Memahami Deepfake dari sejarah hingga pencegahan

Memahami Deepfake dari sejarah hingga pencegahan

Sep 28, 2025 | UTM NewsHub

Pernahkah anda melihat sebuah video yang memaparkan tokoh terkenal mengucapkan sesuatu yang pelik, sedangkan hakikatnya perkara itu tidak pernah keluar daripada mulutnya? Atau mungkin anda pernah menonton rakaman wajah seseorang yang digantikan dengan wajah orang lain sehingga kelihatan seolah-olah asli? Fenomena ini dikenali sebagai deepfake.

Deepfake merujuk kepada teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang berupaya menghasilkan imej, video atau suara palsu yang kelihatan seakan-akan benar. Istilah ini lahir daripada gabungan dua perkataan iaitu deep learning dan fake, melambangkan akar teknologinya serta sifat kepalsuan kandungan yang terhasil. Dalam konteks hari ini, istilah deepfake bukan sahaja merujuk kepada teknologinya tetapi juga kepada kandungan yang dihasilkan melaluinya.

Sejarah awal deepfake dapat dikesan pada November 2017 apabila seorang pengguna tanpa nama di platform Reddit berkongsi algoritma berasaskan AI yang mampu mencipta video palsu dengan ketepatan visual yang menakjubkan. Tidak lama kemudian, kod tersebut tersebar di GitHub iaitu sebuah platform popular untuk perkongsian perisian. Penyebaran ini menjadikan teknologi berkenaan boleh diakses oleh sesiapa sahaja. Daripada situ, aplikasi khusus seperti FakeApp dibangunkan untuk memudahkan penciptaan deepfake walaupun oleh individu yang tidak mempunyai kepakaran teknikal dalam bidang pengaturcaraan.

Tidak seperti suntingan video tradisional, deepfake dihasilkan menggunakan algoritma pembelajaran mesin yang menganalisis ribuan corak wajah dan suara manusia sebelum memindahkannya ke dalam rakaman lain. Teknologi ini berasaskan Generative Adversarial Network (GAN) yang terdiri daripada dua komponen utama: generator yang bertindak mencipta imej atau audio palsu dan discriminator yang menilai sama ada hasil tersebut kelihatan realistik atau sebaliknya. Melalui proses yang berulang, kandungan yang terhasil semakin meyakinkan seolah-olah ia rakaman sebenar.

Aplikasi GAN memungkinkan teknologi ini meniru butiran wajah, pergerakan tubuh, pola pertuturan dan ekspresi emosi seseorang. Secara umum, deepfake sering dihasilkan dalam dua bentuk: sama ada menampilkan seseorang sedang berkata atau melakukan sesuatu yang tidak pernah berlaku atau melalui teknik face swap yang menukar wajah individu dengan wajah orang lain dalam video sedia ada.

Kegunaan deepfake meluas dalam pelbagai bidang, baik untuk tujuan positif mahupun negatif. Dalam bidang jenayah siber, ia membuka ruang baharu kepada manipulasi yang boleh merosakkan reputasi organisasi. Bayangkan sebuah video palsu yang menampilkan seorang eksekutif mengaku terlibat dalam jenayah kewangan; walaupun palsu, kandungan sebegini boleh menyebabkan harga saham syarikat jatuh dan memerlukan kos besar untuk memulihkan semula imej korporat.

Deepfake juga digunakan sebagai senjata penyebaran disinformasi, termasuk teori konspirasi yang dicipta untuk mengelirukan masyarakat. Pernah tersebar sebuah video palsu yang memaparkan Mark Zuckerberg mendakwa mengawal data berbilion pengguna menerusi organisasi fiksyen Spectre. Walaupun palsu, ia membuktikan betapa teknologi ini mampu menimbulkan persepsi dan keraguan secara meluas.

Selain itu, deepfake juga menjadi alat dalam pencurian identiti dan penipuan kewangan. Dengan keupayaan mencipta dokumen palsu dan meniru suara seseorang, penjenayah boleh membuka akaun bank atau membuat transaksi atas nama mangsa sebenar.

Namun, deepfake tidak hanya mencetuskan kebimbangan. Dalam industri hiburan, teknologi ini digunakan untuk menggantikan wajah pelakon dalam babak yang sukar dirakam atau menjimatkan kos produksi filem. Ia juga popular dalam parodi; meskipun penonton sedar ia palsu, kandungan tersebut tetap menghiburkan. Pada tahun 2023, misalnya, sebuah video deepfake menampilkan Dwayne “The Rock” Johnson sebagai watak Dora the Explorer yang mencetuskan perbincangan hangat dalam talian.

