UTM komited biaya pendidikan pelajar menerusi Biasiswa Endowmen

UTM komited biaya pendidikan pelajar menerusi Biasiswa Endowmen

Sep 26, 2025 | UTM NewsHub

JOHOR BAHRU, 26 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperlihatkan komitmen tinggi dalam memastikan akses pendidikan yang inklusif apabila berjaya menyalurkan lebih RM4.46 juta Biasiswa Endowmen sepanjang tempoh lima tahun terkini, dari 2021 hingga 2025. Inisiatif ini telah memberi manfaat kepada seramai 633 penerima, majoritinya daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), sekali gus membolehkan mereka menuntut ilmu tanpa terbeban dengan masalah kewangan.

Biasiswa Endowmen yang diwujudkan sejak 2009 kini menjadi antara tonggak utama dalam ekosistem kebajikan pelajar UTM. Melalui dana yang dikumpul hasil sumbangan alumni, industri dan masyarakat, tabung endowmen universiti telah berkembang sehingga mencecah lebih RM100 juta. Jumlah ini menempatkan UTM sebagai antara universiti dengan dana endowmen paling aktif di Malaysia dan membuktikan budaya memberi semakin mengakar dalam kalangan warga serta penyokong universiti.

Sejak penubuhannya, pelbagai kategori biasiswa diwujudkan di bawah tabung ini. Antaranya termasuk Biasiswa Endowmen Azman Hashim bagi kategori B40, pelajar cemerlang akademik serta kecemerlangan sukan; Biasiswa Endowmen Alumni UTM; Biasiswa Endowmen Merdeka; dan beberapa biasiswa lain hasil sumbangan tokoh, yayasan serta individu prihatin.

Tan Wei Li, penerima Biasiswa Endowmen Azman Hashim, ketika menghadiri Majlis Santapan Diraja tahun lalu
Nor Aida Nabila Hisyamuddin, penerima Biasiswa Endowmen Daing Abdul Rahman Daing Mohamad, sewaktu majlis penyampaian biasiswa

Data menunjukkan Biasiswa Endowmen Azman Hashim (Kategori B40) mencatat jumlah tertinggi sumbangan dengan lebih RM1.28 juta disalurkan kepada 60 pelajar sepanjang tempoh 2021 hingga 2025. Ia diikuti Biasiswa Endowmen Merdeka yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM1.12 juta kepada 39 penerima, manakala Biasiswa Endowmen Al-Bukhary memberi manfaat bernilai RM703,500 kepada 26 pelajar.

Raakesh A/L Ovannan, penerima Biasiswa Endowmen Albukhary, merakam kenangan menerima biasiswa

Secara keseluruhan, peruntukan biasiswa endowmen dari tahun 2021 hingga 2025 memperlihatkan peningkatan signifikan. Pada 2021, sebanyak RM48,000 disalurkan kepada lapan pelajar; 2022 menyaksikan peningkatan kepada RM366,500 untuk 61 pelajar; tahun 2023 melonjak kepada RM1.08 juta bagi 140 pelajar; tahun 2024 mencapai RM1.86 juta untuk 212 pelajar; manakala bagi 2025, RM1.1 juta telah diperuntukkan kepada 212 pelajar. Angka ini jelas mencerminkan usaha konsisten universiti dalam menyalurkan bantuan secara meluas.

Sehingga Jun 2025, seramai 12,784 pelajar B40 direkodkan sedang menuntut di UTM. Menyedari cabaran kewangan yang dihadapi kelompok ini, universiti turut melaksanakan pelbagai inisiatif sokongan lain. Antaranya ialah program Manfaat Siswa Sulung yang menyalurkan lebih RM8.1 juta kepada 730 pelajar, serta biasiswa dan dana endowmen bernilai RM28 juta kepada 954 pelajar B40 sejak 2011.

Lebih daripada sekadar angka, inisiatif ini turut memberi suntikan motivasi kepada pelajar. Nur Izzati Mustafa, penerima Biasiswa Azman Hashim kategori B40 yang kini mencatatkan kecemerlangan akademik dengan CGPA 3.96, mengakui biasiswa yang diterima menjadi titik tolak penting dalam perjalanan pendidikannya.

