JOHOR BAHRU, 4 Sept – Program ‘Sungai Sejahtera Bersama Sinergi Ke Arah Lestari’ yang dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertujuan menimbulkan kesedaran terhadap pentingnya penjagaan sungai yang merupakan salah satu dari anugerah alam semula jadi kepada manusia. Selain menimbulkan kesedaran untuk menjaga sungai, program ini juga mampu untuk menimbulkan minat kepada staf UTM khasnya kakitangan FKA untuk menjadi sukarelawan yang melibatkan diri dalam sebarang aktiviti berkaitan pemeliharaan alam sekitar.

Ketua Fasilitator, Dr. Shamila Azman berkata program yang berlangsung di perkarangan Blok M50 pagi tadi telah disertai seramai 50 peserta yang terdiri daripada staf FKA menandakan komitmen tinggi fakulti itu terhadap usaha-usaha pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari. Dr. Shamila berkata program ini dianjurkan bertujuan untuk memperkukuhkan kesedaran terhadap keperluan menjaga kebersihan sungai dan melibatkan staf dalam kerja-kerja kesukarelawanan berkaitan alam sekitar. Program ini mendapat kerjasama strategik daripada Pusat Pelestarian Kampus (UTMCCS), Bahagian Pengurusan Aset (BPA) serta Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM.

“Kerjasama ini memperlihatkan usaha bersepadu dan komprehensif dalam menyebarluaskan kesedaran mengenai pentingnya menjaga kebersihan dan kelestarian sungai di sekitar kampus.
“Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah para peserta melaksanakan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan sungai berdekatan Blok M-50. Aktiviti ini tidak hanya bertujuan membersihkan kawasan berkenaan tetapi juga untuk mendalamkan sungai itu bagi tujuan aktiviti penyelidikan bagi subjek Hidrologi, salah satu subjek yang diambil oleh pelajar jurusan kejuruteraan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui selepas menghadiri acara penutupan program tersebut yang berlangsung di Blok M-50. Menurutnya lagi, selain pembersihan peserta juga diberikan pendedahan mengenai kaedah pengukuran pencemaran air sungai, termasuk penentuan kadar oksigen dalam air, pengukuran tahap keasidan (pH) serta pengukuran kandungan nitrat dan fosfat di dalam air.
“Dalam usaha meningkatkan pengetahuan peserta, mereka dibahagikan kepada lima kumpulan, masing-masing mengandungi sepuluh orang.
“Setiap kumpulan diberikan teka silang kata berkaitan kualiti air sungai sebagai aktiviti pengkayaan pengetahuan untuk menguji pemahaman mereka terhadap aspek-aspek penting dalam pengukuran pencemaran air. Aktiviti ini juga bertujuan untuk memupuk kerjasama dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kualiti air sungai,” katanya.

Objektif utama program ini adalah untuk melibatkan staf UTM khususnya dari FKA dalam aktiviti-aktiviti berkonsepkan kesukarelawanan yang menyokong usaha ke arah kelestarian alam sekitar. Selain itu, program ini juga berfungsi sebagai platform untuk menyebarkan maklumat dan pengetahuan mengenai kaedah pengukuran pencemaran air sungai secara praktikal.
“Melalui aktiviti ini, diharapkan kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan sungai dapat dipupuk dalam kalangan warga kampus serta komuniti sekitar seterusnya menyumbang kepada usaha pemeliharaan alam sekitar secara berterusan dan berkesan,” ujarnya menutup perbualan.

Program ‘Sungai Sejahtera Bersama Sinergi Ke Arah Lestari’ anjuran Fakulti Kejuruteraan Awam UTM ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ketiga (Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik), keempat (Kualiti Pendidikan), keenam (Kebersihan Air dan Sanitasi) dan juga SDG ke-13 (Tindakan Perubahan Iklim).
Source: UTM NewsHub