Tengahari itu, cuaca agak panas dan membahang dengan teriknya sinar mentari. Saya melabuhkan punggung di kerusi Restoran Aminah yang agak penuh dengan pelanggan yang sedang menjamu selera. Maklumlah, sekarang adalah waktu makan tengahari.
Di hadapan saya, seorang pak cik telah pun duduk di meja itu lebih awal. Saya tersenyum kepadanya dan senyuman saya dibalas dengan mesra.
“Jemput minum, Pak Cik”, sapa saya berbasa basi sambil menikmati makanan.
“Silakan,” balasnya.
“Anak ni kerja di UTM ke?” tanyanya kepada saya yang sedang menghirup air teh o ais. Mungkin kerana dia melihat baju UTM yang sedang saya pakai.
“Ya, Pak Cik. Kenapa Pak Cik?,” balas saya padanya.
“Pak Cik hairanlah, sudah lebih 50 tahun Pak Cik tinggal di Taman Sri Pulai ini, tapi Pak Cik rasa tak pernah pun ada apa-apa sumbangan UTM kepada penduduk di sini. Padahal taman kami ini sebelah UTM sahaja,” balasnya panjang lebar.
Dan ketika itulah, air teh o ais yang saya minum terasa tawar. Ungakapan itu benar-benar menyentap perasaan saya. Manakan tidak, saya merupakan pensyarah di UTM yang telah berkhidmat lebih 20 tahun. Tanpa sedar, fikiran saya melayang memikirkan kata-kata Pak Cik tadi─benarkah tiada langsung sumbangan UTM kepada penduduk di sini?
—
Universiti Sanjungan Bangsa
Menyusuri sejarah UTM yang panjang, bermula semenjak penubuhannya pada tahun 1975. Inilah universiti yang sarat dengan keilmuan dan memberikan jasa yang tidak terhingga kepada negara pascakemerdekaan. Selepas negara mencapai kemerdekaan, Malaysia tidak mempunyai sebuah universiti yang benar-benar berfokus kepada kejuruteraan. Hakikatnya negara sedang membangun dengan pesat bagi mengisi makna kemerdekaan yang dicapai. Infrastruktur negara pada ketika itu sangat daif dan menyedihkan. Negara hanya mewarisi infrastruktur yang ditinggalkan penjajah.
Jalan raya perlu dibangunkan sebagai asas dalam merangkaikan setiap bandar dan desa. Jambatan-jambatan perlu dibina untuk menghubungkan seluruh rangkaian daratan. Sekolah perlu disediakan untuk pendidikan anak-anak dan menangani buta huruf. Klinik dan hospital mesti diwujudkan untuk membasmi penyakit, meningkatkan kesihatan rakyat dan mengurangkan kadar kematian. Bahkan segala pembangunan kediaman, fasilti awam, kilang-kilang dan premis perniagaan mesti disegerakan untuk memastikan kesejahteraan rakyat.
Ketika inilah, UTM menjadi antara nadi pembangunan negara. Saban tahun UTM menghasilkan ribuan mahasiswa bagi mengisi kekosongan jurutera yang diperlukan negara. Perkembangan pesat dalam setiap infrastruktur membolehkan ekonomi negara meningkat, peluang-peluang pekerjaan menjadi semakin banyak dan indeks kesejahteraan rakyat terus menunjukkan tren yang positif.
Ketika UTM rancak melahirkan graduan yang tangkas membantu negara bergerak ke hadapan, ia tidak dapat lari daaripada cabaran yang datang sejajar dengan perubahan zaman. Dari sebuah negara miskin, perlahan-lahan Malaysia berubah menjadi negara sedang membangun. Dari ekonomi yang hanya berasaskan pertanian dan hasil bumi seperti bijih timah dan petroleum, sektor industri mula mendapat tempat yang mengkagumkan. Dari negara yang hanya menjual hasil bumi dan bahan komoditi, Malaysia mula beralih kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan. Pelbagai barangan dihasilkan dan perkhidmatan yang memberi pulangan lebih menguntungkan disediakan. Tatkala itulah, hubungan antarabangsa mula menjadi fokus yang diperkasakan untuk memastikan setiap barangan dan perkhidmatan dapat dipasarkan ke peringkat global.
