
JOHOR BAHRU, 15 Nov. – Majlis Konvokesyen ke-69 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bukan sekadar meraikan kejayaan ribuan graduan, tetapi turut diserikan dengan kisah luar biasa seorang anak muda yang berjaya mengharumkan nama universiti di pentas dunia.
Dr. Muhammad Farhan Mohd Fisol muncul sebagai antara ikon graduan yang menonjol, hasil pencapaian cemerlang beliau dalam bidang inovasi dan penyelidikan kejuruteraan.
Ketika ditemui, beliau berkongsi bahawa minat mendalam terhadap Kejuruteraan Struktur Gempa Bumi mendorongnya memilih bidang tersebut, meskipun ia bukan antara laluan popular dalam kalangan pelajar tempatan.
Menurutnya, penyelidikan itu bermula daripada kesedaran bahawa Malaysia tidak terkecuali daripada risiko gempa bumi yang semakin dirasai di beberapa kawasan.
“Majoriti bangunan di Malaysia direka bentuk menggunakan British Standard yang tidak menitikberatkan beban gempa bumi dalam pengiraan struktur. Ini menjadikan banyak bangunan sedia ada terdedah kepada risiko. Sebab itu kita perlu mengkaji semula struktur-struktur ini dan menambah baik keupayaannya supaya lebih tahan gegaran,” katanya, yang berharap penemuan penyelidikannya dapat membantu negara memperkukuh keselamatan struktur.
Kisah kejayaannya semakin menyerlah apabila mewakili UTM ke Taiwan untuk pertandingan inovasi antarabangsa IDEERS 2024. Di sana, beliau melihat sendiri tahap keseriusan negara luar dalam membangunkan penyelidikan khusus berkaitan gempa bumi.
Pengalaman itu membuka perspektif baharu mengenai keperluan Malaysia untuk melangkah setanding negara maju dalam bidang tersebut.

“Kemudahan makmal mereka sangat lengkap. Taiwan mempunyai pusat kajian gempa bumi dengan keupayaan menguji struktur berskala besar, dan data yang mereka kumpul sangat tepat. Dengan gegaran yang pernah dirasai di Segamat, saya rasa sudah sampai masa Malaysia memiliki makmal khusus bagi kajian struktur gempa bumi,” ujarnya.
Selain kecemerlangan akademik dan inovasi, Dr. Farhan tidak menafikan bahawa kekuatan mental dan sokongan sosial memainkan peranan besar dalam kejayaannya menamatkan pengajian.
Beliau menyifatkan bimbingan pensyarah, dorongan rakan seperjuangan serta keyakinan diri sebagai antara elemen terpenting dalam menghadapi tekanan dunia penyelidikan.
“Kalau mahu terlibat dalam inovasi dan penyelidikan, langkah pertama ialah keyakinan. Kita perlu yakin dengan bidang yang kita pilih, kerana keyakinan itu yang membantu kita bertahan. Carilah pensyarah pakar untuk membimbing, dan pilih sahabat seperjuangan yang memahami perjalanan kita,” nasihatnya kepada mahasiswa lain.

Komitmen beliau terhadap kecemerlangan turut terserlah apabila menerima Anugerah Gemilang Mahasiswa 2023 (Anugerah Khas Pasukan) daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Pengiktirafan itu diberikan atas dedikasi beliau dalam pembangunan pelajar dan penglibatan aktif dalam projek inovasi.
Pada masa yang sama, beliau turut diberi amanah sebagai pensyarah pengiring dalam beberapa pertandingan, yang menyaksikan pasukan bimbingannya memenangi dua lagi anugerah di peringkat antarabangsa.
Perjalanan Dr. Farhan di UTM melakar satu kisah inspirasi luar biasa. Dari makmal penyelidikan hingga pentas dunia, setiap langkah membuktikan bahawa usaha gigih, fokus dan keberanian mencipta perubahan mampu membawa mahasiswa ke tahap yang membanggakan.
Kini, beliau melangkah sebagai alumni UTM dengan tekad untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara melalui penyelidikan yang memberi impak sebenar.
Source: UTM NewsHub