Dalam bidang pemasaran, deepfake digunakan untuk menghasilkan video kos rendah. Dengan melesenkan rupa pelakon secara digital, syarikat boleh menghasilkan pelbagai kandungan baharu tanpa perlu penggambaran berulang. Manakala dalam bidang perubatan, teknologi ini membantu pelajar dan doktor dengan simulasi pesakit maya, imej X-ray atau MRI yang dijana secara realistik untuk meningkatkan ketepatan diagnosis. AI juga boleh menghasilkan imej X-ray atau MRI bagi membantu profesional perubatan mengesan penyakit serta keabnormalan dengan lebih tepat.

Bahkan, dalam bidang terapi, teknologi ini menyokong rawatan pesakit PTSD, fobia atau kebimbangan melalui simulasi maya yang dicipta mengikut keperluan individu. Keupayaan ini menjadikan rawatan lebih bersasar, kreatif dan berkesan.

Walaupun pelbagai manfaat dapat dicapai, cabaran besar ialah bagaimana mengenal pasti kandungan deepfake. Antara petunjuk yang boleh diperhatikan ialah pergerakan mata yang tidak semula jadi, kelipan yang jarang berlaku, ekspresi wajah yang kaku atau warna kulit yang kelihatan ganjil. Kadangkala, rambut tidak kelihatan semula jadi atau pencahayaan tampak janggal. Tanda lain termasuk kedudukan kepala yang tersentak serta gerakan tubuh yang tidak selaras dengan latar persekitaran. Semua ini boleh menjadi petunjuk awal bahawa sebuah video atau imej mungkin telah dimanipulasi.

Bagi membendung penyalahgunaan teknologi ini, syarikat media sosial telah memperkenalkan dasar tersendiri. Facebook bekerjasama dengan universiti untuk membangunkan sistem pengesanan, Twitter atau sekarang dikenali sebagai X melaksanakan polisi penandaan terhadap imej deepfake, manakala YouTube menyekat kandungan yang bersifat sensitif. Di peringkat teknologi, makmal penyelidikan giat membangunkan perisian pengesanan seperti DeepTrace dan Reality Defender oleh AI Foundation yang mampu menandakan kandungan palsu sebelum ia menimbulkan mudarat. Walaupun begitu, keberkesanan kaedah ini masih mencabar kerana teknologi penyerang juga semakin maju.

Di samping itu, organisasi korporat digalakkan untuk melaksanakan amalan pencegahan seperti melatih pekerja mengenal pasti kandungan manipulatif serta memberi pendedahan mengenai ancaman siber. Kesedaran, pendidikan dan literasi digital harus digerakkan seiring dengan perkembangan teknologi.

Akhirnya, kejayaan menangani fenomena deepfake bukan hanya bergantung kepada undang-undang atau teknologi semata-mata tetapi juga kepada sejauh mana masyarakat mampu membina budaya celik digital. Dengan kerjasama semua pihak termasuk universiti, industri, kerajaan dan masyarakat, dunia digital boleh terus dimanfaatkan tanpa mengorbankan nilai kebenaran.

Oleh Dr. Wan Noor Hamiza Wan Ali, Pensyarah Kanan, Fakulti Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi Malaysia

Source: UTM NewsHub

Explore More

Prof. Datuk Ahmad Fauzi dinobat penerima Anugerah Teknologis Negara 2025

KUALA LUMPUR, 30 Sept. – Peranan teknologis sebagai pemacu pembangunan negara sekali lagi mendapat perhatian apabila tokoh akademik dan penyelidik tersohor, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, diumumkan sebagai penerima Anugerah Teknologis Negara 2025, hari...

Cabaran dan persediaan mahasiswa baharu tempuhi alam universiti

Peralihan daripada matrikulasi, diploma, asasi atau sekolah ke peringkat universiti merupakan satu perubahan besar dalam kehidupan akademik pelajar. Bagi pelajar baharu, perasaan keterujaan dan kebebasan sering hadir bersama ketidakpastian serta kebimbangan tentang...

UTM lancar Menu Siswa Rahmah sempena perasmian Minggu Mesra Mahasiswa 2025/2026

JOHOR BAHRU, 30 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan unggul yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, malah mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa. Selaras dengan hasrat...

Air mata syukur dan penuh harapan di pintu menara gading

Hari ini, di pelbagai sudut media sosial, bertebaran wajah-wajah penuh makna. Ibu, bapa, adik-beradik, saudara-mara, malah sahabat handai, semuanya bersama dalam detik mengiringi anak-anak melangkah ke universiti. Ada yang tersenyum bangga, ada yang bergenang air...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index