Keluarga sebak terima ijazah kejuruteraan mekanikal milik Allahyarham Khozairi

Keluarga sebak terima ijazah kejuruteraan mekanikal milik Allahyarham Khozairi

Nov 18, 2025 | UTM NewsHub

JOHOR BAHRU, 17 Nov. – Ketabahan Allahyarham Mohd Khozairi Pardi, pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM), terus menjadi buah bualan dalam kalangan mereka yang pernah mengenalinya.

Meskipun menghidap kanser tahap tiga pada penghujung pengajiannya, arwah tetap berusaha menamatkan pelajarannya dengan kekuatan yang tidak pernah pudar.

Dalam setiap perbualan bersama isterinya, Nor Izyan Izzati Mujeini, arwah sering mengulang satu impian yang menjadi pendorong sepanjang perjuangannya, iaitu hasrat untuk melihat ibunya hadir pada hari konvokesyen.

“Suami saya selalu ulang, dia inginkan konvokesyen. Itu harapannya,” kata Izyan dengan suara yang masih sarat dengan rindu.

Izyan berkongsi kisah perjuangan arwah suami dalam menamatkan pengajian ketika ditemu bual

Menurut Izyan, sepanjang awal pengajian, keadaan arwah kelihatan baik dan tidak menunjukkan tanda membimbangkan.

Namun selepas dua tahun, simptom mula muncul sebelum doktor akhirnya mengesahkan bahawa arwah menghidap kanser tahap tiga ketika pengajian masih berbaki.

Walaupun menerima berita seberat itu, arwah tidak pernah berfikir untuk berhenti. Arwah mahu mempercepatkan pengajian kerana sudah menetapkan sasaran untuk dirinya dan keluarga yang amat disayanginya.

Komitmen itu mendorong arwah untuk berulang-alik antara Johor dan Kuala Lumpur bagi memenuhi keperluan subjek di dua kampus berbeza. Selesai rawatan kemoterapi, arwah tetap memandu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kelas.

Izyan mengenang bagaimana arwah hadir ke kuliah walaupun tubuhnya lemah dan memerlukan rehat. Dua tahun lalu, arwah menjalani pembedahan besar Prosedur Whipple. Namun sebaik sahaja dibenarkan keluar dari hospital, arwah kembali ke kelas dengan semangat yang sukar digambarkan.

Selain tugasan yang menuntut komitmen tinggi, bidang Kejuruteraan Mekanikal turut memerlukan ketelitian dan masa yang panjang. Menurut Izyan, arwah kerap berjaga malam menyiapkan tugasan walaupun sedang menjalani rawatan intensif.

Dalam masa yang sama, arwah masih bekerja sebagai perancang di Pengerang. Arwah tetap kembali bekerja keesokan harinya selepas kemoterapi, dan untuk menghadiri kelas di Kuala Lumpur pula, arwah memandu sendiri walaupun perlu kembali bekerja pada hari berikutnya.

Gambar kenangan Izyan bersama almarhum suami dan anak tersayang yang menjadi penguat semangat sepanjang perjalanan pengajian

Izyan turut mengimbas detik awal penyakit itu dikesan. Arwah mengalami jaundice sebelum dibawa ke KPJ untuk menukar stent, namun stent yang dijangka bertahan setahun hanya berfungsi selama tiga bulan sebelum tersumbat.

Keadaan bertambah serius apabila stent keempat menyebabkan jangkitan. Izyan membawa arwah ke Hospital Puteri bagi mendapatkan pandangan kedua sebelum kes dirujuk kepada pakar hati.

Doktor kemudian mencadangkan Prosedur Whipple, iaitu pembedahan besar yang melibatkan pembuangan sebahagian pankreas, usus kecil serta beberapa tisu lain untuk dianalisis. Melalui prosedur itu, barulah kanser tahap tiga disahkan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim bersama pengurusan universiti menyantuni keluarga Allahyarham sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan komitmen arwah

Walaupun diagnosis tersebut sangat berat, arwah tetap memilih rawatan agresif. Arwah menjalani kemoterapi setiap minggu serta 25 sesi radioterapi tanpa berhenti.

