ICCubeX perkasa penyelidik berminda tekno-usahawan dan inovasi sosial

ICCubeX perkasa penyelidik berminda tekno-usahawan dan inovasi sosial

Feb 21, 2025 | UTM NewsHub

JOHOR BAHRU, 20 Feb – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (UTM ICC) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil ICCubeX Graduated Incubatee sebagai penghargaan kepada para penyelidik dan inovator yang berjaya menyelesaikan program inkubasi di bawah ICCubeX Incubation Program. Majlis ini diadakan sempena Majlis Perutusan Naib Canselor UTM ke-8 pada 5 Februari yang lalu sebagai platform untuk mengiktiraf pencapaian peserta yang berjaya membawa inovasi mereka ke tahap kesediaan teknologi yang lebih tinggi serta memperkasakan usaha ke arah pengkomersialan teknologi.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, yang turut diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md Illias, serta Pengarah UTM ICC, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh. Kehadiran para pemimpin akademik ini mencerminkan sokongan penuh UTM terhadap usaha menggalakkan inovasi dan pengkomersialan dalam kalangan penyelidik.

ICCubeX Incubation Program merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh UTM ICC pada tahun 2022 dengan matlamat utama membantu penyelidik dan inovator dalam membangunkan idea inovatif serta hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) menjadi produk atau teknologi yang boleh dikomersialkan dan bermanfaat kepada masyarakat. Program ini menyediakan platform sokongan yang kondusif, termasuk latihan keusahawanan, dana pembangunan produk, inkubator, serta bimbingan dalam aspek pemasaran dan strategi perniagaan.

Sepanjang tempoh inkubasi, peserta dibimbing melalui Latihan Keusahawanan yang merangkumi sekurang-kurangnya enam sesi latihan dalam aspek keusahawanan, model perniagaan, pemasaran, strategi penjenamaan, dan kewangan. Dari segi Pembangunan Produk, inovasi yang dibangunkan perlu mencapai Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) 6 ke atas, membuktikan kesediaannya untuk diuji dalam persekitaran sebenar. Pembangunan ini juga boleh dibiayai melalui dana PDF2 atau sumber kewangan luar.

Majlis ini dimulakan dengan tayangan montaj khas ICCubeX Graduated Incubatee, yang menampilkan perjalanan dan pencapaian para graduan sepanjang tempoh inkubasi mereka. Seterusnya, sesi penyampaian sijil diberikan kepada penerima ICCubeX Graduated Incubatee.

Antara penerima yang diraikan ialah Ts. Dr. Muhammad Hanif Ramlee (SCALEBONE & Three-Dimensional (3D) Printed Prosthetics Leg Sockets – 3D Pro Leg), Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad ‘Athif Mohd Faudzi (INSPECTO: Duct Inspection and Cleaning Robot), Ts. Dr. Jaysuman Pusppanathan (AR-DRONE 4.0: Augmented Reality (AR)-Based Drone Certification & Competency) dan Dr. Mohd Adib Sarijari (IOTWAVE: A Complete End-to-End Internet of Things (IoT) Platform) dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE). Turut menerima pengiktirafan ialah Prof. Madya Ts. Dr. Harisun Ya’akub (Natural Cough Syrup from Pineapple Fruit Extract Incorporated with Spices and Herbs) dari Fakulti Kejuruteraan Kimia & Kejuruteraan Tenaga (FKT), Prof. Madya ChM Ts. Dr. Nik Ahmad Nik Malek (Pre-Commercialization of Dual-Antibax Cream) dari Fakulti Sains, Prof. Madya Ir. Dr. Zarhamdy Md. Zain (Electronic Embosser Brailler for Education Solution (mBOSE)) dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nurulakmar Abu Husain (MY-C10 Anthropomorphic Test Manikin (Version 2.0)) dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), serta Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah (Oil2Wang) dari Fakulti Sains.

Jaysuman ICCUBEX
Ts. Dr. Jaysuman Pusppanathan ketika menerima penghargaan dari Prof. Dr. Mohd Shafry
Harisun ICCUBEX
Prof. Dr. Mohd Shafry menyampaikan pengiktirafan kepada Prof. Madya Ts. Dr. Harisun Ya’akub

Para penerima sijil ini telah membuktikan keupayaan mereka dalam membawa inovasi dari peringkat penyelidikan sehingga ke fasa komersial, sekali gus menjadi inspirasi kepada penyelidik lain dalam ekosistem inovasi UTM. Untuk makluman, program ICCubeX bukan sahaja membantu penyelidik meningkatkan kemahiran keusahawanan mereka, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekosistem inovasi sosial yang berimpak tinggi.

