Cabaran dan persediaan mahasiswa baharu tempuhi alam universiti

Cabaran dan persediaan mahasiswa baharu tempuhi alam universiti

Sep 29, 2025 | UTM NewsHub

Peralihan daripada matrikulasi, diploma, asasi atau sekolah ke peringkat universiti merupakan satu perubahan besar dalam kehidupan akademik pelajar. Bagi pelajar baharu, perasaan keterujaan dan kebebasan sering hadir bersama ketidakpastian serta kebimbangan tentang kemampuan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu. Proses ini boleh menjadi mencabar kerana pelajar perlu mengurus kewangan sendiri, membina rangkaian sosial dengan individu daripada pelbagai latar belakang serta mengembangkan kemahiran pembelajaran secara berdikari.

Sekiranya pelajar menghadapi kesukaran dalam mengurus cabaran ini, ia boleh menjejaskan prestasi akademik, penglibatan bersama rakan sebaya malah penyertaan dalam kursus. Oleh itu, sebagai pensyarah, amat penting untuk memahami situasi pelajar dan menyediakan sokongan yang sesuai sejak awal perjalanan akademik agar pengalaman pembelajaran mereka lebih positif dan berkesan.

Pertama sekali, pelajar baharu perlu bersedia dari segi mental dan emosi sebelum melangkah ke alam universiti. Peralihan daripada persekitaran sekolah atau kolej ke universiti membawa cabaran yang unik, termasuk berpisah buat pertama kali daripada keluarga dan rakan rapat. Bagi sesetengah pelajar, perasaan rindu rumah (homesickness) boleh muncul lalu menyebabkan pelajar merasa terasing atau cemas pada awal pengajian.

Adalah penting bagi pelajar memahami bahawa perasaan ini adalah normal dan bersifat sementara. Ia biasanya berkurangan selepas beberapa minggu atau bulan apabila mereka mula menyesuaikan diri dengan rutin baharu, mengenali rakan sekelas dan membiasakan diri dengan persekitaran kampus. Strategi untuk mengatasi homesickness termasuk menetapkan jadual rutin, melibatkan diri dalam aktiviti sosial dan berkomunikasi secara berkala dengan keluarga.

Selain itu, teknologi moden memudahkan pelajar untuk kekal berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan, walaupun berada jauh di negeri lain. Aplikasi seperti panggilan video, mesej segera dan media sosial membolehkan pelajar mengekalkan sokongan emosi tanpa perlu pulang ke kampung setiap minggu. Pelajar juga digalakkan merancang cuti semester untuk pulang ke rumah bagi mengekalkan hubungan keluarga yang sihat dan memberi peluang untuk berehat serta memulihkan tenaga mental. Dengan persediaan mental dan emosi yang baik, pelajar dapat menyesuaikan diri dengan lebih lancar, mengurangkan tekanan dan kebimbangan dan memberi tumpuan kepada pembangunan akademik dan sosial sepanjang tempoh pengajian.

Dalam masa yang sama, peringkat universiti menuntut pelajar menguasai kemahiran pembelajaran yang lebih berdikari berbanding sekolah menengah, matrikulasi atau diploma. Pelajar perlu belajar mengurus jadual harian, menyeimbangkan masa antara kuliah, tugasan, projek kumpulan, aktiviti kokurikulum dan kehidupan sosial.

Pengurusan masa yang baik membolehkan pelajar mengurangkan tekanan akademik, menyiapkan tugasan tepat pada masanya dan memberi ruang untuk rehat dan aktiviti santai bersama rakan-rakan. Pelajar disarankan untuk membuat perancangan mingguan atau bulanan, menggunakan alat seperti kalendar digital, aplikasi peringatan atau jurnal akademik untuk menjejaki tugasan dan tarikh penting seperti tarikh menghantar tugasan, peperiksaan akhir, perbincangan berkumpulan dan sebagainya.

Selain itu, pelajar juga perlu menguasai teknik pembelajaran yang berkesan seperti membuat nota ringkas, membaca secara aktif, membahagikan topik mengikut kepentingan dan latihan ulang kaji secara konsisten. Pelajar juga boleh bertanya kepada pensyarah yang mengajar ataupun rakan-rakan yang lebih memahami sesuatu topik atau kursus. Kemahiran ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman dan pencapaian akademik tetapi juga membina disiplin, ketekunan dan keupayaan untuk mengurus tekanan. Kemahiran-kemahiran ini sangat berguna sepanjang pengajian dan dalam kerjaya masa depan.

