KUALA LUMPUR, 17 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi, pembangunan kepimpinan dan pembelajaran sepanjang hayat, dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualification (APEL Q).
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Ibu Pejabat INTAN, Bukit Kiara itu menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan agensi pembangunan kapasiti sektor awam. Majlis berkenaan turut disaksikan oleh barisan pengurusan tertinggi kedua-dua institusi yang komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif kerjasama yang memberi manfaat bersama.

Kerjasama ini turut seiring dengan inisiatif yang diumumkan Kerajaan di bawah Belanjawan Negara 2025, yang memperuntukkan sokongan terhadap pelaksanaan APEL Q sebagai pendekatan berimpak tinggi untuk memperluas pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman. Ia sekali gus membuka peluang peningkatan kemahiran bagi penjawat awam dan tenaga kerja profesional.
Inisiatif ini bukan sahaja tertumpu kepada agensi kerajaan, malah turut merangkumi badan berkanun termasuk staf UTM yang memenuhi kriteria APEL Q. Mereka digalakkan menyertai program APEL Q melalui INTAN sebagai usaha memperkukuh kelayakan akademik berasaskan pengalaman kerja dan sumbangan profesional masing-masing.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Mohd Shafry menegaskan bahawa UTM menyambut baik potensi kerjasama ini sebagai usaha memperkukuh pembangunan modal insan negara. Beliau turut memaklumkan bahawa universiti, melalui Pejabat Pendaftar, akan merangka program latihan bersama INTAN khusus untuk staf UTM, dengan memberi fokus kepada reformasi struktur, dasar dan transformasi organisasi, terutamanya bagi kumpulan pengurusan serta profesional.

Selain itu, Azman Hashim International Business School (AHIBS) turut meneroka potensi untuk menawarkan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan yang disesuaikan dengan keperluan warga INTAN. Program ini akan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI), merangkumi modul seperti inovasi digital, blockchain, analitik data, serta transformasi digital sektor awam. Langkah ini sejajar dengan keperluan semasa untuk mempertingkat kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Prof. Dr. Mohd Shafry turut menekankan bahawa dalam era pasca-pandemik dan revolusi teknologi masa kini, penguasaan kemahiran dalam bidang Generative AI amat penting bagi penjawat awam. Kefahaman terhadap implikasi dasar, etika, dan potensi teknologi ini mampu memperkukuh proses membuat keputusan yang lebih pantas serta berasaskan data, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam negara.

Kerjasama strategik antara UTM dan INTAN ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara institusi pendidikan tinggi dan agensi kerajaan, malah menjadi platform penting untuk melahirkan pemimpin sektor awam yang berpengetahuan, berdaya saing dan berinovatif. Usaha ini sejajar dengan aspirasi Malaysia ke arah mewujudkan pentadbiran awam yang mampan, cekap serta berpaksikan nilai ilmu dan integriti.
Source: UTM NewsHub