Nostalgia UTM antara ukhuwah, ilmu dan harapan

Nostalgia UTM antara ukhuwah, ilmu dan harapan

Sep 19, 2025 | UTM NewsHub

Teringat saya akan tahun 2001, saat debar menanti surat tawaran kemasukan universiti. Setiap hari, saya sudah hafal waktu kehadiran sang posmen yang setia meletakkan sampul surat di peti surat yang terpacak di hadapan rumah. Ada hiba yang menyelinap tiap kali melihat kelibatnya berlalu pergi tanpa singgah, seolah-olah membawa harapan yang masih belum kunjung tiba. Hari-hari itu, saya duduk di sisi jendela, menanti deruman enjin motosikalnya yang mengelilingi kawasan Felda, menatang harapan dalam diam. Zaman itu, internet baharu sahaja bertunas, dan tidak semua mampu menampung langganannya termasuklah saya. Konon khabar, keputusan kemasukan boleh disemak dalam talian, namun saya hanya mampu berserah kepada Yang Maha Esa, sambil menaruh harap agar suatu hari sang posmen berhenti dan menyisipkan sekeping berita gembira ke dalam peti surat kami. Emak dan ayah pula berjanji akan membelikan saya telefon bimbit Nokia andai saya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, sesuatu yang amat saya idamkan waktu itu.

Andai ditanya momen paling membahagiakan dalam hidup, saya pasti menyebut antara yang terindah ialah saat bergelar mahasiswa. Zaman kami tidak semewah sekarang, tetapi keseronokan belajar jelas bersinar. Saya dan rakan sekursus menghuni kolej sewaan universiti kerana ketika itu bilangan kolej kediaman masih terhad di dalam kampus. Setiap pagi kami beratur panjang menunggu bas universiti untuk masuk ke kampus. Ada waktunya kuliah petang tamat lewat dan tiada lagi bas menunggu, lalu kami pulang berjalan kaki beramai-ramai, keluar dari pintu belakang kampus, melintasi Padang Kawad, menyeberang jalan, dan menyusuri Taman Desa Skudai menuju kolej. Dalam perjalanan, kami singgah menikmati makan malam di mana-mana restoran yang kami temui.

Waktu malam kami manfaatkan menyiapkan tugasan atau menelaah nota kuliah bagi menghadapi kuiz dan ujian. Bilik seorang rakan dijadikan markas untuk kami sama-sama menyiapkan tugasan atau mengulang kaji pelajaran. Kehadiran kuliah ketika itu dicatat dengan menurunkan tandatangan pada helaian nama bersiap tarikh, bukan mengimbas kod QR dengan telefon pintar seperti sekarang. Sewaktu menanti kuliah seterusnya, kami makan tengah hari bersama-sama di kafe kampus, ada di Bangunan L50, ada di bangunan SUB, malah Pusat Kerjaya UTM sendiri pernah menjadi kafe yang meriah. Ketika waktu puncak, kami menunggu giliran untuk mendapatkan tempat duduk sambil menatang pinggan berisi nasi dan lauk. Kami makan sambil berbual mesra, telefon bimbit ada di tangan, tetapi tanpa internet yang meluas kami lebih gemar berbicara daripada menunduk menatap skrin.

Tugasan pula banyak kami bincang di Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), tempat yang menjadi nadi ilmu. Bahan rujukan tidak semewah sekarang, lebih banyak buku fizikal tersusun rapi di rak-rak, dan komputer dengan capaian internet hanya beberapa. Tugasan perlu dicetak, malah ada yang dihantar menggunakan disket, benda yang mungkin generasi hari ini perlu mencari maknanya terlebih dahulu. Kemudian zaman berganti kepada cakera padat dan akhirnya pemacu USB.

