UTM–YPIP bimbing komuniti Iskandar Puteri kuasai kemahiran pembuatan coklat

UTM–YPIP bimbing komuniti Iskandar Puteri kuasai kemahiran pembuatan coklat

Sep 22, 2025 | UTM NewsHub

ISKANDAR PUTERI, 20 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) menganjurkan program latihan kemahiran pembuatan coklat bagi memperkasakan ekonomi komuniti wanita di sekitar Iskandar Puteri.

Seramai 30 peserta daripada komuniti setempat hadir mengikuti program sehari penuh yang berlangsung di Dewan Seminar Yayasan Penyayang Iskandar Puteri. Program ini memberi pendedahan menyeluruh bukan sahaja mengenai asas pembuatan coklat dan teknik penghasilan, malah membuka peluang untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan baharu.

Program dikendalikan oleh barisan tenaga pengajar berpengalaman iaitu Dr. Salmalina Salleh, Prof. Madya Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali, Hasnah Md Amin, Ts. Dr. Nur Hazirah Noh@Seth, Aimi Ruzaini Ahmad, dan Amira Aina Naziha. Peserta diberi penerangan teori serta berpeluang melibatkan diri secara langsung dalam bengkel praktikal, bermula daripada proses asas sehinggalah menghasilkan produk akhir yang berpotensi dipasarkan.

Demonstrasi oleh tenaga pengajar diketuai Dr. Salmalina Salleh tentang asas pembuatan coklat

Sepanjang bengkel, peserta diajar kaedah sistematik pembuatan coklat, bermula dengan penyediaan kaedah double boiler bagi mencairkan coklat secara perlahan. Coklat dipotong kecil, dipanaskan, kemudian dikacau hingga sebati untuk menghasilkan tekstur licin dan berkilat. Cecair coklat yang siap diproses dituangkan ke dalam acuan khas sebelum disejukkan di dalam peti sejuk agar terbentuk kukuh dan menarik.

Setelah dikeluarkan daripada acuan, peserta diberi ruang menghias coklat mengikut kreativiti masing-masing dengan menggunakan hiasan tambahan seperti gula warna dan kacang. Pendekatan ini memberi kefahaman menyeluruh kepada peserta tentang keseluruhan rantaian penghasilan coklat bermula daripada bahan mentah sehinggalah ke produk siap sedia dipasarkan.

Peserta program giat melakukan amali pembuatan coklat selepas demonstrasi tenaga pengajar
Hiasan turut memainkan peranan sebagai daya tarikan coklat yang dihasilkan

Majlis penutup disempurnakan oleh Setiausaha Eksekutif YPIP, YBhg. Dato’ Haji Abd Rashid bin Kasman. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan program kemahiran seumpama ini dalam meningkatkan kesejahteraan ekonomi komuniti. Menurutnya, YPIP sentiasa komited membangunkan masyarakat di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) melalui pelbagai inisiatif pembangunan kemahiran dan ekonomi tempatan.

Barisan peserta bergambar kenangan bersama tenaga pengajar dan wakil YPIP

Sementara itu, Ketua Penyelidik program di bawah geran industri UTM–YPIP, Prof. Madya Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali, menyatakan bahawa UTM sentiasa komited melahirkan lebih ramai komuniti berkemahiran selaras dengan aspirasi pembangunan Johor–Singapore Economic Zone (JSEZ).

“UTM berusaha membantu komuniti memperoleh kemahiran yang bukan sahaja meningkatkan taraf hidup, malah memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi serantau,” katanya.

Harapan turut disuarakan agar program ini menjadi pemangkin peningkatan kemahiran peserta, membuka peluang penjanaan pendapatan baharu, serta menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi keluarga. Malah, dengan sokongan berterusan pelbagai agensi dan institusi, program seumpama ini diyakini dapat diteruskan secara inklusif dan mampan.

Maklum balas daripada peserta juga amat positif. Antara yang dikongsikan termasuklah, “Tersangat gembira dan yakin membuat coklat. Nak jadikan sebagai sumber pendapatan,” dan “Saya rasa gembira menyertai program ini. Banyak ilmu yang saya pelajari hari ini tentang asas dan teknik menghasilkan coklat. Mungkin selepas ini apa yang saya belajar boleh saya jadikan satu bisnes.”

Peserta menghias coklat mengikut kreativiti masing-masing

Secara keseluruhan, program ini membuktikan kolaborasi antara universiti dan yayasan mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat melalui pendidikan kemahiran yang praktikal, relevan, serta berimpak tinggi. Sambutan positif peserta mencerminkan keyakinan mereka untuk menghasilkan coklat sendiri dan menceburi bidang perniagaan kecil berasaskan coklat, sekali gus memperkukuh usaha memperkasakan ekonomi komuniti setempat.

Source: UTM NewsHub

Explore More

UTM Hulur Sumbangan & Sokongan Kepada Bakal Mahasiswi

BATU KURAU, 25 Sept. – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, berkesempatan menziarahi Saudari Siti Nurjahirah binti Mohd Hassan di kediamannya di Redang Panjang, Batu Kurau, Perak. Beliau merupakan lepasan matrikulasi...

UTM raih Naib Johan National Energy Award 2025 melalui projek solar komuniti Orang Asli

KUALA LUMPUR, 25 Sept. – National Energy Award (NEA) yang dianjurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan kerjasama Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) telah menjadi platform berprestij sejak diperkenalkan...

UTM komited biaya pendidikan pelajar menerusi Biasiswa Endowmen

JOHOR BAHRU, 26 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperlihatkan komitmen tinggi dalam memastikan akses pendidikan yang inklusif apabila berjaya menyalurkan lebih RM4.46 juta Biasiswa Endowmen sepanjang tempoh lima tahun terkini, dari 2021 hingga 2025....

Program CBDRR Bario perkasa komuniti Kelabit urus risiko bencana

SARAWAK, 25 Sept – Program Pengurangan Risiko Bencana Berbasis Komuniti (Community Based Disaster Risk Reduction, CBDRR) berjaya dianjurkan dengan penuh meriah di Dewan Serbaguna Bario, Sarawak selama dua hari bermula 24 hingga 25 September. Program anjuran Jabatan...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index