
KUALA LUMPUR, 30 Nov – Fakulti Kecerdasan Buatan dengan kerjasama Masjid UTM Kuala Lumpur telah menganjurkan program pemuliaan (pelupusan) Al-Quran dan bahan cetakan agama secara lestari menggunakan teknologi hijau. Inisiatif ini bertujuan memartabatkan kesucian Al-Quran serta memelihara kelestarian alam sekitar.
Program hijau yang berlangsung selama tiga hari, bermula 28 hingga 30 November 2025, adalah hasil kerjasama dengan Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah (PIKU), badan bukan kerajaan (NGO) pertama di Malaysia yang mengetengahkan kaedah pelupusan Al-Quran dan bahan bercetak agama menggunakan pendekatan teknologi hijau. Pengerusi PIKU, Fatimah Zahra Zulkafli, berkata inisiatif ini menyediakan penyelesaian praktikal dan berkesan kepada masyarakat Islam yang memiliki Al-Quran lama, rosak atau tidak lagi digunakan, tetapi menghadapi kekeliruan mengenai kaedah pelupusan yang betul mengikut syarak.
Sesi mesyuarat pertama diadakan pada 16 Oktober 2025 melibatkan wakil Masjid UTM Kuala Lumpur, Fakulti Kecerdasan Buatan, dan rakan pelaksana bagi membincangkan perancangan Program Pemuliaan (Pelupusan) Al-Quran Secara Lestari Menggunakan Teknologi Hijau.

Program dirasmikan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip, Timbalan Pengarah Pusat Pelestarian Kampus (CCS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, dan diketuai oleh Dr. Nurazean Maarop, Penyelaras Unit Kelestarian, Fakulti Kecerdasan Buatan UTM. Program ini terbuka kepada orang awam sebagai inisiatif pendidikan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melupuskan bahan yang mengandungi ayat-ayat suci Al-Quran mengikut hukum syarak. Suasana program di Anjung Masjid UTM Kuala Lumpur menerima sambutan menggalakkan daripada warga kampus dan masyarakat setempat yang hadir menyerahkan naskhah Al-Quran serta bahan cetakan agama untuk dilupuskan.

Program turut memberi pendedahan tentang penggunaan teknologi hijau dalam pelupusan bahan bercetak, menangani isu lambakan naskhah Al-Quran dan bahan agama rosak secara tidak terkawal. Inisiatif ini menerima sambutan menggalakkan daripada staf akademik, pentadbir, serta masyarakat setempat yang mengambil peluang menyerahkan naskhah lama untuk dilupuskan dengan cara beradab dan selamat.
Kitab-kitab Al-Quran dan bahan bercetak agama yang uzur melalui proses pengumpulan dan pengasingan terlebih dahulu. Seterusnya, pelupusan dilaksanakan menggunakan kaedah rendaman penghapusan dakwat (deep inking) mesra alam bagi menghilangkan tulisan ayat suci secara menyeluruh.



Kertas yang telah melalui proses ini dikitar semula menjadi kertas lebih keras dan digunakan semula sebagai kulit baharu Al-Quran, menyokong amalan kitar semula berimpak tinggi dan selari dengan agenda Pembangunan Mampan (SDG), khususnya penggunaan bertanggungjawab, pengurusan sisa, dan pendidikan kelestarian.
Wakil Pegawai Tadbir Masjid UTM Kuala Lumpur, Ustaz Khairuddin Ramli, berkata pengurusan masjid turut memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan program serta membantu menyampaikan penerangan kepada jemaah sebelum khutbah Jumaat. Langkah ini meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pelupusan Al-Quran secara syarak dan lestari.
Bahan bercetak yang mengandungi ayat-ayat suci Al-Quran tidak boleh dilupuskan seperti kertas biasa kerana ia memerlukan penjagaan kesucian kalam Allah serta pematuhan hukum syarak. Kaedah konvensional sebelum ini ialah pembakaran di tempat bersih sebelum abunya dihanyutkan ke laut atau sungai.
Pendekatan baharu yang diperkenalkan NGO PIKU menawarkan alternatif mesra alam melalui teknik rendaman. Bahan bercetak direndam, dikitar semula, dan digunakan semula sebagai kulit atau penutup Al-Quran. Kaedah ini menjaga kesucian Al-Quran dan memberi manfaat berpanjangan sebagai amal jariah kepada masyarakat.
Program ini menyemai nilai kekhalifahan dalam kalangan umat Islam melalui usaha memuliakan Al-Quran dan bahan agama lama atau lusuh, serta menyokong pemeliharaan alam sekitar. Selain itu, ia memberi pendidikan dan kesedaran tentang pelupusan Al-Quran secara syarak, selamat, dan kos efektif berbanding kaedah konvensional, menjadi amal jariah berterusan untuk masyarakat sejagat.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi UTM “Menginovasi Penyelesaian Lestari” dalam memperkukuh agenda kelestarian serta menyemai nilai kesedaran, adab, dan tanggungjawab terhadap alam sekitar serta kesucian kalam Ilahi. Penganjur berharap program ini dapat diperluaskan ke peringkat sekolah, masjid komuniti, dan institusi pengajian tinggi lain bagi memelihara kesucian Al-Quran dan kelestarian alam sekitar.
Oleh Dr. Nurazean Maarop dan Prof. Madya Ts. Dr. Roslina Mohammad, Fakulti Kecerdasan Buatan, UTM Kuala Lumpur
Source: UTM NewsHub