
BANGKOK, 8 Dis – Sukan SEA 2025 edisi ke-33 yang merupakan temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara bakal berlangsung dari 9 hingga 20 Disember 2025 di Thailand, negara yang sinonim dengan jolokan Gajah Putih. Sebanyak 11 negara ASEAN mengambil bahagian iaitu Malaysia, Indonesia, Kemboja, Filipina, Singapura, Myanmar, Vietnam, Laos, Brunei, Timor Leste dan tuan rumah Thailand. 13,657 atlet dijangka bersaing dalam 50 acara sukan, merangkumi sukan Olimpik dan sukan tradisional termasuk Sepak Takraw. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut memainkan peranan penting dalam mewakili negara apabila lima atletnya terpilih menyertai temasya berprestij itu.
Antara yang menjadi tumpuan ialah Mohamad Zariff Mohd Zaidy dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) serta Kolej Datin Seri Endon (KDSE), yang cukup dikenali dalam arena ragbi tanah air. Beliau merupakan atlet Johor yang mencatat sejarah memenangi pingat emas SUKMA Sarawak 2024, kejayaan pertama negeri itu dalam tempoh tiga dekad. Mohd Zariff juga beberapa kali mewakili negara dalam Asia Sevens Series, dengan pencapaian terbaik di kedudukan kelima di Hangzhou, China. Pemain terbaik Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan 2024 ini turut pernah dicalonkan sebagai Olahragawan Harapan Johor pada Majlis Anugerah Sukan Johor ke-31 pada 2025.

Sementara itu, Lim Wen Ni dari pasukan Bola Tampar Wanita Malaysia sekali lagi menyarung jersi kebangsaan pada edisi 2025 selepas penampilan pertamanya pada Sukan SEA 2023 di Kemboja. Pemain yang menjadi tonggak pasukan Bola Tampar UTM itu merupakan pelajar Tahun Akhir Fakulti Pengurusan dan cukup disegani dalam kalangan penggiat bola tampar Johor.

Turut mengharumkan nama UTM ialah Nur Dania Syuhada Abedul Samad, pelajar Diploma Sukan dan Kecergasan UTM Space, yang pernah mewakili skuad wanita negara pada Piala Dunia Kriket Bawah 19 Tahun 2025 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Nama lain yang turut menyertai kontinjen negara ialah Hani Farhana Ahmad, Pembantu Belia dan Sukan di Pusat Kecemerlangan Sukan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), yang merupakan Timbalan Kapten Pasukan Sofbol Wanita Malaysia. Beliau bergandingan dengan rakan sepasukan, Rabiatul Raudhah Md. Fauzan dari FABU. Untuk rekod, kedua-duanya ialah atlet Johor yang memenangi pingat emas SUKMA Sarawak 2024.


Kesemua atlet ini dipilih berdasarkan prestasi cemerlang, disiplin tinggi dan komitmen berterusan dalam sukan masing-masing. Penglibatan mereka bukan sekadar mengangkat nama UTM di pentas antarabangsa, malah membuktikan usaha universiti dalam menyokong pembangunan sukan negara. UTM melalui Pusat Kecemerlangan Sukan menyeru seluruh warga universiti agar memberikan sokongan padu kepada barisan atlet UTM yang bakal menggalas cabaran negara di Sukan SEA 2025.
Source: UTM NewsHub