Bengkel Analitik Data dalam Persekitaran Pengurusan Perniagaan telah berjaya dianjurkan pada 3–4 September 2025 bertempat di Active Learning Lab (ALL), Aras 3, Blok N28, Fakulti Komputeran, UTM Johor Bahru. Bengkel yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang ini dikendalikan oleh Ts. Dr. Chan Weng Howe dan Dr. Nor Azizah Ali, kedua-duanya merupakan Felo UTM Big Data Centre (BDC).
Sepanjang dua hari penganjuran, peserta diberikan pendedahan mengenai konsep dan aplikasi analitik data dalam pengurusan perniagaan dengan pengenalan kepada beberapa perisian utama seperti KNIME, Tableau dan Alteryx. Melalui latihan berbentuk praktikal, peserta berpeluang memahami kaedah penggunaan analitik data untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan serta membuat keputusan strategik yang lebih tepat.
Peserta terdiri daripada warga Jabatan Bendahari UTM yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan bengkel ini. UTM Big Data Centre merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para pengajar serta semua peserta yang telah terlibat. Diharapkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkukuh keberkesanan pengurusan kewangan serta menyumbang kepada kecemerlangan organisasi.