Pendekatan Quadruple Helix perkasa pengurusan risiko bencana komuniti Gunung Gading

Pendekatan Quadruple Helix perkasa pengurusan risiko bencana komuniti Gunung Gading

Nov 7, 2025 | UTM NewsHub

LUNDU, 5 Nov – Kejayaan pendekatan quadruple helix yang menggabungkan kolaborasi strategik antara akademia, agensi, industri dan komuniti terserlah menerusi penganjuran Program Pengurusan Risiko Bencana Berbasis Komuniti (Community-Based Disaster Risk Management, CBDRM) di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, Lundu, Sarawak.

Program anjuran Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Sarawak dengan kerjasama Geomapping Technology Sdn. Bhd., Borneo Geoscience Sdn. Bhd. dan Pejabat Daerah Lundu ini menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri daripada wakil agensi berkaitan serta komuniti daripada sembilan kampung sekitar Taman Negara Gunung Gading, Lundu. Majlis perasmian program disempurnakan oleh Ketua Pengarah JMG Malaysia, Datuk P. Geol Zamri Ramli.

Dif kehormat dan peserta program CBDRM Gunung Gading 2025 bergambar kenangan bersama Ketua Pengarah JMG Malaysia, Pengarah JMG Sarawak, wakil agensi Daerah Lundu serta Pengerusi Eksekutif GMTGeos selepas majlis perasmian

Program selama dua hari yang berlangsung pada 5 dan 6 November itu memuatkan pelbagai pengisian ilmiah dan aktiviti berbentuk interaktif, dengan matlamat utama meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pengurusan risiko bencana berkaitan geologi seperti banjir aliran puing (kepala air) dan kejadian tanah runtuh di kawasan sekitar taman negara berkenaan.

Turut menyertai program ialah Pensyarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Khairul Hisyam Kamarudin, yang dijemput khas sebagai penceramah pada sesi pertama.

Dalam ceramah bertajuk “Mengangkat Cerita Kecil Komuniti Desa Tahan Uji”, beliau berkongsi pandangan tentang ketahanan komuniti desa dalam menghadapi risiko bencana serta kepentingan membina jaringan sosial dan ilmu dalam memperkukuh daya tahan setempat kepada lebih 100 orang peserta yang melibatkan wakil agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan komuniti sekitar kawasan Taman Negara Gunung Gading.

Selain sesi ceramah, pelbagai aktiviti menarik turut dijalankan bersama komuniti termasuk permainan interaktif Disaster Imagination Game (DIG), Disaster Almanac serta kaji selidik isi rumah bagi penilaian Climate-Disaster Resilience Index (CDRI) yang dijalankan buat julung kalinya di kawasan Gunung Gading.

Dr. Khairul menyampaikan ceramah berkaitan kajian kes komuniti tahan uji kepada para peserta program

Pada hari kedua, tumpuan program beralih kepada Bengkel Pelan Tindakan Khas (PTK) Pengurangan Risiko Bencana Berbasis Komuniti (CBDRR) serta Program Jenguk Desa (Town Watching) yang dikendalikan oleh Dr. Khairul bersama Dato’ Zakaria. Aktiviti lapangan ini dijalankan bersama pihak agensi, pasukan penyelidik daripada Geomapping Technology Sdn. Bhd. dan Borneo Geoscience Sdn. Bhd. serta wakil komuniti tempatan bagi meninjau kawasan berisiko dan tindakan mitigasi yang telah dilaksanakan.

Sambutan terhadap bengkel tersebut amat menggalakkan apabila kehadiran peserta melebihi sasaran sehingga mencecah 75 orang. Situasi ini memerlukan sesi perbincangan kumpulan fokus (FGD) dipecahkan kepada beberapa kumpulan dengan tambahan fasilitator dan pencatat bagi memastikan setiap suara komuniti dapat diangkat dengan efektif. Dalam sesi ini, peserta berkongsi pengalaman, cabaran serta kekuatan yang dimiliki dalam menghadapi dan mengurus risiko bencana setempat.

Dato’ Zakaria dan Dr. Khairul mengelola sesi Latihan PTK dan Town Watching bersama para peserta dan wakil agensi

Secara keseluruhannya, program CBDRM yang berlangsung selama dua hari ini berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memperkukuh kefahaman komuniti terhadap kepentingan pengurusan risiko bencana menerusi penglibatan aktif pelbagai pihak. Pendekatan libatsama komuniti ini membuktikan bahawa pengurusan risiko yang berkesan hanya dapat dicapai melalui kolaborasi erat antara masyarakat, profesional, dan pihak berkuasa tempatan.

Menurut Dr. Khairul, kejayaan penganjuran ini membuktikan kekuatan sinergi antara pelbagai pemegang taruh dalam memastikan komuniti lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

“Program seperti ini memberi peluang kepada semua pihak untuk berkongsi ilmu, bertukar pandangan serta membina keupayaan bersama bagi meningkatkan daya tahan komuniti. Saya amat berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh JMG Malaysia, JMG Sarawak, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Geomapping Technology serta Borneo Geoscience,” katanya.

Tambah beliau, UTM komited untuk terus memperkukuh jaringan kolaborasi akademia, agensi, industri dan komuniti melalui pelbagai inisiatif berbentuk penyelidikan dan pembangunan masyarakat agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh.

Source: UTM NewsHub

Explore More

KTF UTM perkukuh minat pelajar terhadap STEM di Simpang Renggam

SIMPANG RENGGAM, 8 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kolej Tun Fatimah (KTF) terus memperkukuh jalinan universiti dengan masyarakat apabila menyertai Karnival Kerjaya STEM Peringkat Negeri 2025 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)...

Hisham Hellyer Appointed as UTM Adjunct Professor

KUALA LUMPUR, Nov 6 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) has appointed internationally renowned scholar Prof. Dr. Hisham A. Hellyer as an Adjunct Professor, marking a significant step in strengthening the university’s global academic engagement and international...

UTM Launches NexScholar — AI Platform for Jaringan Pakar MADANI

PUTRAJAYA, Nov 6 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) proudly introduced NexScholar, its newest spin-off company leveraging Artificial Intelligence (AI) to revolutionize Malaysia’s research and innovation ecosystem. The official launch of NexScholar took place during...

Forum MyIDEAS: Falsafah, Etika dan Kelestarian dalam Dasar AI IPT

PUTRAJAYA, 6 November 2025 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Perbadanan Putrajaya telah menganjurkan forum Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) sempena Festival IDEA Putrajaya 2025, bertemakan “Pembangunan...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index

UTM Open Day