
SIMPANG RENGGAM, 8 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kolej Tun Fatimah (KTF) terus memperkukuh jalinan universiti dengan masyarakat apabila menyertai Karnival Kerjaya STEM Peringkat Negeri 2025 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Renggam, Johor.
Program anjuran Yayasan PETRONAS dengan kerjasama Parlimen Simpang Renggam ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui penyertaan pelbagai institusi pendidikan tinggi serta rakan industri.
UTM melalui KTF menampilkan reruai pameran yang interaktif dan informatif, menonjolkan program-program Sarjana Muda UTM serta hasil penyelidikan pelajar dalam bidang teknologi lestari, tanah dan mineral. Antara tarikan utama ialah pameran model sampel mineral, poster kajian pelajar, serta bahan promosi Kolej Tun Fatimah yang membawa tema “Belongs to the Podium”, mencerminkan semangat kecemerlangan dan daya saing pelajar UTM.

Reruai pameran dikendalikan oleh pembantu-pembantu felow KTF yang terdiri daripada pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah UTM. Mereka turut berkongsi dapatan penyelidikan serta inovasi STEM masing-masing kepada para pelajar, merangkumi bidang bahan mampan, tenaga boleh diperbaharui, dan aplikasi teknologi moden dalam kejuruteraan.
Antara kajian yang menarik perhatian pengunjung ialah penyelidikan bertajuk Biochar Production from Microwave Pyrolysis of Empty Fruit Bunch (EFB) for Soil Rejuvenation, yang membincangkan inovasi penggunaan sisa kelapa sawit sebagai bahan biochar untuk memperbaiki kesuburan tanah secara mampan. Kajian ini membuktikan potensi besar teknologi hijau dalam menangani isu degradasi tanah pertanian dan kelestarian sumber semula jadi.
Selain itu, poster bertajuk Phenolic Rich Fraction of Wood Vinegar Condensate (VWC) turut dipamerkan, memperkenalkan penyelidikan penulenan cuka kayu daripada kayu bakau yang kaya dengan sebatian fenolik. Penemuan ini bukan sahaja berpotensi dalam bidang pertanian sebagai bahan semula jadi kawalan serangga, malah berpeluang diteroka untuk aplikasi farmaseutikal pada masa hadapan.


Menariknya, reruai tersebut turut mempersembahkan demonstrasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) melalui permainan interaktif AI Fitness Tetris. Permainan ini menggunakan teknologi pengesanan kamera web yang membolehkan pelajar mengawal pergerakan permainan menggunakan gerakan tubuh. Aktiviti tersebut bukan sahaja menyeronokkan, tetapi turut memperkenalkan pelajar kepada aplikasi teknologi AI dalam bidang kesihatan, pendidikan dan gaya hidup aktif.

Menurut Dr. Aminah Mohsin, Pengetua Kolej Tun Fatimah merangkap penasihat program, penyertaan UTM dalam karnival ini bukan sekadar pameran pendidikan, tetapi merupakan inisiatif libat urus masyarakat yang membawa ilmu universiti terus kepada komuniti akar umbi.
“Melalui aktiviti sebegini, pelajar sekolah dapat melihat sendiri bagaimana ilmu STEM diterapkan dalam kehidupan sebenar. Pendedahan ini mampu memupuk minat mereka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang memberi impak besar kepada pembangunan negara,” ujar beliau.
Kehadiran pelajar dan guru ke reruai UTM amat menggalakkan, dengan ramai pelajar mengambil peluang untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai laluan pengajian di UTM, peluang biasiswa, serta kehidupan kampus.
Penyertaan ini turut memperkukuh komitmen UTM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 9 (Inovasi dan Infrastruktur), dan SDG 13 (Tindakan Iklim), selaras dengan peranan universiti sebagai peneraju transformasi ilmu dan inovasi ke arah kesejahteraan masyarakat.
Source: UTM NewsHub