KUALA LUMPUR, 17 Okt – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) telah melancarkan ruang baharu yang dikenali sebagai Library XChange Hub, bertempat di Aras 2, Bangunan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, yang diiringi oleh Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, yang menjalankan fungsi Ketua Kampus UTM Kuala Lumpur. Turut hadir Ketua Pustakawan UTM, Puan Khairulbahiyah Yaakub, barisan pengurusan universiti, staf dan pelajar, selain wakil komuniti sekitar. Acara yang berlangsung penuh meriah itu turut menerima kehadiran hampir 60 tetamu jemputan daripada warga UTMKL dan komuniti PPR Seri Semarak.
Penubuhan Library XChange Hub menandakan permulaan era baharu perpustakaan UTM ke arah konsep New Library Generation, iaitu pendekatan inovatif yang menggabungkan teknologi, keterangkuman dan kolaborasi dalam memperkukuh ekosistem pembelajaran sepanjang hayat. Diilhamkan daripada konsep The Last Word Community Hub di The British Library, ruang ini diwujudkan sebagai hab interaksi ilmu, kreativiti dan inovasi yang terbuka kepada seluruh warga kampus dan masyarakat.
Menurut Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, Library XChange Hub berperanan sebagai platform penting bagi pelaksanaan pelbagai program ilmiah dan keusahawanan yang menghubungkan universiti dengan komuniti. Usaha ini, katanya, memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pemangkin pembangunan ilmu, sahsiah dan jaringan pintar universiti, selaras dengan aspirasi UTM sebagai institusi yang memasyarakatkan ilmu dan inovasi.
Dalam ucapan perasmian, Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menegaskan bahawa inisiatif seperti ini dapat memperkukuh budaya ilmu yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun.
“Budaya ilmu merupakan budaya pemikiran yang berhikmah serta menjadi asas kepada pembinaan tamadun. Dalam usaha memperkasakan ilmu dalam diri, asasnya bermula dengan membaca, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-‘Alaq: ‘Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakanmu’. Sesungguhnya ilmu yang dimiliki oleh manusia datang daripada Allah SWT yang mengurniakan akal sebagai anugerah untuk berfikir dan mencari kebenaran,” ujar beliau.
Beliau turut menambah bahawa ilmu yang benar akan mengajar manusia tentang kebaikan dan mendorong kepada amal kebajikan. “Firman Allah, ‘Bacalah, dan Tuhanmu yang paling pemurah’ membawa erti bahawa membaca bukan sekadar memperoleh ilmu, tetapi juga menyebarkannya kepada orang lain,” katanya. Menurut beliau, perpustakaan berperanan besar dalam membina masyarakat berilmu dan beradab melalui proses membaca, berfikir dan berkongsi ilmu.

Sejak ditubuhkan, Library XChange Hub telah menjadi lokasi pelaksanaan pelbagai program berimpak komuniti anjuran Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Antara program yang dilaksanakan termasuk Bengkel Pemasaran Digital dan AI bersama Nenny Ruthfalydia Rosli; Bengkel Craft Felt dan Paper Quilling bersama Kolej Komuniti Selandar, Melaka; serta Bengkel Design Pintar dengan Kuasa AI bersama Prof. Madya Ts. Dr. Nur Azaliah Abu Bakar. Program-program ini bukan sahaja memperkaya pengetahuan peserta, malah membuka peluang pembelajaran dan penjanaan ekonomi kepada komuniti setempat.

Dalam sesi khas majlis, wakil komuniti PPR Seri Semarak, Siti Mariani Hussin, turut berkongsi pengalaman tentang bagaimana penyertaan dalam program anjuran perpustakaan memberi ruang baharu untuk menambah ilmu dan kemahiran, sekali gus meningkatkan sumber pendapatan keluarga. Perkongsian beliau menggambarkan kejayaan sebenar inisiatif perpustakaan sebagai ejen pemerkasaan komuniti dan pemangkin pembangunan sosial berasaskan ilmu.

Majlis turut diserikan dengan gimik pelancaran berasaskan realiti maya (VR) yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, disusuli tayangan montaj perkhidmatan baharu perpustakaan dan penyempurnaan puzzle perasmian. Gimik interaktif ini bukan sekadar simbolik pelancaran, tetapi turut menandakan integrasi teknologi digital dalam pengalaman pembelajaran masa depan.

Selesai perasmian, para tetamu dibawa meninjau ruang baharu Library XChange Hub yang menampilkan zon khas seperti IDEAS Corner, Live Corner dan Gaming Zone yang direka bagi menggalakkan pembelajaran interaktif, kreativiti serta kolaborasi antara pelajar dan komuniti. Inisiatif ini membuktikan komitmen UTM untuk menjadikan perpustakaan sebagai living library space yang dinamik, inklusif dan mesra pengguna, sejajar dengan keperluan pembelajaran generasi kini.

Secara keseluruhannya, pelancaran Library XChange Hub mencerminkan langkah strategik UTM dalam memperkukuh fungsi perpustakaan sebagai hab ilmu, inovasi dan kolaborasi komuniti. Ia menjadi simbol kepada semangat New Library Generation yang mendukung transformasi pendidikan tinggi ke arah masa depan yang lebih progresif, kreatif dan lestari.
Source: UTM NewsHub