
JOHOR BAHRU, 14 Dis – Program Keselamatan Aktiviti Air Bersama Komuniti berjaya dilaksanakan hasil anjuran Balai Bomba dan Penyelamat Skudai dengan kerjasama Bomba Komuniti Kampung Sepakat Baru serta Pejabat Occupational Safety, Health and Environment (OSHE), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Wong Bor Yang, Ahli Dewan Undangan Negeri Senai, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan kepimpinan negeri terhadap usaha memperkukuh keselamatan komuniti dan kesiapsiagaan bencana di peringkat akar umbi.
Majlis perasmian turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat antaranya PgKB I Zaipulbahri Mat Rusok @ Hassan, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor; Dr. Mohd Fa’iz Ahmad, Pengarah Pejabat OSHE UTM; Mohd Herme Yusman Mohd Tahir, Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), UTM; wakil Ketua Kampung Kempas serta Haji Azmi Basiran, Pengerusi Ahli Komuniti Bomba merangkap JPKK Kampung Sepakat Baru.

Program ini merupakan antara inisiatif Balai Bomba dan Penyelamat Skudai yang diketuai oleh PKPgB Tc. Saifulbahri Safar dalam meningkatkan kesedaran orang awam terhadap aspek keselamatan aktiviti air, khususnya melibatkan komuniti kampung yang terdedah kepada risiko aktiviti sungai dan kejadian banjir. Pelaksanaannya memberi pendedahan menyeluruh kepada penduduk setempat berkaitan langkah keselamatan, tahap kesiapsiagaan serta tindakan awal yang perlu diambil semasa menghadapi kecemasan banjir.
Antara pengisian utama program ialah aktiviti keselamatan air bersama pihak BOMBA yang merangkumi pengenalan asas keselamatan aktiviti air serta sesi pembelajaran berenang secara selamat dengan bimbingan anggota BOMBA terlatih. Selain itu, peserta yang terdiri daripada Ahli Bomba Komuniti dan penduduk kampung turut didedahkan kepada kaedah pengendalian bot, meliputi aspek keselamatan, penggunaan peralatan asas serta teknik pengendalian bot dalam situasi kecemasan sebagai persediaan menghadapi risiko banjir di kawasan kampung.


Program sinergi bersama Seksyen Alam Sekitar, Pejabat OSHE UTM yang diketuai oleh Dr. Norafneeza Norazahar ini turut merangkumi taklimat dan demonstrasi alam sekitar berkaitan pemeliharaan sungai bersih. Pengisian ini menekankan kepentingan sungai terhadap kesihatan awam, kawalan banjir dan kelestarian ekosistem. Demonstrasi pemulihan sungai secara semula jadi menggunakan kaedah bebola lumpur atau mudball turut diadakan bagi memperkenalkan pendekatan mesra alam dalam usaha meningkatkan kualiti air sungai.
Taklimat alam sekitar telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Umi Aisah Asli, manakala demonstrasi pembuatan dan penggunaan bebola lumpur dikendalikan oleh Dr. Aidee Kamal Khamis. Para peserta turut didedahkan kepada kaedah asas ujian kualiti air yang melibatkan ujian kekeruhan, pH serta kandungan nitrogen (nitrat/ nitrit) bagi menilai tahap kualiti air sungai.

Program ini menjadi platform kepada UTM untuk berkongsi ilmu dan kepakaran dengan masyarakat luar kampus, khususnya dalam aspek pengesanan awal pencemaran air. Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman pencemaran, terutama ketika musim banjir, serta memupuk kefahaman mengenai kepentingan menjaga alam sekitar melalui pemindahan ilmu dan perkongsian kepakaran.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti terhadap keselamatan aktiviti air, malah turut mengukuhkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan masyarakat setempat ke arah pembentukan komuniti yang lebih selamat, berdaya tahan dan lestari.
Source: UTM NewsHub