AMTEC perkukuh kerjasama universiti dan industri melalui inisiatif teknologi air dan CSR pendidikan

AMTEC perkukuh kerjasama universiti dan industri melalui inisiatif teknologi air dan CSR pendidikan

Dec 1, 2025 | UTM NewsHub

JOHOR BAHRU, 1 Dis – Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Lanjutan (AMTEC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Envilab Sdn. Bhd. dan Ranhill SAJ Sdn. Bhd., telah berjaya menganjurkan program “Innovative Water Solutions Roundtable: Strengthening University–Industry Partnership on Membrane Technology”, yang turut disusuli dengan program tanggungjawab sosial (CSR) pendidikan air bertajuk “Hydro-Circle Kids: From Water to Waste to Wonder”. Inisiatif ini bukan sahaja menghubungkan pakar universiti dan industri dalam dialog teknologi air, tetapi juga membawa manfaat langsung kepada komuniti melalui pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada murid sekolah rendah.

Pada peringkat awal, program ini hanya merangkumi sesi perbincangan meja bulat yang dianjurkan dengan sokongan dana Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM di bawah Dana Networking AIM4STAR. Namun, penambahan program CSR pada fasa akhir menjadikan keseluruhan inisiatif lebih menyeluruh, inklusif dan memberi nilai tambah kepada peserta, rakan industri serta masyarakat. Penganjuran gabungan ini menunjukkan komitmen AMTEC dalam memperkukuh hubungan tiga hala antara universiti, industri dan komuniti.

Sesi perbincangan membuka ruang dialog mendalam berkaitan cabaran sebenar pengurusan air industri, keperluan semasa teknologi membran, integrasi sistem sensor masa nyata dan peluang untuk membangunkan sistem perintis (pilot-scale) berasaskan penyelidikan AMTEC. Perkongsian data operasi oleh pihak industri membantu penyelidik merangka agenda penyelidikan yang lebih relevan, berorientasikan penyelesaian dan seiring dengan keperluan teknologi air masa depan. Kolaborasi seperti ini bukan sahaja meningkatkan nilai penyelidikan, malah menyokong agenda inovasi air negara secara lebih sistematik.

Perbincangan meja bulat antara AMTEC UTM, Ranhill SAJ Sdn. Bhd., Envilab Sdn. Bhd. dan Sekolah Kebangsaan Taman Daya 1, Johor Bahru

Penganjuran CSR “Hydro-Circle Kids” pula memberikan pendedahan awal kepada murid sekolah rendah mengenai teknologi penapisan air, kitar semula air dan kelestarian alam sekitar melalui aktiviti hands-on yang interaktif dan menyeronokkan. Murid berpeluang membina kit penapisan air mini serta memahami konsep asas rawatan air bersih, sekali gus memupuk minat terhadap STEM dan meningkatkan literasi air sejak usia muda.

Menurut Pengarah Program merangkap Ketua Unit Korporat AMTEC, Dr. Farhana Aziz, program ini membawa impak yang besar kepada pelbagai pihak.

“Kami amat berbesar hati dapat menghimpunkan rakan industri, guru dan murid dalam satu program berimpak tinggi. Inisiatif ini bukan sahaja mendidik generasi muda tentang kepentingan air bersih, tetapi turut mengukuhkan hubungan strategik antara universiti, industri dan sekolah. Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada CCIN UTM, Envilab dan Ranhill SAJ atas sokongan mereka dalam menjayakan program ini,” katanya.

Murid mempelajari teknologi air dan kelestarian melalui aktiviti hands-on Hydro-Circle Kids

Sementara itu, Pengarah AMTEC, Prof. Ts. Dr. Juhana Jaafar, menegaskan bahawa program ini memperkukuh peranan AMTEC sebagai pusat rujukan teknologi membran dan rawatan air di Malaysia. Beliau menyatakan bahawa kerjasama bersama industri membuktikan komitmen AMTEC dalam memacu penyelidikan berimpak tinggi yang bukan sahaja signifikan dari segi akademik, tetapi turut menyumbang kepada penyelesaian praktikal dalam sektor air negara. Program CSR kepada murid sekolah rendah turut meningkatkan kebolehlihatan AMTEC sebagai institusi yang aktif membina komuniti berpengetahuan.

Secara keseluruhannya, program ini memberi impak signifikan dalam memperkukuh hubungan universiti–industri, memacu agenda penyelidikan teknologi air, meningkatkan literasi serta kesedaran awam mengenai kelestarian air, dan memupuk minat STEM dalam kalangan murid sekolah rendah. Inisiatif kolaboratif ini membuktikan bahawa penyelesaian cabaran air masa depan memerlukan sinergi berterusan antara sektor akademik, industri dan komuniti untuk menghasilkan impak yang mampan, berdaya tahan dan relevan kepada keperluan negara.

Barisan AJK penggerak yang memastikan kelancaran dan kejayaan penganjuran program

Oleh Dr. Farhana Aziz and Dr. Nurfarhain Mohamed Rusli

Source: UTM NewsHub

Explore More

UTM semarak sambutan Hari Antartika 2025 dengan penanaman 50 anak pokok Merbau

JOHOR BAHRU, 29 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyertai sambutan Hari Antartika 2025 dengan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim serta kepentingan kawasan kutub tersebut. Antara aktiviti yang dianjurkan ialah...

Program pemuliaan Al-Quran perkasa nilai kelestarian dan kefahaman masyarakat

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Fakulti Kecerdasan Buatan dengan kerjasama Masjid UTM Kuala Lumpur telah menganjurkan program pemuliaan (pelupusan) Al-Quran dan bahan cetakan agama secara lestari menggunakan teknologi hijau. Inisiatif ini bertujuan memartabatkan kesucian...

UTM kukuhkan kepimpinan global dan pembangunan komuniti melalui HSSR @ Vietnam 2025

HO CHI MINH CITY, 29 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur melalui Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Siswa Jaya (JKP KSJ) berjaya melaksanakan Ho Chi Minh City–Tay Ninh Social Responsibility (HSSR) @ Vietnam 2025, program empat hari berimpak tinggi...

Kelab Belia Penyayang Iskandar Puteri UTM meriahkan sambutan sedekad YPIP

ISKANDAR PUTERI, 29 Nov – Sambutan Sedekad Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) telah berlangsung dengan jayanya di Hutan Bandar Mutiara Rini. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kelab Belia Penyayang Iskandar Puteri (BPIP) dijemput sebagai pempamer semasa...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index

UTM Open Day