Hujung minggu, ada waktunya kami melepaskan penat ke bandar Johor Bahru. Tiada Grab ketika itu. Kami menumpang bas, menyewa kereta, atau menghubungi pemandu prebet sapu yang nombor telefonnya terpampang di papan-papan kenyataan kolej. Menjamu selera di restoran makanan segera menjadi acara mingguan yang dinanti, setelah saban hari menikmati nasi bungkus dari kafe kolej. Kalau ada wang lebih, kami menonton wayang, malah ada kalanya berkaraoke beramai-ramai. Cuti pertengahan semester pula kami pulang ke kampung menaiki bas dari Taman Seri Puteri atau Terminal Larkin, manakala yang dari Pantai Timur memilih kereta api. Menjelang minggu ulang kaji peperiksaan, kebiasaannya kami tidak pulang. Kami menelaah bersama-sama di PSZ yang meriah dengan lautan pelajar. Jarang antara kami yang memiliki komputer riba. Kami hanya bersenjatakan nota bercetak, duduk berhimpun menelaah bersama. Empat tahun kami menimba ilmu di universiti ini, dan empat tahun itulah kami memupuk ukhuwah erat sesama rakan, lebih banyak berkomunikasi secara nyata daripada maya.

Kini, hanya saya seorang daripada rakan sekursus yang masih berbakti sebagai pendidik di UTM. Rakan-rakan seperjuangan yang lain telah menyebar khidmat mereka ke segenap pelosok tanah air, mendidik generasi baharu sebagai guru matematik di sekolah menengah. Ada yang sudah bergelar guru cemerlang, ada juga yang kini berkhidmat di pejabat-pejabat pendidikan, menggalas amanah dalam dunia pengurusan pendidikan. Masing-masing kini punya keluarga, tanggungjawab, dan komitmen yang tersendiri. Yang merapatkan jarak kami hanyalah teknologi yang menghubungkan meski jasad berjauhan. Sesekali hadir khabar duka tentang pensyarah kami yang telah kembali ke pangkuan Ilahi. Al-Fatihah buat mereka, semoga setiap titisan ilmu yang pernah mereka curahkan kepada kami menjadi bekalan dan ganjaran yang mengangkat martabat mereka di alam abadi.

Dan kini, tidak lama lagi semester baharu bakal bermula. Tahniah kepada semua bakal mahasiswa yang berjaya menjejakkan kaki ke UTM, anda insan terpilih. Meskipun zaman kita berbeza, matlamatnya tetap satu iaitu menimba ilmu, mendalami kemahiran, dan membentuk keperibadian unggul. UTM tetap utuh berdiri sebagai medan membentuk insan berilmu dan berakhlak, dengan infrastruktur dan infostruktur yang terus diperkasa. Nikmatilah setiap detik menuntut ilmu di bumi bertuah ini, kerana di sinilah tempat warganya mengejar ilmu siang dan malam, menajamkan minda, menyemai nilai, membina ukhuwah sesama mahasiswa tempatan dan antarabangsa, dan akhirnya menjadi insan yang diredai-Nya.

Selamat datang ke UTM, Universiti Sanjungan Bangsa.

Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia

Source: UTM NewsHub

Explore More

Mahasiswa UTM bersolidariti suarakan sokongan kemanusiaan buat Palestin dan Global Sumud Flotilla

JOHOR BAHRU, 3 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi menjadi wadah suara mahasiswa apabila puluhan pelajar berhimpun di Dataran Agora berhampiran Dewan Sultan Iskandar bagi menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin melalui program...

UTM Trio Wins Double Honours at IDEERS 2025 Earthquake Engineering Challenge, Taiwan

TAINAN, Oct 2 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) once again showcased its global excellence when a team of its students captured two prestigious awards at the 2025 International Introducing and Demonstrating Earthquake Engineering Research (IDEERS) competition,...

NC UTM Bersama Fakulti: Menyemai Arah Strategik Masa Depan

Baru-baru ini, Naib Canselor UTM telah mengadakan siri kunjungan bersama semua dekan dan pengurusan fakulti dalam siri kunjungan dan perbincangan strategik. Tujuan utama sesi ini adalah untuk meninjau semula hala tuju universiti serta memperkukuh pelaksanaan agenda...

Cadangan umur persaraan profesor ke 65 tahun dinilai sebagai langkah strategik negara

Ketika Malaysia bersiap untuk membentangkan Belanjawan 2026 pada bulan Oktober ini, salah satu dasar yang sedang dipertimbangkan ialah menaikkan umur persaraan perkhidmatan awam kepada 65 tahun. Cadangan ini amat relevan di universiti awam, di mana persaraan profesor...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index