UTM Big Data Centre dengan sukacitanya telah menganjurkan Sesi Pertama Kursus Big Data Analytics pada 25–26 Ogos 2025 bertempat di Bilik Seminar, UTM Big Data Centre (BDC), Blok N31, UTM Skudai. Kursus ini berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang dan dikendalikan oleh Prof. Dr. Naomie Salim (Pengarah UTM BDC) selaku pengajar utama dengan dibantu oleh Dr. Sharin Hazlin Huspi (Felo UTM BDC) sebagai fasilitator.
Program ini disertai oleh pegawai-pegawai daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dengan tujuan memperkasakan peserta dalam bidang analitik data besar (Big Data Analytics). Sepanjang dua hari penganjuran, peserta telah didedahkan kepada konsep asas, teknik analisis, serta aplikasi praktikal Big Data yang dapat digunakan untuk meningkatkan kecekapan, memperkukuh strategi berasaskan data, dan menyokong pembuatan keputusan yang lebih tepat dalam konteks kementerian.
UTM Big Data Centre merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak KPDN dan Opensoft Technologies Sdn. Bhd. atas kerjasama dan sokongan yang diberikan bagi menjayakan kursus ini. Diharapkan pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkukuh keberkesanan penyampaian perkhidmatan kementerian melalui penggunaan analitik data.
Sebagai pusat rujukan dan pembangunan kepakaran dalam bidang data, UTM Big Data Centre akan terus komited menyokong inisiatif transformasi digital sektor awam dan swasta melalui pelaksanaan program latihan, penyelidikan, dan kerjasama strategik. Sesi pertama ini menandakan permulaan kepada usaha berterusan, dan kami menantikan Sesi Kedua yang dijadualkan untuk memberi lebih banyak nilai tambah kepada peserta serta memperkukuh kapasiti kementerian dalam era pendigitalan.