Dr. Nurfarhain Tabah Tempuh Cabaran Kehidupan Tamatkan Pengajian

Dr. Nurfarhain Tabah Tempuh Cabaran Kehidupan Tamatkan Pengajian

Nov 15, 2025 | UTM NewsHub

JOHOR BAHRU, 15 Nov. – Di sebalik senyuman yang terukir di pentas konvokesyen, sering tersembunyi kisah panjang tentang air mata, pengorbanan dan perjuangan. Bagi Dr. Nurfarhain Mohamed Rusli, staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kejayaan menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) merupakan perjalanan penuh liku yang ditempa dengan ketabahan sebagai seorang ibu tunggal, anak yang setia kepada ibunya, dan wanita yang enggan mengalah walaupun diuji berkali-kali.

Dalam sesi temu bual, Dr. Nurfarhain mengimbau kembali perjalanan akademiknya yang bermula seawal tahun 2004 ketika beliau menjejakkan kaki ke UTM sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda. Empat tahun kemudian, beliau menamatkan pengajian dengan jayanya sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana selama setahun. Dorongan untuk menyambung ke peringkat PhD hadir daripada kata-kata ringkas namun sangat mendalam daripada ibunya.

“Ibu saya tanya, ‘Anak mama seorang lagi tak nak jadi doktor jugakah?’ Dari situ timbul keinginan untuk sambung PhD,” katanya sambil tersenyum mengenang momen yang menjadi titik mula perjalanan berharganya.

Dr. Nurfarhain meraikan detik bersejarah menerima PhD bersama dua insan terpenting, ibunya yang menjadi pendorong utama dan anaknya yang menjadi kekuatan sepanjang perjalanan penuh ujian

Pada penghujung 2014, beliau mendaftar sebagai pelajar separuh masa. Ketika itu, kehidupannya lebih teratur kerana belum bergelar ibu dan mempunyai kerjaya stabil sebagai pegawai penyelidik di Institut Pengurusan dan Pemantauan Alam Sekitar (IPASA), UTM. Penyelian penyelidikannya turut dipermudahkan kerana penyelianya juga berada di institut yang sama, sekali gus memudahkan penyelarasan projek berkaitan penyelidikan IPASA.

Namun, perjalanan yang kelihatan teratur itu berubah menjadi ujian besar pada tahun 2018 apabila anak tunggalnya tiba-tiba jatuh sakit dalam keadaan kritikal, sehingga doktor menyatakan peluang hidup amat tipis. Dunia seolah-olah runtuh seketika, dan Dr. Nurfarhain membuat keputusan berat untuk menangguhkan pengajiannya hampir dua tahun demi memberi sepenuh perhatian kepada kesihatan anaknya.

“Ketika itu, fokus saya hanya satu iaitu menjaga anak sebaik mungkin,” katanya, mengimbau detik yang masih meninggalkan kesan di hati.

Setelah anaknya kembali stabil, beliau kembali semula kepada penulisan tesis. Namun cabaran yang menanti tidak semudah yang disangka. Sebagai staf akademik yang kini memikul tanggungjawab sebagai ibu, beliau berdepan rutin yang menuntut kekuatan fizikal dan mental. Keadaan menjadi lebih sukar apabila rumah tangganya berakhir dengan perceraian pada tahun 2023, sewaktu beliau berada di fasa akhir pengajian. Dalam keadaan hati yang masih luka, beliau tetap melangkah masuk ke sesi peperiksaan lisan (viva) dengan tekad penuh keberanian.

“Saya masuk peperiksaan lisan dengan hati yang rapuh, tetapi saya tahu saya perlu teruskan,” ujarnya dalam nada perlahan.

Fasa pembetulan tesis menjadi antara tempoh paling mencabar dalam hidupnya. Beliau berkongsi bagaimana disiplin luar biasa menjadi satu-satunya jalan untuk meneruskan langkah.

