ISKANDAR PUTERI, 26 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) selaku penaja utama Geran Iskandar Puteri Rendah Karbon 5.0 (IPRK 5.0), telah melaksanakan pemantauan Fasa 2 Projek Odisi HijauX: Jejak Lestari Kitar Semula E-Waste Anda! di SMK Dato’ Usman Awang, Iskandar Puteri. Program ini menekankan peranan sekolah sebagai hab komuniti dalam mengurus sisa elektronik secara sistematik dan berdaya lestari.
Majlis pemantauan Fasa 2 turut disekalikan dengan peluncuran Kempen Pengumpulan E-Waste yang menjadikan SMK Dato’ Usman Awang sebagai pusat rujukan masyarakat setempat. Inisiatif ini bukan sahaja memacu usaha menjadikan sekolah sebagai institusi pendidikan berorientasikan hijau, malah melakar sejarah sebagai sekolah yang menggerakkan budaya kitar semula elektronik secara menyeluruh dengan sokongan universiti dan pihak berkuasa tempatan.

Kewujudan kiosk khas pengumpulan e-waste di kawasan sekolah memberi kemudahan kepada warga sekolah dan masyarakat setempat untuk menghantar barangan elektronik terpakai seperti komputer lama, projektor, papan litar, telefon bimbit serta pelbagai peralatan lain bagi dikitar semula secara selamat. Usaha ini membuktikan bahawa peranan sekolah hari ini melangkaui fungsi tradisional pendidikan, sebaliknya bertindak sebagai pusat komuniti yang menyokong agenda bandar rendah karbon serta mendidik generasi muda mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar.

Sebagai peneraju akademik, UTM memainkan peranan utama dalam membangunkan modul pembelajaran interaktif, menyampaikan ceramah kesedaran serta memantau keberkesanan pelaksanaan program. Pensyarah dan penyelidik UTM turut memberi bimbingan kepada guru serta pelajar, sekali gus memperkenalkan nilai inovasi melalui pendidikan lestari yang menghubungkan teknologi dengan alam sekitar. Projek Odisi HijauX ini juga selari dengan slogan utama UTM, Innovating Solutions, apabila peralatan elektronik yang dikumpulkan akan diinovasikan semula menjadi produk baharu melalui aktiviti upcycling oleh kumpulan pelajar terlibat.
Peranan MBIP pula cukup signifikan sebagai penaja utama menerusi Geran IPRK 5.0. Sumbangan dana yang disalurkan membolehkan projek ini dilaksanakan dengan lebih meluas, termasuk pembinaan kiosk pengumpulan, penganjuran kempen sekolah, serta aktiviti pemantauan berterusan. Langkah ini seiring dengan komitmen MBIP untuk menjadikan Iskandar Puteri sebagai bandar rendah karbon menjelang 2030, selain mengukuhkan kerjasama strategik bersama universiti dan komuniti.
Pengetua SMK Dato’ Usman Awang, Aerma Nurazalina Musa, menzahirkan penghargaan kepada UTM dan MBIP kerana memilih sekolah tersebut sebagai model pendidikan hijau. Beliau menegaskan bahawa usaha ini mampu memupuk amalan kelestarian sebagai budaya hidup pelajar yang akan diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya. Dengan slogan “Let’s Prevent Global Warming 2025”, Projek Odisi HijauX membuktikan sinergi antara universiti, pihak berkuasa tempatan, industri dan sekolah dalam memperkasa agenda rendah karbon.

Sesi pemantauan turut diserikan dengan perkongsian inspirasi saintis usahawan sempena Hari Keusahawanan SMK Dato’ Usman Awang. Dr. Muhammad Hariz Ashraf, Pengarah Ashraf Life Resources, berkongsi pengalaman beliau menghasilkan semburan antibakteria berasaskan cecair nano perak menggunakan daun kesum sebagai agen penurunan dalam tindak balas kimia. Perkongsian itu bukan sahaja mendedahkan aplikasi sebenar topik dalam silibus kimia, malah menyuntik inspirasi kepada pelajar tentang bagaimana idea inovatif boleh dikembangkan menjadi penyelesaian praktikal serta peluang keusahawanan.

Program ini memberi impak besar kepada warga sekolah apabila para pelajar didedahkan dengan ceramah kesedaran, demonstrasi dan aktiviti pengumpulan e-waste yang interaktif. Melalui penyertaan langsung, mereka memahami bukan sekadar kaedah mengurus sisa elektronik dengan betul, tetapi juga kaitannya dengan isu global seperti perubahan iklim dan pencemaran karbon. Secara tidak langsung, program ini menanam kesedaran awal kepada generasi muda bahawa mereka mempunyai peranan besar dalam membentuk masa depan yang lebih lestari.
Source: UTM NewsHub