Air mata syukur dan penuh harapan di pintu menara gading

Air mata syukur dan penuh harapan di pintu menara gading

Sep 28, 2025 | UTM NewsHub

Hari ini, di pelbagai sudut media sosial, bertebaran wajah-wajah penuh makna. Ibu, bapa, adik-beradik, saudara-mara, malah sahabat handai, semuanya bersama dalam detik mengiringi anak-anak melangkah ke universiti. Ada yang tersenyum bangga, ada yang bergenang air mata, bukan kerana sedih semata, tetapi kerana gembira melihat impian lama akhirnya menjadi nyata. Pelukan perpisahan di kolej kediaman, tangan yang menyalin cadar di tilam, dan tubuh yang memikul beg dan baldi ke bilik baharu, semuanya tanda kasih yang tiada taranya. Ada yang datang dari nun jauh Pantai Timur, dari utara, dari selatan, merentas laut dari Sabah dan Sarawak, hanya demi memastikan anak mereka berada di takhta menara gading, yang menjadi dambaan mereka selama ini. Mereka korbankan masa, wang dan tenaga, dengan doa agar suatu hari nanti anak-anak inilah yang menggenggam ijazah, lalu menjamin masa depan yang terpelihara.

Wahai mahasiswa baharu, lihatlah pengorbanan itu dengan mata hati. Doa restu ibu bapa yang mengiringi anda itulah bekalan kejayaan di bumi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang bertuah ini. Mereka tidak menuntut pulangan wang apabila anda mula bekerja kelak, sebaliknya hanya ingin memastikan anda hidup bahagia, lebih-lebih lagi apabila suatu ketika nanti mereka sudah tiada. Maka tekadkanlah diri untuk belajar bersungguh-sungguh, kerana harapan keluarga yang ditaruh terhadap diri anda menjulang setinggi gunung. Mereka menantikan hari konvokesyen anda, saat anda melangkah dengan jubah kebesaran, lalu mereka tersenyum puas di celah keramaian. Justeru, pelihara nama baik keluarga dan universiti, meski kebebasan di sini lebih luas daripada zaman sekolah dan kolej, peraturan tetap ada untuk dituruti.

Namun, ketahuilah, peralihan dari prauniversiti ke dunia universiti tidak selalu mudah. Tahun pertama seringkali penuh ujian, memerlukan kekuatan adaptasi dan kesungguhan meraih CGPA terbaik. Jika terlalai di awal jalan, perjalanan mendaki di hujungnya akan lebih sukar. Belajarlah dengan tekun, namun jangan lupa menjaga tubuh dan jiwa. Jagalah kesihatan fizikal dan mental, temuilah sahabat sejati yang akan berdiri di sisi anda saat susah dan senang. Universiti menyediakan saluran bantuan, sama ada akademik mahupun peribadi, dan penasihat akademik yang sentiasa sudi membimbing. Selain itu, uruslah biasiswa dan pinjaman pengajian yang anda terima dengan cermat, kerana kelalaian dalam kewangan akan memerangkap perjalanan. Sesungguhnya, universiti telah menyediakan pelbagai kemudahan yang cukup dan berpatutan untuk anda manfaatkan sepanjang meniti jalan pengajian. Gunakanlah ia dengan sebaik-baiknya, dan hargailah setiap peluang serta nikmat yang terhampar.

Sebagai seorang mahasiswa di universiti, anda akan lebih banyak berdikari, menimbang tara dan membuat keputusan sendiri. Dari situlah tumbuh benih disiplin diri yang tidak akan anda peroleh di tempat lain. Kampus ini ibarat sebuah kota ilmu, dan anda kini salah seorang penghuninya. Di kota ilmu ini, anda dipupuk bukan sahaja untuk cemerlang dari sudut kognitif yang sinonim dengan akademik, tetapi juga dari segi psikomotor yang menuntut kemahiran, serta lebih utama, aspek afektif yang membentuk adab, sikap, dan sahsiah. Di sinilah juga anda diajak membina jaringan persahabatan, menyulam ukhuwah dengan rakan seperjuangan dalam semangat yang positif dan membina.

