
JOHOR BAHRU, 15 Nov – Majlis Konvokesyen ke-69 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyaksikan empat ilmuan ulung UTM; Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Datuk Dr. Mohd Tajudin Md Ninggal, Dr. Awaluddin Mohamed Shaharoun, dan Prof. Dr. Ghazali Sulong dianugerahi gelaran Profesor Emeritus, sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan luar biasa mereka.
Penganugerahan ini bukan sekadar meraikan pencapaian peribadi, tetapi mengiktiraf empat pemikir besar yang telah membina asas keilmuan, memacu kecemerlangan akademik, dan membentuk masa depan pendidikan tinggi negara.
Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang – Ilmuan Reformis Mentransformasi UTM
Dalam sejarah pendidikan tinggi tanah air, tidak ramai tokoh yang mampu memimpin universiti dengan keberanian, ketegasan prinsip dan visi yang begitu jauh ke hadapan seperti Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Ketika beliau dilantik sebagai Naib Canselor UTM pada tahun 2008, universiti sedang mencari arah baharu; dan beliau hadir dengan pemikiran reformis yang mengangkat martabat ilmu sebagai asas kemajuan bangsa.

Di bawah kepimpinannya, UTM mencapai status Universiti Penyelidikan pada 2010, sekali gus mengubah DNA universiti ke arah penghasilan penyelidikan berimpak tinggi dan inovasi global.
Jumlah pelajar pascasiswazah melonjak melebihi 10,000, manakala lebih 5,000 pelajar antarabangsa memilih UTM sebagai destinasi ilmu mereka.
Beliau turut merintis Tabung Endowmen UTM, model pembiayaan alternatif yang kini menjadi rujukan universiti awam.
Langkah ini bukan sekadar strategi kewangan, tetapi manifestasi pemikiran jauh seorang pemimpin yang memahami bahawa universiti mesti berdikari dan tidak bergantung semata-mata kepada peruntukan kerajaan.
Sumbangan beliau merentas sempadan universiti. Dato’ Seri Dr. Zaini menjadi arkitek utama Pelan Pendidikan Tinggi Negara 2015–2025 dan 2025–2033, selain memimpin pelbagai agenda nasional berkaitan kelestarian dan dasar alam sekitar.
Beliau dihormati di peringkat antarabangsa, menerima Merdeka Award, Order of the Rising Sun, serta dilantik sebagai Naib Presiden IWA di London.
Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohd Tajudin Md Ninggal – Ilmuwan Pembentuk Generasi Seimbang
Lebih tiga dekad menabur bakti, Datuk Dr. Mohd Tajudin Md Ninggal menjadi antara tokoh paling berpengaruh dalam pembentukan sahsiah mahasiswa UTM.
Beliau bukan sekadar ahli akademik, tetapi pembimbing jiwa dan pemikir yang memahami bahawa kecemerlangan sebenar lahir daripada keseimbangan antara ilmu, akhlak dan kepimpinan.

Beliau telah memegang pelbagai jawatan penting seperti Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa, menjadikan UTM sebagai universiti yang menekankan pembangunan pelajar secara holistik.
Sumbangan terbesar beliau ialah pembangunan Alat Ukur Psikometrik Personaliti dan Kerjaya TAJMA, inovasi yang membantu ribuan pelajar mengenal potensi diri serta merancang masa depan dengan lebih jelas.
Beliau turut mengasaskan 5 Excellence Track (5ETP), kerangka pembangunan mahasiswa yang menjadi tunjang dasar UTM.
Profesor Emeritus Dr. Awaluddin Mohamed Shaharoun – Penghubung Ilmu Merentas Industri, Negara dan Dunia
Dalam dunia kejuruteraan dan teknologi, jasa Profesor Emeritus Dr. Awaluddin amat besar. Beliau melihat universiti bukan hanya sebagai gedung ilmu, tetapi sebagai institusi yang harus menghubungkan penyelidikan dengan industri serta keperluan negara.
Sebagai Dekan UTM Razak School (2010–2016), beliau membina ekosistem akademik yang berorientasikan industri, menjadikan sekolah tersebut pusat latihan lanjutan yang melahirkan pemimpin teknologi negara.

Peranannya sebagai Pengarah Eksekutif BATC dan Timbalan Dekan FKM membuktikan keupayaannya membentuk hala tuju penyelidikan dan pembangunan akademik sejak awal.
Dengan memperoleh geran IRPA berjumlah RM8.8 juta dan berjaya menggraduatkan 44 pelajar PhD, beliau menunjukkan komitmen luar biasa dalam memperkukuh barisan penyelidik negara.
Kepakarannya melangkaui sempadan, antaranya dalam pembinaan Sudan Masters Technology Company, pelantikan sebagai Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Universiti Islam Madinah, dan khidmat sebagai Penasihat Antarabangsa Kesultanan Oman.
Profesor Emeritus Dr. Ghazali Sulong – Perintis Bidang Komputeran di UTM
Dalam sejarah perkembangan komputeran di Malaysia, Dr. Ghazali Sulong berdiri sebagai antara perintis yang membina asas bidang tersebut di UTM. Beliau memulakan langkah sewaktu universiti sedang membina identitinya sebagai institusi teknikal terkemuka negara.

Beliau pernah menyandang jawatan seperti Ketua Jabatan Sains Komputer, Timbalan Pengarah Institut Sains Komputer, Timbalan Dekan FSKSM, Timbalan Dekan SPACE, dan Pengarah Kampus UTM Pahang.
Setiap peranan dimanfaatkan untuk memperkukuh budaya akademik dan meningkatkan akses pendidikan teknikal.
Sebagai pensyarah pertama FSKSM yang berkelulusan PhD dari University of Wales, beliau mempelopori budaya penyelidikan moden dalam sains komputer UTM.
Dr. Ghazali turut membangunkan Program Ijazah Sarjana Muda Komputeran Mudah Alih yang mencatat GE 100% selama tiga kohort, satu pencapaian yang membuktikan kurikulum yang dirangka beliau benar-benar mendepani keperluan industri.
Beliau memfailkan dua paten, 17 hak cipta, berkhidmat sebagai Profesor Pelawat antarabangsa, pemeriksa luar, dan panel akademik di pelbagai negara. Jejaknya melangkaui sempadan, tetapi akarnya tetap teguh di UTM.
Menjulang Martabat Ilmu Demi Masa Depan Negara
Keempat-empat tokoh akademia ini, masing-masing dengan gaya kepemimpinan, kepakaran dan perjuangan tersendiri telah membuktikan bahawa universiti bukan sekadar tempat belajar dan mengajar. Ia adalah medan membina tamadun.
UTM menghargai mereka bukan hanya kerana sumbangan lampau, tetapi kerana legasi yang mereka tinggalkan: ilmu yang memandaikan bangsa, nilai yang membentuk insan, dan visi yang menggerakkan masa depan.
Source: UTM NewsHub