“Saya bangun pukul tiga pagi setiap hari untuk siapkan tesis. Siang saya fokus pada kerja, keluarga, memasak dan urus rumah. Jadi masa menulis hanya pada pukul tiga pagi hingga sebelum pergi kerja,” jelasnya. Seusai waktu pejabat pada jam enam petang, beliau menguruskan keperluan rumah dan anak sebelum tidur awal untuk memastikan tubuhnya mampu bangun semula pada awal pagi.

Pada hari cuti, beliau menggunakan seluruh masanya untuk menyelesaikan analisis data dan penulisan.

“Anak saya dijaga oleh bekas suami. Saya akan tutup pintu bilik dan fokus dari selepas Subuh. Memang sangat mencabar,” katanya sambil mengakui bahawa rutin itu memberi kesan emosi yang besar kepada dirinya dan anaknya.

Beliau menjalani sesi peperiksaan lisan pada Disember 2023, dan sepanjang tahun 2024 pula, Dr. Nurfarhain menyiapkan pembetulan tesis secara berperingkat kerana kekangan masa serta situasi keluarga. Segala usaha, penat dan air mata akhirnya terbalas apabila tesisnya diluluskan oleh Senat UTM pada awal tahun 2025.

Bagi Dr. Nurfarhain, gelaran Doktor Falsafah bukan sekadar penghujung sebuah perjalanan akademik. Ia adalah simbol kekuatan seorang wanita yang tidak pernah menyerah, meskipun di hadapannya hadir ujian berganda yang hampir mematahkan semangatnya.

“PhD ini adalah kisah perjuangan, kasih dan keimanan. Untuk anak saya, inilah hadiah paling bermakna,” katanya dengan penuh rasa syukur.

Momen penuh syukur ketika Dr. Nurfarhain berkongsi kejayaan PhD bersama ibunya, lambang doa, pengorbanan dan kasih sayang yang mengiringi setiap langkah dalam dunia akademik

Kisah perjalanan Dr. Nurfarhain menjadi inspirasi kepada masyarakat. Ia membuktikan bahawa kejayaan tidak hanya lahir daripada kecerdikan semata-mata, tetapi dibina melalui kekuatan hati, keberanian mengharungi ujian dan kecekalan untuk bangkit walau jatuh berkali-kali. Beliau kini berdiri sebagai bukti bahawa setiap cabaran mampu diatasi apabila seseorang percaya pada diri sendiri dan terus melangkah, walaupun dengan langkah kecil tetapi penuh makna.

Source: UTM NewsHub

Explore More

Dua Beradik Raih PhD Bersama

JOHOR BAHRU, 15 Nov. – Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-69 bukan sekadar meraikan pencapaian akademik, tetapi turut menyaksikan sebuah kisah luar biasa tentang ketabahan dan ikatan keluarga yang tidak pernah luntur. Dalam lautan graduan yang...

Dr. Farhan Ikon Graduan Menginovasi Penyelesaian

JOHOR BAHRU, 15 Nov. – Majlis Konvokesyen ke-69 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bukan sekadar meraikan kejayaan ribuan graduan, tetapi turut diserikan dengan kisah luar biasa seorang anak muda yang berjaya mengharumkan nama universiti di pentas dunia. Dr. Muhammad...

TNC HEPA seru graduan UTM hayati slogan universiti sebagai kompas kehidupan

Menjelang detik bersejarah Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-69 yang bakal berlangsung dari 15 hingga 20 November 2025, suasana kampus mula dihiasi dengan kegembiraan para graduan yang teruja melangkah ke fasa baharu kehidupan. Setelah melalui...

UTM dan JPS rancang MoU baharu perkukuh kerjasama penyelidikan dan pengurusan sumber air

CYBERJAYA, 11 Nov – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengadakan satu sesi perbincangan bagi merangka Memorandum Persefahaman (MoU) baharu antara kedua-dua pihak bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pengurusan...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index

UTM Open Day