Screenshot
Projek yang dijalankan oleh Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah, dari Fakulti Sains iaitu Oil2Wang

Universiti perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan dengan menyediakan latihan, bimbingan, serta kemudahan sokongan kepada para penyelidik dan inovator. Dengan adanya ICCubeX Incubation Program, UTM terus komited melahirkan lebih ramai usahawan teknologi yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa. Sokongan berterusan kepada penyelidik dan inovator amat penting bagi memastikan lebih banyak produk dan teknologi hasil penyelidikan universiti dapat dipasarkan secara efektif. Diharapkan lebih ramai penyelidik menyertai program ini agar hasil penyelidikan mereka tidak hanya kekal di dalam makmal tetapi berjaya memberi impak tinggi kepada ekonomi, masyarakat, dan persekitaran mampan.

Screenshot
Antara pencapaian yang dikecapi oleh Dr. Mohd Adib dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik

Dengan kejayaan program berimpak ini, UTM ICC menyasarkan untuk memperluas lagi ICCubeX Incubation Program dengan menambah lebih banyak modul latihan serta mewujudkan jaringan kerjasama strategik dengan pihak industri dan global. Langkah-langkah seterusnya termasuk peningkatan akses kepada dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membantu penyelidik dalam proses pengkomersialan teknologi. Selain itu, modul ICCubeX akan dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi bagi menyokong pembangunan kapasiti dalam inovasi dan pengkomersialan. Di samping itu, usaha akan diperkukuh melalui pengukuhan rangkaian dengan industri dan pelabur bagi meningkatkan peluang kerjasama serta memudahkan akses pasaran. UTM Technovation Park juga akan menyediakan kemudahan sokongan sebagai pusat inovasi dan pembangunan produk baharu.

Screenshot
Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nurulakmar Abu Husain dan data pencapaian yang diperolehi

Majlis ini bukan sahaja satu penghormatan kepada penerima ICCubeX Graduated Incubatee, tetapi juga bukti komitmen UTM dalam memperkasakan ekosistem inovasi dan pengkomersialan. Dengan kejayaan program ini, diharapkan lebih ramai penyelidik akan mengambil langkah berani untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka, seterusnya membawa UTM ke persada global sebagai universiti peneraju dalam penyelesaian inovasi serta melahirkan tekno-usahawan yang berdaya saing tinggi.

Oleh Ts. Dr. Norhayati Mohamed Noor, AMIChemE & Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh, RTTP

Source: UTM NewsHub

Explore More

Department of Physics welcomes Official Visit from Institute of Modern Physics UCAS

JOHOR BAHRU, Sept 2024 – The Department of Physics, Faculty of Science at Universiti Teknologi Malaysia (UTM), recently welcomed a distinguished delegation from the Institute of Modern Physics (IMP), University of Chinese Academy of Sciences (UCAS), China. IMP,...

No pain, no gain: KTHO Participated in the UTM Games & Bring Back Trophies!

By: Wong Jia Jian (JKM KTHO) & Siti Nur Fatin Hakimah binti Ibnuzaman (Editor) Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) participated in the Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Games led by UTM Sports Excellence (USE) from 26th November until 1st December 2022. The program’s...

MoU Signing between MY4A COM SDN BHD and UTM in Spearheading Digitalisation and Data Analytics Research Area

MY4A Com Sdn. Bhd. and Universiti Teknologi Malaysia (UTM) formalized their partnership by signing a Memorandum of Understanding (MoU) on January 17, 2024, marking a significant milestone in their collaboration. The event took place at Fakulti Teknologi dan Informatik...

UTM’s Prof. Dr. Fahrul Zaman Appointed Visiting Professor at PSU Under Reinventing University Program

HAT YAI, May 7 – Prince of Songkla University (PSU) has officially appointed Professor Dr. Fahrul Zaman Huyop of the Department of Biosciences, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), as a Visiting Professor under its Reinventing University Program. This initiative is...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index