seseorang, dan UTM sentiasa menekankan pembentukan pelajar matang dari segi pemikiran, beradab dalam tutur kata dan bijaksana dalam membawa diri.
Bagi memastikan pelajar dan graduan terus berkembang pada era pasca universiti, Prof. Ts. Dr. Ali menekankan kepentingan penambahbaikan diri secara berterusan atau falsafah Jepun, kaizen. Konsep ini bukan sekadar peningkatan proses industri, tetapi satu falsafah hidup yang mendorong seseorang menjadi lebih baik setiap hari. Melalui budaya kaizen, graduan akan memperkukuh kemahiran, nilai dan kecekapan untuk menghadapi dunia pekerjaan yang sentiasa berubah.
Prof. Ts. Dr. Ali menzahirkan keyakinan bahawa jika semua nilai ini dihayati, graduan UTM akan menjadi cerminan sebenar roh “Kerana Tuhan Untuk Manusia,” iaitu individu berilmu, beradab dan berjiwa ihsan yang mampu membawa kesejahteraan dan kemajuan kepada masyarakat, negara dan dunia. Beliau berharap para graduan terus mencerminkan nilai-nilai UTM dalam setiap langkah kehidupan mereka dan menjadi ejen perubahan yang menyumbang kepada pembangunan insan dan masa depan negara.
Oleh Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Muhamad Syafik Rahmat, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
JOHOR BAHRU, 11 Dis — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) komited dalam mengukuhkan peranan sebagai peneraju inovasi serantau apabila selesai menganjurkan Majlis Perasmian ASEAN Quantum Summit 2025 di Dewan Sultan Iskandar, satu perhimpunan saintifik yang menandakan...
JOHOR BAHRU, Dec 11 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hosted the officiation of the ASEAN Quantum Summit 2025 at Dewan Sultan Iskandar, marking a defining step forward for Southeast Asia’s scientific and technological advancement. The ceremony, officiated by the...
JOHOR BAHRU, 11 Dec — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) continues to demonstrate its strength in producing industry-ready graduates and future employers through the success of its alumni, Muhammad Al Siediq Ahnap and Izam Ikhwan Kamaruddin, co-founders of MISE...
PUTRAJAYA, 9 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti penyelidikan berimpak tinggi selepas meraih kejayaan cemerlang dalam Majlis Anugerah MAPIM–KPT Kali Ke-16 yang berlangsung di Dewan Za’aba, Kementerian Pendidikan...