Bengkel Latihan Teacher Pro E-STEM perkasa guru melalui pembelajaran berasaskan projek dan inovasi STEM

Aug 1, 2026 | Impactful Project

JOHOR BAHRU, 30 Jul – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama The James Dyson Foundation (JDF) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menganjurkan Bengkel Latihan Teacher Pro E-STEM (Environmental-Science, Technology, Engineering and Mathematics) The James Dyson Foundation Challenge 2026 di Hotel Trove, Johor Bahru, bagi tahun ke kelima pelaksanaan.

Bengkel itu menghimpunkan 100 orang guru dari seluruh daerah di negeri Johor bagi memperkukuh kompetensi dalam pelaksanaan pembelajaran berasaskan projek (PBL) menerusi aktiviti pratikal yang boleh diaplikasikan dalam bilik darjah.

Pelaksanaan ini ditaja oleh JDF dan geran penyelidikan Program Pemindahan Ilmu-Rangkaian Universiti Penyelidikan Malaysia (KTP-MRUN) yang menelan kos hampir RM400,000. Setiap sekolah yang menyertai bengkel ini membawa pulang tiga set modul Challenge Cards dan sekotak bahan-bahan aktiviti Challenge Cards.

Guru menerima James Dyson Challenge Cards sebelum memulakan aktiviti pembelajaran berasaskan projek yang diperkenalkan sepanjang Bengkel Latihan Teacher Pro E-STEM

Bengkel ini dimulai dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran JPNJ, Hj. Mohd Dom Dui. Ucapan beliau menekankan kepentingan memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pendekatan pembelajaran yang autentik, kreatif dan berpusatkan murid bagi menyediakan generasi yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Bengkel kemudiannya dimulakan dengan sesi pengenalan kepada James Dyson Challenge Cards, iaitu Colorful Paper Batik oleh enam jurutera James Dyson. Menerusi aktiviti itu, guru menghasilkan batik kertas berwarna-warni dengan menitiskan pewarna makanan ke atas permukaan susu sebelum corak yang terhasil dipindahkan ke atas kertas surih dan kertas bersaiz A5.

Aktiviti berkenaan memperlihatkan bagaimana pendekatan pembelajaran berasaskan cabaran dapat menggabungkan elemen STEM secara kreatif dalam bilik darjah, di samping memberikan pengalaman pembelajaran secara praktikal kepada guru.

Aktiviti Colorful Paper Batik yang mengintegrasikan konsep STEM melalui pendekatan pembelajaran berasaskan cabaran

Sesi perkongsian aktiviti diteruskan oleh Salizwati Ya’acob dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Pasir menerusi aktiviti Cartesian Diver, iaitu eksperimen yang berasaskan konsep ketumpatan dan daya apungan.

Eksperimen berkenaan menunjukkan bagaimana konsep sains dapat diterjemahkan kepada pengalaman pembelajaran yang menarik dan mudah dilaksanakan menggunakan bahan harian.

Guru menjalankan eksperimen Cartesian Diver bagi memahami konsep ketumpatan dan daya apungan

Perkongsian seterusnya disampaikan oleh Nur Aishah Abd Razak dari SK Kota Masai menerusi projek Balloon Car yang mengaplikasikan konsep daya, gerakan dan tenaga. Dalam aktiviti itu, guru dibahagikan kepada dua kumpulan dengan tugasan menghasilkan kereta belon yang bergerak paling laju atau mampu bergerak pada jarak paling jauh.

Melalui aktiviti tersebut, peserta berpeluang membina dan menguji model Balloon Car secara berkumpulan, selain membincangkan kaedah pelaksanaannya dalam bilik darjah bagi menggalakkan penglibatan murid dalam pembelajaran STEM.

Guru membina dan menguji Balloon Car menerusi perkongsian aktiviti SK Kota Masai

Pada sesi petang pula, peserta mengikuti aktiviti pembelajaran berasaskan projek menerusi penghasilan Arduino Weather Sensor oleh Afandi Azmi dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) yang memperkenalkan penggunaan Arduino bersama sensor untuk memantau parameter cuaca.

Aktiviti itu memberikan pendedahan kepada guru mengenai asas pengaturcaraan dan analisis data sebagai antara kemahiran yang boleh diterapkan dalam pendidikan STEM abad ke-21.

Di samping penguasaan kemahiran teknikal, bengkel berkenaan turut menyediakan ruang kepada peserta untuk bertukar-tukar idea, berkongsi pengalaman dan membina jaringan profesional bagi menyokong pelaksanaan pendidikan STEM di sekolah masing-masing.

Penglibatan guru dalam aktiviti E-STEM sepanjang bengkel turut memberikan ruang untuk mereka meneroka pendekatan pengajaran yang lebih kreatif dan berasaskan pengalaman, seterusnya menyesuaikannya dengan keperluan pembelajaran murid.

Guru mengikuti aktiviti pembangunan Arduino Weather Sensor yang memperkenalkan asas pengaturcaraan dan penggunaan sensor

Penganjuran Bengkel Latihan Teacher Pro E-STEM itu mencerminkan usaha berterusan UTM dari tahun 2022 dalam memperkukuh ekosistem pendidikan STEM melalui kerjasama dengan JPNJ dan JDF. Semua sekolah yang hadir pada sesi bengkel ini seterusnya akan dipantau oleh pihak UTM bagi memastikan pelaksanaan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) di peringkat daerah masing-masing.

Melalui perkongsian ilmu dan pengalaman yang diperoleh, guru diharap dapat mengaplikasikan pendekatan yang bersesuaian dalam pengajaran dan pembelajaran bagi menyokong pembentukan murid yang kreatif, inovatif dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan berteraskan sains, teknologi dan kejuruteraan.

Explore More

Menyemarak budaya menulis dan membaca, mendukung agenda keilmuan

Universiti bukan sekadar tempat memperoleh ijazah atau menjalankan penyelidikan, tetapi merupakan sebuah institusi yang bertanggungjawab membina, mengembangkan dan menyebarluaskan ilmu pengetahuan kepada masyarakat. Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, budaya menulis dan membaca perlu terus disuburkan sebagai asas pembentukan ekosistem keilmuan yang progresif, kritis dan berdaya saing. Penerbit UTM Press memainkan peranan strategik dalam memastikan hasil kesarjanaan warga universiti dapat diterjemahkan kepada penerbitan yang berkualiti, berwibawa dan bermanfaat.

UTM anchors UK-Malaysia talent corridor for Johor’s emerging high-growth sectors

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) is strengthening its role in shaping Johor’s future talent ecosystem through the UK-Malaysia Talent Corridor Working Group Mission 2026. The initiative aims to develop flexible, industry-aligned learning pathways for Malaysia’s emerging and high-growth sectors, including artificial intelligence, data centres, and cybersecurity. UTM is positioned to connect its academic and research strengths with regional workforce requirements, facilitating collaboration among UK universities, industry, and government stakeholders.

UTM Fortifies Research Excellence via MyRA & HICoE Course

JOHOR BAHRU, 3 September 2025 - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) reaffirmed its commitment to research excellence through the 'Kursus Pemerkasaan Pengetahuan MyRA dan HICoE 2025', held on 2nd and 3rd September 2025 at Dewan Kuliah 8, N24, UTM Johor Bahru. The...

UTM Showcases AI Innovations at ASEAN AI Summit 2025

KUALA LUMPUR, 12 August 2025 - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) made a significant impact at the ASEAN AI Malaysia Summit 2025, held at the Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC) on 12 and 13 August 2025. Researchers from UTM's Faculty of...

Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Research & Innovation
Get the latest news & events
UTM Open Day