Iskandar Puteri, 17 Ogos 2024 – Satu program bertajuk “Program Iskandar Puteri Penyayang: Pembangunan Komuniti Autism Spectrum Disorder (ASD)” telah berjaya dilaksanakan di Mydin, Mutiara Rini. Program ini dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mydin Mall Mutiara Rini, MindCare Centre dan Kolej Kemahiran Johor.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai Autism Spectrum Disorder (ASD) melalui ceramah dan aktiviti yang disusun rapi sepanjang hari. Tiga sesi Pocket Talk telah diadakan, melibatkan topik pengesanan awal autisme, terapi pertuturan, serta peluang kerjaya melalui Sijil Kemahiran Malaysia bagi murid berkeperluan khas (MBPK) dan TVET.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Nur Jazlan bin Tan Sri Mohamed, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara merangkap Pengerusi Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, Yang Mulia Ungku Suzana binti Ungku Mohammad, Setiausaha Majlis Bandaraya Iskandar Puteri merangkap Setiausaha Yayasan Penyayang Iskandar Puteri merangkap Wakil Rasmi Datuk Bandaraya Iskandar Puteri, Yang Berbahagia Dato’ Abd Rashid bin Kasman, Setiausaha Eksekutif Yayasan Penyayang Iskandar Puteri dan Yang Berbahagia Prof. Dr. Rosli bin Mohd Illias Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM. Turut hadir majlis ini adalah Yang Berbahagia Prof. Dr. Johari bin Surif, Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri UTM dan Yang Berbahagia Prof. Dr. Arief Salleh Rosman, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM.
Ucapan Aluan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Rosli bin Mohd Illias Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM.
Ucapan Aluan oleh Pengarah Program Dr. Zakiah Mohd Ashaari
Dalam ucapan perasmian, Yang Berhormat Senator Datuk Nur Jazlan bin Tan Sri Mohamed beliau turut memuji usaha UTM untuk bekerjasama dengan Yayasan Penyayang Iskandar Puteri dalam penganjuran program ini yang selaras dengan matlamat pembangunan lestari (SDG), terutamanya dalam bidang pendidikan berkualiti dan kesihatan yang baik. Program ini memainkan peranan yang amat penting dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan berpengetahuan. Memandangkan ASD adalah isu yang semakin mendapat perhatian global, program ini menyediakan platform penting untuk meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian cara seseorang individu berkembang dan berfungsi dalam masyarakat. Ia membantu mengurangkan stigma dan salah faham yang sering dikaitkan dengan ASD, sekaligus memupuk persekitaran yang lebih memahami dan menyokong.
Melalui program ini, masyarakat di lokaliti Bandaraya Iskandar Puteri diharapkan akan lebih bersedia dalam mengenal pasti dan membantu kanak-kanak yang menghidap autisme, sekaligus memupuk budaya inklusif dalam komuniti. Dengan kesedaran yang semakin meningkat, ia dijangka akan membawa perubahan positif yang berterusan dalam kehidupan harian dan pembangunan komuniti di masa hadapan. Pihak penganjur berharap program seperti ini akan dijadikan acara tahunan dan diperluaskan ke lebih banyak komuniti, dengan harapan untuk terus memperkukuh sokongan kepada individu dengan ASD dan keluarga mereka.
Program ini juga diharapkan dapat dijadikan rujukan untuk program kesedaran komuniti di kawasan lain, bukan hanya di Iskandar Puteri, tetapi di seluruh negara. Dengan adanya sokongan berterusan dari semua pihak, diharapkan setiap individu dengan ASD akan mendapat peluang yang setimpal untuk mengembangkan potensi mereka dalam persekitaran yang peduli dan inklusif.Usaha sebegini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan individu tetapi juga memperkukuh semangat kekitaan dalam komuniti, menjadikan Iskandar Puteri sebuah bandaraya contoh dalam mewujudkan masyarakat yang inklusif dan prihatin. Harapan tinggi diletakkan agar inisiatif seperti ini akan diteruskan dan diperluas agar tiada seorang pun yang ketinggalan dalam arus pembangunan.
Source: UTM NewsHub