
Teknologi komunikasi dan maklumat masa kini berkembang dengan pesat, membawa kepada penghasilan pelbagai peranti moden termasuk telefon pintar yang memudahkan manusia berhubung. Kepelbagaian fungsi telefon pintar yang semakin canggih menjadikannya satu keperluan penting dalam menjalani rutin harian.
Dalam konteks kehidupan pelajar masa kini, telefon pintar telah menjadi peranti yang sentiasa berada di sisi dan sukar untuk dipisahkan. Peranti kecil ini bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga rakan akademik yang sentiasa berada di tangan pelajar. Ia boleh digunakan untuk mencatat nota, menyertai kuliah dalam talian, berhubung dengan pensyarah, mengakses platform pembelajaran seperti UTM eLearning, malah melakukan carian pantas untuk tugasan yang diberikan. Namun, di sebalik manfaatnya, peningkatan penggunaan yang keterlaluan mula menimbulkan kebimbangan tentang kebergantungan berlebihan dan gejala ketagihan digital dalam kalangan pelajar.
Fenomena seperti FOMO atau Fear of Missing Out menyebabkan pelajar sentiasa ingin mengetahui perkembangan terkini rakan-rakan atau media sosial. Aplikasi hiburan seperti TikTok, Instagram dan YouTube direka untuk mengekalkan perhatian pengguna, menyebabkan ramai sukar berhenti scrolling. Ada juga pelajar yang mengalami nomophobia, iaitu rasa takut atau gelisah apabila berjauhan daripada telefon, tiada akses internet, atau apabila bateri terlalu rendah. Keadaan ini boleh menjejaskan tumpuan dan mengganggu keupayaan individu menjalankan aktiviti harian.
Fenomena yang dianggap sebagai fobia abad ke-21 ini merupakan campuran perkataan no-mobile-phone-phobia dan menjadi salah satu petunjuk awal kepada ketagihan digital. Tanda-tanda lain termasuk penggunaan telefon lebih lama daripada niat asal, sukar mengawal keinginan untuk memeriksa media sosial, serta berasa gelisah apabila tidak memegang telefon. Kesannya bukan sahaja mengganggu tumpuan tetapi juga rutin harian kerana individu mula mengabaikan tugas utama akibat terlalu fokus pada telefon pintar.
Ketagihan telefon pintar boleh memberi kesan ketara terhadap prestasi akademik kerana ia mudah mengalihkan perhatian. Semasa kuliah, pelajar mungkin hilang fokus akibat notifikasi atau keinginan membuka media sosial. Lama-kelamaan, mereka kerap menangguhkan tugasan kerana terlalu asyik dengan telefon. Gangguan digital seperti ini menjadikan proses pembelajaran tidak berjalan lancar dan akhirnya menjejaskan pemahaman serta keputusan peperiksaan.
Selain prestasi akademik, penggunaan telefon pintar yang berlebihan turut memberi tekanan kepada kesihatan mental. Ramai pelajar tanpa sedar mengalami stres, rasa cemas dan keletihan mental kerana minda sentiasa “aktif” dengan skrol tanpa henti. Kebiasaan menggunakan telefon hingga lewat malam juga sering mengganggu tidur, menjadikan tubuh kurang rehat. Jika berlarutan, ia boleh menjejaskan emosi, tenaga harian dan kesejahteraan keseluruhan.
Ketagihan telefon pintar turut memberi kesan kepada hubungan sosial pelajar. Interaksi bersemuka semakin berkurang apabila lebih banyak masa dihabiskan pada skrin berbanding berbual dengan rakan di sekeliling. Fokus yang beralih kepada dunia maya menyebabkan hubungan di kampus menjadi kurang mesra dan kadangkala terasa jauh. Keadaan ini boleh menjejaskan kemahiran sosial dan rasa kebersamaan dalam komuniti pelajar.
Untuk mengurangkan ketagihan digital, pelajar boleh menetapkan masa tertentu untuk belajar tanpa kehadiran telefon, seperti sesi pembelajaran tanpa telefon supaya fokus tidak mudah terganggu. Fungsi seperti Screen Time atau Digital Wellbeing dapat membantu memantau dan menghadkan penggunaan aplikasi yang paling banyak mencuri masa. Menutup notifikasi yang tidak penting juga dapat mengurangkan keinginan untuk sentiasa memeriksa telefon. Langkah-langkah kecil ini memberi ruang kepada pelajar untuk lebih fokus, teratur dan produktif dalam rutin harian.
Pelajar juga digalakkan memberi lebih keutamaan kepada interaksi sosial di dunia sebenar kerana hubungan bersemuka membantu membina sokongan emosi dan rasa kebersamaan. Di peringkat universiti, pihak pengurusan boleh memainkan peranan dengan menyediakan webinar, kempen “Digital Balance”, serta akses kepada kaunseling bagi membantu pelajar memahami dan mengurus penggunaan digital dengan lebih sihat. Usaha bersama antara pelajar dan institusi ini boleh mewujudkan persekitaran kampus yang lebih seimbang, sihat dan harmoni.
Secara keseluruhannya, telefon pintar membawa banyak manfaat kepada pelajar, terutamanya dalam memudahkan akses akademik, komunikasi, dan urusan harian. Namun begitu, penggunaan yang tidak terkawal boleh memberikan kesan negatif terhadap prestasi pelajaran, kesihatan mental, dan hubungan sosial. Pelajar perlu lebih bijak mengurus penggunaan digital agar teknologi kekal menjadi alat yang membantu, bukan mengganggu. Dengan kesedaran dan amalan yang seimbang, pelajar dapat menikmati kebaikan teknologi seterusnya menjaga kesejahteraan diri.
Oleh Dr. Wan Noor Hamiza Wan Ali, Pensyarah Kanan, Fakulti Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi Malaysia
Source: UTM NewsHub