Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengorak langkah ke persada antarabangsa apabila salah seorang mahasiswa Fakulti Sains berjaya menempatkan diri dalam program latihan industri di salah sebuah universiti terkemuka Jepun, Osaka University. Inisiatif ini dilaksanakan melalui memorandum persefahaman (MoU) antara UTM dan Osaka University yang membuka laluan pertukaran pelajar serta peluang latihan industri di peringkat global.
Wong Yun Wen, pelajar tahun ketiga Sarjana Muda Sains (Biologi Industri) dengan Kepujian, kini sedang menjalani latihan industri antarabangsa di Osaka University, di bawah bimbingan Prof. Hiroshi Umakoshi di Bio-Inspired Chemical Engineering Laboratory – sebuah makmal penyelidikan berprestij dalam bidang kejuruteraan kimia berinspirasikan biologi. Latihan ini juga menyokong pelaksanaan Projek Tahun Akhir (FYP) beliau di bawah seliaan Prof. Madya ChM. Dr. Mohd Firdaus Abdul Wahab, ChM. Dr. Sheela Chandren, serta Ir. Ts. Dr. Wan Rosmiza Zana Wan Dagang. Sepanjang latihan, Wong terlibat secara langsung dalam penyelidikan Nanostructured Lipid Carriers (NLCs) merangkumi penghasilan, pencirian, dan analisis kestabilan partikel.
Menurut Wong, peluang berharga ini diperoleh melalui saluran rasmi UTM dengan sokongan Penasihat Akademik, Dr. Zaidah Rahmat, disusuli bimbingan Penyelia Fakulti, Prof. Madya ChM. Dr. Mohd Firdaus yang memperkenalkan peluang di Osaka University. Setelah menghantar Curriculum Vitae (CV) dan melalui proses semakan, Wong mengemukakan permohonan rasmi di laman sesawang Osaka University yang turut memerlukan sokongan akademik daripada Dr. Zaidah Rahmat, kelulusan Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir, serta arahan lanjut daripada ChM. Dr. Sheela Chandren dan Nakamura-san. Tawaran rasmi kemudiannya dikeluarkan oleh Osaka University.

Di peringkat Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Wong turut menjalani sesi temu duga bagi mendapatkan kelulusan sara hidup sepanjang tempoh latihan industri ini. Laluan yang tersusun membuktikan komitmen UTM dalam memastikan pelajarnya mendapat sokongan akademik dan pentadbiran yang lengkap sepanjang mengikuti program mobiliti antarabangsa.
Penyelidikan Wong menumpukan kepada sistem pembawa berasaskan lipid (NLCs) yang semakin mendapat perhatian dalam bioteknologi moden. NLCs penting kerana berpotensi meningkatkan kestabilan, keberkesanan, dan kawalan pelepasan kompaun bioaktif secara lebih tepat. Penyelidikan ini berimpak tinggi kerana pemahaman tentang interaksi lipid dan bioaktif dapat membuka peluang inovasi dalam pelbagai sektor. Pengalaman Wong menguasai teknik penghasilan dan analisis NLCs bukan sahaja memperkukuh pengetahuan akademiknya, tetapi juga membuka peluang untuk menyumbang kepada pembangunan bioteknologi berkualiti tinggi.
Sepanjang berada di Osaka, Wong bukan sahaja mendalami aspek teknikal penyelidikan, malah berinteraksi dengan penyelidik dan pelajar antarabangsa dari Jepun, Indonesia, Thailand dan negara lain. Perkongsian ilmu, strategi penyelidikan serta pengalaman budaya kerja pelbagai latar membolehkannya menyesuaikan diri dengan persekitaran global. Beliau juga memanfaatkan masa lapang untuk menerokai budaya Jepun, mencuba makanan tempatan serta mengunjungi lokasi ikonik seperti Umeda dan Kishiwada.
“Pengalaman ini membuka mata saya tentang kepentingan inovasi dan kreativiti dalam penyelidikan. Setiap eksperimen memerlukan perancangan teliti, pemikiran kritis dan kesabaran, dan ini menjadikan saya lebih yakin dalam menghadapi cabaran penyelidikan,” kata Wong.
Bagi Wong, pengalaman ini menjadi batu loncatan penting dalam membina kerjaya masa hadapan. Beliau berhasrat untuk memanfaatkan pengalaman penyelidikan antarabangsa dalam penulisan Projek Tahun Akhir serta bercita-cita menyambung pengajian ke peringkat sarjana atau PhD dalam bidang bioteknologi. Latihan ini memberinya keyakinan bahawa dengan bimbingan yang tepat dan usaha berterusan, pelajar UTM mampu bersaing di pentas global.
Wong turut merakamkan penghargaan kepada pihak UTM, khususnya Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) dan Fakulti Sains, serta para pensyarah – Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir, Dr. Zaidah Rahmat, Prof. Madya ChM. Dr. Mohd Firdaus, ChM. Dr. Sheela Chandren, Ir. Ts. Dr. Wan Rosmiza Zana dan Dr. Yap Yung Szen – atas sokongan serta tunjuk ajar sepanjang tempoh latihan. Beliau juga berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan, dan komuniti akademik atas sokongan moral yang berterusan.
“Nasihat saya kepada rakan-rakan pelajar lain ialah beranilah melangkah keluar dari zon selesa dan sambutlah setiap cabaran baharu dengan hati terbuka, kerana kita tidak akan benar-benar mengetahui sejauh mana kekuatan diri untuk menentang arus dan mengejar impian. Sentiasa bersedia menghadapi pengalaman baharu dan cabaran global, kerana di situlah kita akan menemui potensi sebenar diri,” tambahnya.
Pengalaman ini diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar UTM untuk melangkah ke peringkat antarabangsa, mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing, dan akhirnya menyumbang kembali kepada bangsa serta negara tercinta. Sebagai sebuah universiti berteraskan inovasi dan kecemerlangan global, UTM terus komited menyediakan laluan dan sokongan terbaik agar para pelajarnya mampu menempa kejayaan di peringkat dunia. Dengan jaringan kerjasama strategik, peluang penyelidikan bertaraf antarabangsa, dan bimbingan berterusan daripada tenaga akademik berwibawa, pengalaman seumpama ini membuktikan bahawa pelajar UTM berpotensi besar untuk menjadi pemimpin ilmu, penyelidik berdaya saing, dan agen perubahan yang memberi impak positif kepada komuniti sejagat.

Source: UTM NewsHub