“Biasiswa ini bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga saya, tetapi juga memberi keyakinan untuk saya terus berusaha mencapai yang terbaik. Saya berasa dihargai kerana segala penat lelah dalam pelajaran tidak sia-sia, malah disokong dengan kepercayaan universiti dan para penyumbang. Ia menjadi pemacu semangat untuk saya memberi kembali kepada masyarakat suatu hari nanti,” katanya dengan penuh harapan.

Izzati, dua dari kiri baris belakang (bertudung merah jambu) ketika berada di majlis penyerahan biasiswa

Sementara itu, bagi Sarah Syazwina, penerima Biasiswa Azman Hashim kategori Cemerlang yang kini melangkah dari tahun pertama ke tahun kedua pengajian, peluang yang diperolehnya ini dianggap sebagai permulaan baharu yang penuh makna.

“Saya datang daripada keluarga yang sederhana, dan biasiswa ini benar-benar memberi kelegaan kepada saya serta seisi keluarga. Ia membuatkan saya lebih yakin untuk meneruskan pengajian tanpa rasa terbeban. Sebagai pelajar tahun pertama, sokongan ini merupakan satu anugerah yang amat bermakna kerana ia membantu saya menyesuaikan diri di universiti dan memberi fokus sepenuhnya terhadap pelajaran. Pada pandangan saya, memegang nama sebagai penerima biasiswa bukan sekadar satu penghargaan, tetapi juga amanah baharu untuk saya terus berbakti kepada keluarga, universiti, dan negara,” jelasnya penuh kesyukuran.

Selain biasiswa, UTM turut memperkenalkan pelbagai bentuk bantuan kebajikan seperti Menu Rahmah UTM, skim kebajikan pelajar, sokongan psikososial, dan program pembangunan kerjaya. Semua ini digerakkan bagi memastikan setiap mahasiswa mempunyai ruang yang sebaiknya untuk menamatkan pengajian serta bersedia melangkah ke alam kerjaya dengan keyakinan.

Komitmen berterusan ini membuktikan bahawa UTM bukan sekadar sebuah universiti penyelidikan bertaraf dunia, tetapi juga sebuah institusi yang mendukung nilai kemanusiaan sejagat. Prinsip “Kerana Tuhan Untuk Manusia” dizahirkan melalui usaha menyantuni pelajar, khususnya daripada keluarga B40, agar mereka tidak tercicir dalam arus pendidikan tinggi.

Slogan “UTM Cares, Endowmen Cakna” bukan hanya kata-kata, tetapi mencerminkan budaya memberi yang menjadi pemacu kelestarian universiti. Dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak, inisiatif endowmen diyakini akan terus berkembang, memperkasa mahasiswa, memperkukuh kecemerlangan akademik dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.

Source: UTM NewsHub

Explore More

UTM FABU Builds Global Alliances in Shanghai to Advance Built Environment Education

The Faculty of Built Environment and Surveying (FABU) at Universiti Teknologi Malaysia (UTM) has taken another bold step in its internationalisation agenda with a high-level benchmarking visit to Shanghai. The delegation, led by Dean Prof. Sr. Dr. Kherun Nita Ali,...

AI dan Akademia: Membudaya penggunaan teknologi beretika

Mengimbau kembali ketika pertama kali Hari Akademia disambut pada 5 Oktober 2019, seluruh warga akademik amat teruja dengan sambutan ini. Seluruh warga akademik di negara ini meraikan Hari Akademia dengan penuh semangat dan kesedaran terhadap peranan institusi...

Syarahan Perdana Profesor UTM tekankan kejuruteraan lestari demi kesejahteraan planet

JOHOR BAHRU, 15 Okt. – Inovasi dan teknologi perlu bergerak seiringan dengan kelestarian bumi demi kesejahteraan hidup manusia dan alam sekitar pada masa yang akan datang. Ini adalah berkait rapat dengan timbulnya keperluan mendesak untuk mentakrifkan semula...

MJIIX 2025 Expanding Horizons Through Research and Innovation

KUALA LUMPUR, Oct 14 – The Malaysia-Japan Industrial & Innovation Expo 2025 (MJIIX 2025), organized by Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), and co-organized by the Japanese Chamber of Trade &...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index