Media sosial kini semakin sebati dalam kehidupan kanak-kanak di Malaysia. Bagi generasi muda, platform digital bukan sahaja menjadi ruang hiburan, malah turut membuka peluang luas untuk pembelajaran, kreativiti dan interaksi sosial. Namun, perkembangan positif ini turut hadir bersama kebimbangan besar berkaitan kesihatan mental, sosial dan emosi, sekali gus menuntut perhatian serius daripada pelbagai pihak.
Menyedari cabaran tersebut, kerajaan baru-baru ini mengumumkan cadangan untuk menetapkan umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial, di samping mewajibkan proses pengesahan identiti elektronik (eKYC) untuk setiap pendaftaran baharu. Langkah ini disifatkan sebagai usaha melindungi kanak-kanak daripada risiko yang semakin meningkat seperti buli siber, penipuan digital, dan pendedahan awal kepada kandungan berbahaya.
Statistik semasa menunjukkan situasi yang membimbangkan. Laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendedahkan hampir 90 peratus kanak-kanak berusia antara tujuh hingga lima belas tahun sudah memiliki akses kepada telefon pintar. Malah, purata masa skrin mereka mencecah tujuh hingga lapan jam sehari, iaitu jauh melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menekankan keperluan keseimbangan antara penggunaan skrin dan aktiviti fizikal. Kebergantungan yang berlebihan ini telah membawa pelbagai implikasi negatif. Kajian mendapati, satu daripada tiga kanak-kanak pernah menjadi mangsa buli siber. Lebih membimbangkan, kes kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian dilaporkan meningkat hampir 30 peratus dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Pada masa yang sama, ramai kanak-kanak mula mengalami gangguan tidur, masalah tumpuan, keresahan serta perasaan rendah diri akibat tekanan sosial yang wujud di dunia maya.
Dalam konteks ini, media sosial harus dilihat sebagai “pisau bermata dua.” Platform digital ini sememangnya membuka ruang luas untuk pembelajaran dan kreativiti, tetapi tanpa kawalan ia boleh mencetuskan ketagihan, menjejaskan keyakinan diri serta mendedahkan kanak-kanak kepada risiko psikologi berpanjangan. Dari perspektif psikologi perkembangan, kanak-kanak dan remaja berada pada fasa membentuk identiti diri, justeru keterlibatan berlebihan dalam dunia maya boleh menjejaskan proses pembinaan harga diri yang sihat, selain meningkatkan risiko perbandingan sosial yang tidak realistik.
Kejayaan dasar kerajaan dalam membendung masalah ini tidak akan tercapai tanpa sokongan semua pihak. Ibu bapa, sekolah, komuniti dan industri perlu berganding bahu memastikan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dapat dikawal dan dibimbing dengan cara yang sihat. Peranan ibu bapa amat penting dalam membentuk budaya digital anak-anak sejak dari awal. Mereka disaran menjadi mentor digital dengan menetapkan had masa skrin yang sesuai, memantau kandungan yang diakses serta mengadakan perbincangan terbuka mengenai pengalaman anak di dunia maya. Pendekatan ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan berbahaya, malah membina hubungan komunikasi yang lebih kukuh antara ibu bapa dan anak-anak.
Di sekolah pula, literasi digital perlu dijadikan sebahagian daripada pendidikan formal. Melalui modul khusus, pelajar boleh dibimbing untuk memahami aspek keselamatan siber, kepentingan etika dalam interaksi atas talian, dan bahaya yang mungkin timbul akibat penggunaan media sosial tanpa kawalan. Guru kaunselor juga perlu diberikan latihan bagi mengenal pasti tanda-tanda awal tekanan atau masalah emosi pelajar yang berkait rapat dengan pengalaman digital mereka. Sokongan psikososial di sekolah dapat membantu pelajar membangunkan daya tahan mental serta kemahiran mengurus emosi ketika berdepan cabaran dunia maya.
Komuniti dan industri turut memainkan peranan besar. Usaha memperkukuh ciri keselamatan aplikasi, membangunkan platform didik-hibur tempatan, dan menyokong kempen kesedaran digital adalah langkah yang boleh membantu memperkasakan ekosistem digital negara. Inisiatif seperti Kempen Internet Selamat 2025 (KIS 2025) yang sedang digerakkan kerajaan di sekolah-sekolah juga memberi fokus kepada isu buli siber, penipuan digital serta perlindungan kanak-kanak daripada kandungan eksploitasi, sekali gus menambah baik tahap keselamatan siber negara. Selain itu, sokongan daripada industri teknologi amat penting bagi memastikan platform yang dibangunkan lebih mesra kanak-kanak serta mempunyai sistem pemantauan yang berkesan.
Dalam kerangka dasar baharu ini, langkah penetapan had umur minimum 16 tahun dan pengesahan identiti elektronik (eKYC) menjadi asas penting kepada usaha perlindungan kanak-kanak. Walaupun langkah tersebut dilihat berpotensi memberi kesan positif, keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana ia dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak berkepentingan. Langkah ini juga menuntut kesedaran masyarakat bahawa perlindungan digital bukan sekadar soal teknikal, tetapi berkait rapat dengan pembinaan budaya dan nilai yang kukuh dalam keluarga serta masyarakat.
Hakikatnya, media sosial adalah realiti yang tidak dapat dielakkan dalam era digital. Menolak kewujudannya bukanlah penyelesaian, tetapi membimbing generasi muda untuk menggunakannya secara beretika dan seimbang adalah kunci utama. Generasi muda perlu diperkasakan bukan sahaja dengan kemahiran digital, tetapi juga dengan keupayaan berfikir secara kritis, bijak menapis maklumat, dan mampu menilai implikasi tingkah laku mereka di ruang maya. Literasi digital mesti seiring dengan pendidikan nilai, bimbingan psikologi, dan sokongan komuniti agar anak-anak tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi turut menjadi pencipta kandungan yang bermanfaat.
Kesimpulannya, usaha melindungi kanak-kanak daripada risiko media sosial bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak. Dengan kolaborasi yang erat antara ibu bapa, sekolah, komuniti, industri dan kerajaan, Malaysia mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja celik digital, tetapi juga matang dari segi emosi, seimbang dalam kehidupan, serta memiliki jati diri yang kukuh. Inilah asas penting untuk memastikan anak-anak kita dapat berkembang sebagai warganegara global yang berdaya tahan, bijak menilai maklumat, dan mampu menggunakan media sosial sebagai alat pembangunan diri serta masyarakat. Hanya dengan pendekatan menyeluruh dan berpandangan jauh, kita dapat memastikan media sosial menjadi wahana kemajuan, bukannya jerat yang mengekang masa depan generasi akan datang.
Source: UTM NewsHub