Apabila memasuki universiti, pelajar akan bertemu dengan individu daripada latar belakang, budaya, bangsa dan pengalaman hidup yang berbeza. Oleh itu, mewujudkan rangkaian sosial yang positif adalah penting untuk menyokong kesejahteraan emosi, pembangunan diri serta kejayaan akademik. Pelajar digalakkan untuk aktif dalam kelab, persatuan atau sukan yang selari dengan minat seperti kelab robotik, persatuan bahasa, sukan memanah, kelab debat dan sebagainya. Aktiviti ini bukan sahaja membolehkan pelajar bertemu rakan sebaya yang sehaluan tetapi juga mengembangkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan. Selain itu, membina hubungan baik dengan pensyarah dan senior boleh menjadi sumber bimbingan, motivasi dan peluang jaringan akademik contohnya membantu dari segi ilmu, pengalaman atau projek penyelidikan.

Pelajar juga digalakkan bersikap terbuka dan menghargai perbezaan individu, belajar berinteraksi secara positif serta mendapatkan sokongan apabila menghadapi masalah. Setiap pelajar mempunyai penasihat akademik yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar boleh merujuk penasihat akademik sekiranya menghadapi masalah bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga isu sosial, emosi atau masalah peribadi lain. Penasihat akademik adalah sebagai pengganti ibu atau bapa di universiti, berperanan sebagai mentor atau panduan peribadi yang sentiasa bersedia memberi nasihat, sokongan dan bimbingan untuk membantu pelajar mengatasi pelbagai cabaran semasa menuntut di universiti. Oleh itu, hubungan sosial yang sihat dapat mengurangkan rasa kesunyian, memberi motivasi dan mewujudkan pengalaman universiti yang lebih bermakna dan menyeronokkan.

Pelajar turut digalakkan untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental sepanjang tempoh pengajian. Kesihatan yang baik bukan sahaja meningkatkan fokus dan prestasi akademik tetapi juga membantu pelajar mengurus tekanan dan cabaran kehidupan universiti dengan lebih berkesan.

Di universiti, pelajar boleh mendapat pelbagai bentuk sokongan. Sokongan kesihatan fizikal termasuk perkhidmatan klinik universiti, rawatan perubatan dan aktiviti kesihatan seperti senaman dan program kesihatan. Sokongan kesihatan mental pula merangkumi kaunseling, bengkel pengurusan stres dan khidmat sokongan psikologi untuk membantu pelajar menghadapi tekanan akademik, masalah emosi atau masalah peribadi. Selain itu, sokongan sosial dan akademik juga disediakan melalui penasihat akademik yang boleh menjadi sumber motivasi, bimbingan dan panduan dalam menyelesaikan masalah sosial atau akademik. Kesemua bentuk sokongan ini bertujuan memastikan pelajar berada dalam keadaan fizikal, mental dan emosi yang baik supaya mereka dapat mencapai potensi penuh dalam akademik dan kehidupan seharian.

Oleh itu, nikmatilah pengalaman sebagai mahasiswa atau mahasiswi di kampus. Ciptalah kenangan manis bersama rakan-rakan, pensyarah dan jangan lepaskan peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti yang boleh menjadi tambah nilai untuk diri anda di masa hadapan. Jangan hanya fokus mengejar pointer semata-mata tetapi kehidupan sosial yang seimbang juga penting untuk memastikan minda dan mental anda sentiasa sihat. Pada masa yang sama, jagalah agama, perhubungan dan tingkah laku agar tidak terjerumus kepada perkara yang memudaratkan atau menimbulkan penyesalan kelak.

Oleh Dr. Wan Noor Hamiza Wan Ali, Pensyarah Kanan, Fakulti Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi Malaysia

Source: UTM NewsHub

Explore More

Pelajar Johor rangkul tiga anugerah antarabangsa di Korea dengan filamen dari sisa nanas

JOHOR BAHRU, 8 Dis – Bermula dengan sebuah projek bekas makanan daripada sisa nanas, sekumpulan pelajar dari SMK Tan Sri Mohamad Rahmat kini mencipta sejarah apabila berjaya mengharumkan nama Johor dan Malaysia di pentas antarabangsa melalui inovasi filamen pencetak...

Lima atlet UTM galas tanggungjawab negara wakili Sukan SEA Thailand 2025

BANGKOK, 8 Dis – Sukan SEA 2025 edisi ke-33 yang merupakan temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara bakal berlangsung dari 9 hingga 20 Disember 2025 di Thailand, negara yang sinonim dengan jolokan Gajah Putih. Sebanyak 11 negara ASEAN mengambil bahagian iaitu...

UTM 2u2i: Celebrating Industry Partners, 100% GE, and Rising Premium Salaries

KUALA LUMPUR, Dec 6 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM), through its Faculty of Computing, successfully organized the 2u2i Appreciation Night to honor the strong partnerships that have shaped the success of the UTM 2u2i programme, Bachelor of Computer Science (Data...

UTM secures its 5th consecutive win at the NI Autonomous Robotics Competition 2025

NIBONG TEBAL, Dec 6 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) achieved another milestone by securing its fifth consecutive championship at the NI Autonomous Robotics Competition (NI ARC) 2025, held on 6 December 2025 at Dewan Utama, USM Engineering Campus, Nibong Tebal,...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index

UTM Open Day