Hakikat globalisasi yang menyaksikan dunia tanpa sempadan dengan sokongan teknologi maklumat dan komunikasi telah mengubah hala tuju UTM. Tugas melahirkan graduan melalui proses pengajaran dan pembelajaran di dewan kuliah dan makmal telah menjadi business as usual. Status UTM sebagai universiti penyelidikan kini menjadi tanggungjawab seiring dengan usaha melahirkan jurutera dalam pasaran pekerjaan di samping menjadi pakar rujuk negara dalam konteks penyelidikan dan inovasi terkehadapan.
Penyelidikan berteraskan fundamental, aplikasi, transdisiplin hinggalah translasi menjadi ekosistem. Kertas cadangan penyelidikan sentiasa dihasilkan, makmal-makmal beroperasi siang dan malam, lebih ramai para penyelidik dilahirkan dan penerbitan ilmiah mula menjadi satu kewajipan. Keadaan ini membuatkan ranking universiti terus melonjak setiap tahun menjadikan UTM antara universiti tersohor.
Namun, pencapaian dan reputasi yang terbina ini rupanya masih jauh daripada apa yang diharapkan oleh masyarakat. Artikel ilmiah sering berada dalam korpus ilmu cendekiawan dan jarang dibaca oleh orang awam. Penyelidikan yang dihasilkan masih belum cukup dirasai secara langsung oleh rakyat dan masyarakat.
Akhirnya saya mula faham makna ‘turun kepada masyakat’ yang sering kita sebut sebagai ‘libat sama komuniti’ dalam bahasa universiti atau program pemindahan ilmu daripada universiti kepada masyarakat. Hari ini masyarakat mahu melihat dan merasai sendiri impak daripada setiap usaha yang dilaksanakan oleh universiti.
Turunlah kepada Masyarakat
Hari ini, universiti bukan lagi menara gading yang hanya dimiliki oleh segelintir masyarakat cerdik pandai. Universiti perlu mendekati masyarakat untuk memaknakan pengetahuan dan inovasi yang dibangunkan. Setiap pensyarah perlu berkongsi kepakaran dengan masyarakat. Bantulah komuniti menggunakan kepakaran yang ada sehingga komuniti tersebut dapat berdikari. Kepakaran yang dimiliki dan hasil penyelidikan yang ditemui perlu diterjemahkan ke dalam modul-modul dan projek pembangunan dan penaiktarafan dalam komuniti setempat, seperti modul pembelajaran STEM, kemahiran digital, sehinggalah projek jambatan atau empangan elektrik di perkampungan dan sebagainya. Program Bangsa Johor Bahagia, contohnya, bukan sahaja mengubah rumah flat yang terpinggir menjadi kawasan yang cantik dan menarik bahkan berjaya membimbing penduduknya sehingga mampu berdikari, menguasahakan kebun komuniti, menubuhkan skuad kitar semula, mempunyai persatuan penduduk yang kuat, menjaga kebersihan persekitan kediaman bahkan anak-anak semakin rajin ke sekolah dan lebih berminat dalam pendidikan.
—
“Bos, mi goreng siap”. Sapaan pelayan kedai menghentikan pemikiran saya yang telah jauh menerawang.
“Pak Cik, jika diizinkan Allah, banyak program yang akan kita jalankan nanti di Taman Sri Pulai ini. Tak silap saya ada satu program khusus UTM bersama kariah masjid. Nanti Pak Cik ikutlah sekali,” pesan saya pada Pak Cik tadi.
“Baguslah kalau begitu. Pak Cik balik dulu ya. Moga-moga kita jumpa lagi”, jawabnya perlahan sambil bangun meninggalkan meja.
Demikanlah pertemuan singkat kami dan perbualan yang walaupun ringkas namun amat bererti buat saya. Ya, kita telah lebih setengah dekad merdeka. UTM menjadi antara peneraju teknologi AI dan IOT. Namun, harapan saya kita akan terus memasyarakatkan universiti ini dengan menginovasi penyelesaian lestari agar menjadi UTM Sanjungan Bangsa.
Source: UTM NewsHub