Lebih 100 sukarelawan alam sekitar semalam menyertai Program Penanaman Pokok Bakau dan Kutip Sampah Sambil Beriadah (KUDAH) anjuran Yayasan Johor Corporation (JCORP) di Taman Negara Tanjung Piai, Pontian.
Mereka terdiri daripada Sukarelawan Sahabat YJC, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan komuniti penduduk penghujung benua Asia.
Inisiatif yang dilakukan oleh Yayasan JCorp dengan kerjasama UTM itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab masyarakat dalam memelihara serta memulihara alam sekitar selain dapat mendidik mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar kepada orang ramai.
Tujuan utama program ini adalah menjaga kepentingan konservasi pokok bakau dan meningkatkan pengetahuan malah memberi kesedaran awam terhadap ekosistem di pesisir pantai.
Sebelum ini Yayasan JCorp turut melaksanakan program KUDAH di beberapa lokasi seperti Kota Tinggi, Iskandar Puteri dan Pontian dengan menggabungkan program itu bersama kegiatan menanam pokok bakau.
Selain itu, kolaborasi antara Yayasan JCorp dan UTM dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar telah bermula pada tahun 2022 dengan penganjuran pelbagai program seperti Webinar Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama, Program Membersih Denai Sungai Bersama Komuniti Sungai Melayu, Iskandar Puteri dan Program KUDAH di Kampung Kukup Laut, Kampung Ayer Masin dan Kampung Benteng Kanan, Pontian, Johor.
Hadir sama, Zaidatul Zurita Abdul Rahman, Ketua Yayasan JCorp serta Prof. Dr. Zainura Zainon Noor, Pengarah Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air (IPASA), UTM Johor Bahru.
0 Comments