
HO CHI MINH CITY, 29 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur melalui Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Siswa Jaya (JKP KSJ) berjaya melaksanakan Ho Chi Minh City–Tay Ninh Social Responsibility (HSSR) @ Vietnam 2025, program empat hari berimpak tinggi yang mengukuhkan diplomasi pendidikan, pemindahan teknologi dan pembangunan komuniti melalui kerjasama antarabangsa.
Program bermula dengan kunjungan hormat ke Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City, di mana delegasi UTM Kuala Lumpur disambut oleh Consul General Firdauz Othman dan Vice Consul (Education), Koh Bee Ching. Sesi dialog memberi tumpuan kepada hubungan Malaysia–Vietnam serta peluang kerjasama pendidikan, selari dengan semangat kerjasama antarabangsa yang digariskan dalam SDG 17.

Pada hari kedua, delegasi menghadiri Lawatan Pertukaran Teknologi, Informasi dan Budaya di Vietnam National University (VNU). Su Zalfa Mohamed dari UTM International memperkenalkan peluang mobiliti global, diikuti ceramah berkenaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) oleh Dr. Zatil Izzah Ahmad Tarmizi bertajuk Innovation in Waste Management & Renewable Energy, yang menyokong usaha memperkukuh pendidikan berkualiti serta inovasi teknologi seiring SDG 4 dan SDG 9. Sesi lukisan batik dan lawatan kampus turut mempererat hubungan budaya antara pelajar kedua-dua negara.

Komponen utama berlangsung pada hari ketiga dan keempat melalui aktiviti komuniti di Kampung Bau Bac dan Masjid Nurul Islam, Tay Ninh, komuniti Muslim minoriti di Vietnam. Delegasi UTM Kuala Lumpur memasang lampu solar di kawasan masjid sebagai inisiatif tenaga boleh diperbaharui yang menyokong SDG 7 melalui penyediaan pencahayaan lebih selamat dan berkesan kepada masyarakat. Pengagihan bungkusan makanan serta gotong-royong pembersihan pula memperkukuh elemen kesejahteraan sosial dan hubungan kemasyarakatan.
Pada sebelah malam, pasukan UTM menjalankan STEM Exploration & Young Innovators Lab melibatkan kanak-kanak kampung melalui aktiviti Build Your Own LEGO, Magnetic Car Race dan modul kejuruteraan asas. Walaupun berdepan cabaran komunikasi, fasilitator memastikan penyampaian ilmu berlangsung berkesan dan menarik, selari dengan usaha memperkukuh pendidikan STEM global.

Kemuncak program berlangsung pada hari keempat apabila delegasi dan komuniti setempat bergotong-royong memasak Bubur Lambuk versi Vietnam. Selepas solat Jumaat, bubur diagihkan kepada jemaah sebelum Majlis Penutupan HSSR 2025 yang menampilkan ucapan Ketua Kampung, Datuk Hakim Mansor, serta Dr. Mohamed Azlan Suhot, Pengetua KSJ. Majlis turut diserikan dengan penandatanganan Letter of Intent (LOI) antara UTM Kuala Lumpur dan komuniti Tay Ninh sebagai simbol komitmen berterusan terhadap pembangunan komuniti dan hubungan dua hala.

Program HSSR @ Vietnam 2025 menyuburkan kepimpinan global dan semangat kesukarelawanan mahasiswa UTM Kuala Lumpur, di samping memperkukuh hubungan antara institusi, komuniti dan negara. Program ini membuktikan peranan UTM sebagai pemacu pembangunan komuniti serantau, seterusnya mengangkat Malaysia di persada antarabangsa melalui inovasi, kemanusiaan dan kelestarian.
Source: UTM NewsHub