GERIK, 5 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melunaskan peranannya dalam menjayakan pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI yang diperkenalkan bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan desa dan bandar, khususnya melalui usaha menaik taraf kemudahan asas, memperluas capaian Internet serta melaksanakan program pendidikan dan pembangunan sahsiah komuniti.
Kampung Angkat MADANI merupakan pendekatan “whole of government” yang berteraskan keperluan rakyat bagi memastikan setiap kampung terpilih menerima manfaat infrastruktur dan pembangunan sosioekonomi secara menyeluruh.
Pada tahun ini, pelaksanaan Kampung Angkat MADANI 2.0 diperluaskan kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Jaringan Komuniti & Industri (CCIN), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) (JTNCPI), telah memilih Kampung Plang, Gerik, Perak sebagai lokasi kampung angkat.
Program Anak Angkat MADANI 2025 berlangsung dari 6 hingga 9 Ogos 2025 dengan penyertaan pelajar, staf, dan pakar UTM bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Plang, Pejabat Daerah & Tanah Hulu Perak, serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai rakan strategik.
Program selama empat hari ini melibatkan 75 pelajar UTM dari Kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur, terdiri daripada 54 pelajar tempatan dan 19 pelajar antarabangsa. Menurut Pengarah Program, Ts. Dr. Syamsul Hendra Mahmud, penglibatan pelajar antarabangsa amat membanggakan, dengan penyertaan daripada sembilan negara iaitu India, Bangladesh, Sudan, Pakistan, Mesir, Palestin, China, Syria dan Somalia. Program ini dirangka untuk memperkasa komuniti desa melalui pendidikan, pembangunan bakat, dan pengukuhan jaringan sosial antara warga kampung dan warga UTM.
Bertemakan aspirasi MALAYSIA MADANI – Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan – program ini memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan, kepimpinan, dan bakat komuniti, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta kesejahteraan sosial. Penguasaan teknologi termasuk Kecerdasan Buatan (AI) turut diberi penekanan, selaras dengan kepakaran UTM sebagai universiti terkemuka dalam sains dan teknologi.


Sepanjang program, pelbagai aktiviti telah dijalankan, antaranya perkongsian ilmu mengenai AI, reka bentuk menggunakan Canva, asas urutan, sains dan teknologi, motivasi pendidikan, serta projek komuniti seperti UTM Reading Station, kerja pembaikan sekolah agama, dan kelas tuisyen maya.



Aktiviti berteraskan budaya turut mendapat sambutan, termasuk demonstrasi memasak lemang, peneram, cucur jawa, gotong-royong perdana, dan Karnival Sukan Rakyat MADANI 2025.


Kem Motivasi Pendidikan dan Dialog turut diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Plang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sri Wan Mohamed dengan objektif meningkatkan motivasi serta minat belajar, memperkukuh kemahiran belajar dan pengurusan masa, membentuk sahsiah positif, serta memberi hala tuju kerjaya. Sesi ini dikendalikan oleh pakar akademik UTM dengan bantuan pelajar. Selain itu, Program Perkongsian Budaya dianjurkan bagi meningkatkan kefahaman silang budaya, memberi pendedahan tentang adat, tradisi, bahasa, dan cara hidup pelbagai kaum, serta memupuk rasa saling menghormati dan toleransi.



Dalam program ini juga, pihak UTM menyampaikan 50 Pek Keperluan Asas MADANI kepada 50 keluarga terpilih menerusi Program Ziarah MADANI. Inisiatif ini melambangkan keprihatinan terhadap keluarga yang memerlukan bantuan demi kelangsungan hidup yang lebih baik. Ia bukan sekadar pemberian barangan, tetapi menyampaikan mesej kasih sayang, solidariti, dan persaudaraan, selaras dengan prinsip MADANI yang mengutamakan kesejahteraan, ihsan, dan kemampanan.


Kemuncak program ialah Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI pada 8 Ogos 2025 yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi MARA. Turut hadir ialah Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Ahli Lembaga Pengarah UTM, Dato’ Ir. Mohammed Noor Abu Hassan, pengurusan tertinggi universiti, pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, serta wakil agensi kerajaan.

Majlis penutup pada 9 Ogos menampilkan Refleksi Pengalaman oleh wakil pelajar tempatan dan antarabangsa, disusuli persembahan bakat, jamuan rakyat, dan acara sukan. Menurut Ts. Dr. Syamsul Hendra, penempatan pelajar di bawah jagaan keluarga angkat di Kampung Plang bukan sahaja memberi pendedahan kepada budaya, adat, dan makanan tempatan, malah membuka ruang untuk pelajar berkongsi ilmu dan teknologi ke desa. Hal ini selaras dengan tagline baharu UTM, “Menginovasi Penyelesaian Lestari”, serta mengeratkan hubungan ukhuwah antara universiti dan komuniti setempat ke arah membina masyarakat desa yang progresif, berdaya saing, dan sejahtera.
Source: UTM NewsHub