Dalam kehidupan kampus yang semakin bebas, cipta rutin harian yang bijak. Seimbangkan akademik dan sosial, urus masa dengan berdisiplin, dan pelihara kesihatan agar langkah anda sentiasa teguh. Jadilah proaktif dalam ukhuwah bersama rakan sebaya dan pensyarah, kerana sokongan mereka akan menjadi tali yang menahan anda daripada jatuh. Fahami kurikulum, susun hidup dengan teratur, agar perjalanan anda tidak sia-sia.

Selain menunaikan tanggungjawab menghadiri kuliah di fakulti masing-masing, warnailah kehidupan anda dengan menyertai pelbagai aktiviti yang berfaedah, yang mampu menyuburkan kepimpinan serta membina peribadi. Benar, akademik adalah tunjang utama dalam perjalanan seorang mahasiswa, namun jangan lupa menjaga hubungan baik dengan para pensyarah. Hormatilah mereka, patuhi segala arahan, hadir awal ke kuliah, kerana itulah tanda disiplin dan adab yang tinggi. Segala yang kecil dan besar dalam tatacara kehidupan kampus akan akhirnya membentuk keperibadian anda, menjadikan anda insan yang seimbang, selaras pula dengan atribut yang didambakan oleh dunia pekerjaan masa kini. Ingatlah, akhlak dan sahsiah itu pakaian diri yang sebenar. Apa gunanya anda berjaya dengan segulung ijazah, tetapi gagal menundukkan hati dalam menghormati pensyarah, rakan seperjuangan, atau bahkan makcik dan pakcik cleaner yang saban hari membersihkan ruang ilmu tempat anda menimba pengetahuan. Seorang mahasiswa UTM sejati tidak hanya berilmu, tetapi juga beradab, beretika, dan berbudi.

Tanamlah cita-cita setinggi langit, bukan hanya untuk diri anda, tetapi agar anda mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan negara. Nikmatilah detik demi detik kehidupan sebagai mahasiswa di kota ilmu ini. Percayalah, empat tahun mendatang akan menjadi antara kenangan terindah yang mewarnai hidup anda, sebuah perjalanan yang akan dikenang sepanjang hayat.

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM

Source: UTM NewsHub

Explore More

Mahasiswa UTM bersolidariti suarakan sokongan kemanusiaan buat Palestin dan Global Sumud Flotilla

JOHOR BAHRU, 3 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi menjadi wadah suara mahasiswa apabila puluhan pelajar berhimpun di Dataran Agora berhampiran Dewan Sultan Iskandar bagi menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin melalui program...

UTM Trio Wins Double Honours at IDEERS 2025 Earthquake Engineering Challenge, Taiwan

TAINAN, Oct 2 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) once again showcased its global excellence when a team of its students captured two prestigious awards at the 2025 International Introducing and Demonstrating Earthquake Engineering Research (IDEERS) competition,...

NC UTM Bersama Fakulti: Menyemai Arah Strategik Masa Depan

Baru-baru ini, Naib Canselor UTM telah mengadakan siri kunjungan bersama semua dekan dan pengurusan fakulti dalam siri kunjungan dan perbincangan strategik. Tujuan utama sesi ini adalah untuk meninjau semula hala tuju universiti serta memperkukuh pelaksanaan agenda...

Cadangan umur persaraan profesor ke 65 tahun dinilai sebagai langkah strategik negara

Ketika Malaysia bersiap untuk membentangkan Belanjawan 2026 pada bulan Oktober ini, salah satu dasar yang sedang dipertimbangkan ialah menaikkan umur persaraan perkhidmatan awam kepada 65 tahun. Cadangan ini amat relevan di universiti awam, di mana persaraan profesor...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index