
JOHOR BAHRU, 18 Nov. – Di tengah tekanan akademik sebagai pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sambil menguruskan perniagaan The Cube dan memikul cita-cita untuk memberi impak kepada komuniti, berdirilah sosok anak muda bernama Teoh Chee Jin, 23 tahun.
Beliau membuktikan bahawa kejayaan tidak hadir daripada satu laluan sahaja, tetapi terbina melalui ketekunan, keberanian dan pengurusan masa yang cekap.
Dibesarkan dalam keluarga sederhana di Muar, Johor, Chee Jin merupakan anak sulung lelaki daripada lima beradik.
Nilai disiplin, usaha dan kesungguhan yang diterapkan ibu bapanya sejak kecil membentuk personaliti yang tahan diuji dan tidak mudah mengalah.
Perjalanan akademiknya ke UTM turut dipengaruhi sejarah keluarga; bapanya merupakan graduan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM pada tahun 2000, manakala ibunya pula graduan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM pada tahun 2001.
Legasi akademik inilah yang menyalakan azam beliau untuk menyambung pengajian di universiti yang sama.

Menurut bapanya, graduan UTM sentiasa mempunyai nilai tinggi dan berdaya saing di peringkat global.
Kecemerlangan akademiknya mula terserlah sejak Program Asasi UTM apabila memperoleh PNGK 4.00.
Beliau kemudian meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dan sekali lagi berjaya mengekalkan PNGK 4.00 selain meraih Anugerah Gemilang Akademik.
Pencapaian ini membuktikan bahawa kecemerlangan akademik boleh bergerak seiring dengan aspirasi keusahawanan.
Cabaran sebenar bermula apabila beliau menubuhkan The Cube, sebuah perniagaan Bingsu Shaved Ice yang beroperasi di kampus UTM.
Pembukaan perniagaan itu turut menerima sokongan dana daripada Pusat Inovasi Mahasiswa dan Keusahawanan Teknologi UTM (UTM XCITE), sebuah inisiatif yang menggalakkan pelajar menceburi bidang keusahawanan.
Melalui sokongan ini, Chee Jin menyedari bahawa universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi medan untuk mencuba, belajar daripada kegagalan dan membentuk ketahanan diri.

Pengalaman awalnya di Freshman Festival 2023 sarat dengan kekangan serta kesilapan yang kemudian menjadi pelajaran penting.
Lebih perit, beliau terpaksa melepaskan kontrak sewaan di Student Union Building, memaksanya menilai semula strategi dan mengembalikan keyakinan diri.
Namun, setiap kegagalan itu menjadi asas kepada kebangkitan baharu, membuktikan bahawa dunia keusahawanan menuntut keberanian dan tekad yang tidak pernah padam.
“Perniagaan bukan hanya tentang keuntungan. Ia tentang memberi peluang kepada orang lain, memberi impak kepada komuniti dan belajar daripada setiap pengalaman,” katanya.
Sepanjang tempoh satu setengah tahun menguruskan The Cube, beliau mengendalikan pembekal, memastikan kepuasan pelanggan, melatih pekerja dalam kalangan pelajar termasuk pelajar kurang upaya, serta menaja kelab dan persatuan melalui sokongan in-kind.
Pada malam terakhir operasi di Student Mall, hujan lebat tidak menghalang pelanggan mengunjungi kiosnya, seolah-olah tanda penghargaan terhadap usaha yang dilakukan dengan penuh keikhlasan.

Walaupun aktif sebagai usahawan kampus, komitmen akademiknya tidak pernah diketepikan.
Projek Tahun Akhir beliau dibangunkan bersama Intel Microelectronics (M) Sdn. Bhd., memberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam suasana industri sebenar.
Beliau turut menjadi mentor secara sukarela bagi bengkel Field-Programmable Gate Array (FPGA), membantu pelajar lain mendalami kemahiran teknikal yang mencabar.
Moto hidup yang sentiasa dipegangnya, iaitu “Usaha yang konsisten akan membuahkan hasil,” telah menjadi prinsip utama dalam setiap langkah.
Harapan Chee Jin kini tidak lagi tertumpu pada kejayaan peribadi semata-mata.
Beliau bertekad mahu terus berkembang dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, memberi sumbangan kepada masyarakat serta mengekalkan prinsip bahawa usaha yang dilakukan dengan penuh keikhlasan pasti membawa keberkatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang banyak membantu, termasuk Fakulti Kejuruteraan Elektrik, para pensyarah, penasihat akademik Ts. Dr. Nurul Ashikin Abdul Kadir, rakan-rakan seperjuangan dan keluarga yang menjadi sumber kekuatan sepanjang pengajian.
“Segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk memberi manfaat kepada orang lain. Semoga perjalanan ini menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa kejayaan boleh dicapai dengan keberanian, kesabaran dan keikhlasan,” katanya mengakhiri bicara.
Pada pentas Konvokesyen ke-69 UTM, Teoh Chee Jin berdiri bukan sahaja sebagai pelajar cemerlang, tetapi sebagai simbol bahawa ketekunan, kreativiti, sokongan keluarga dan keberanian mencuba mampu membuka ruang kepada kejayaan yang lebih besar.
Source: UTM NewsHub