Namun memasuki bulan Mei tahun ini, tubuhnya mula menunjukkan tanda keletihan yang semakin ketara. Doktor memaklumkan imunoterapi tidak lagi berkesan dan mencadangkan agar rawatan kemoterapi disambung.

Menjelang Ogos, keadaannya semakin merosot dan pada September, arwah tidak lagi mampu bangun sendiri.

Beberapa hari sebelum pemergiannya, arwah baru pulang dari hospital selepas prosedur memasang PEG-tube. Doktor menjangkakan arwah mungkin mempunyai tempoh satu hingga dua bulan lagi, lalu mereka bersetuju meneruskan pemasangan tiub tersebut.

Namun ketentuan Tuhan mengatasi segala perancangan manusia. Hanya beberapa hari selepas pulang, arwah menghembuskan nafas terakhir.

Pada pagi hari pemergiannya, arwah masih berupaya bangun dengan dipapah, walaupun amat lemah. Suaranya tetap jelas ketika bercakap dengan keluarga. Namun sekitar jam sebelas pagi, arwah mula menunjukkan tanda kesakitan yang semakin berat.

Dalam keadaan itu, arwah beberapa kali menyatakan rasa sedih kerana tidak sempat menghadiri hari konvokesyen yang menjadi impiannya sejak awal pengajian.

Lebih menyayat hati, menurut Izyan, tarikh konvokesyen universiti, 17 November, berlangsung hanya sehari sebelum hari lahir arwah, iaitu 18 November, hari yang sepatutnya menandakan genap 37 tahun usianya.

“Umur ikut tahun memang 37, tapi masa meninggal 36 tahun 11 bulan. Sebab hari ini baru tarikh lahirnya. Kebetulan pula konvonya 17 November. Sebab itu terasa sangat sebaknya,” luah Izyan dalam nada yang sukar menyembunyikan kesedihan.

Adik kepada Allahyarham hadir mewakili keluarga bagi menerima sijil di atas pentas konvokesyen sebagai tanda pengiktirafan atas usaha arwah hingga ke akhir hayat

Meskipun jasadnya tidak sempat menyaksikan hari yang dinantikannya, keberanian, disiplin dan kasih sayang yang menjadi kekuatan di sebalik perjuangannya kekal hidup dalam ingatan keluarga, rakan dan mereka yang pernah mengenalinya.

Kisah Allahyarham Mohd Khozairi Pardi bukan sekadar kisah seorang pelajar yang mengharungi cabaran pengajian, tetapi kisah tentang kekuatan insan yang melangkaui batas tubuh.

Ia menjadi inspirasi kepada ramai bahawa semangat manusia mampu berdiri teguh meskipun diuji, dan cinta untuk keluarga boleh menjadi sumber kekuatan terbesar dalam perjuangan.

Source: UTM NewsHub

Explore More

A Shared Dream, Two Paths, One Proud Moment: The Ng Twins’ Graduation Story

JOHOR BAHRU, 18 Nov. – Growing up side by side, Alan Ng Sheng Lun and his twin brother, Jack Ng Sheng Jie, have always shared more than just a birthday. They shared dreams, challenges, and a commitment to uplift one another. Today, that lifelong bond reaches a...

Anak alumni UTM pamer kecemerlangan, raih PNGK 4.00 sambil urus perniagaan

JOHOR BAHRU, 18 Nov. – Di tengah tekanan akademik sebagai pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sambil menguruskan perniagaan The Cube dan memikul cita-cita untuk memberi impak kepada komuniti, berdirilah sosok anak...

Farrah Izzati tabah hadapi leukemia, bangkit tamatkan pengajian

JOHOR BAHRU, 17 Nov. — Dalam arus kehidupan yang sering menguji ketahanan insan, ada kisah yang mengukir makna lebih mendalam daripada sekadar kejayaan akademik. Kisah Nur Farrah Izzati binti Yusri, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia...

Istiqamah, doa keluarga iringi kejayaan Imam UTM gapai sarjana

JOHOR BAHRU, 17 Nov. — Figura ini bukan lagi asing dalam kalangan warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Suara merdu beliau ketika menggalas amanah sebagai Imam dan Khatib di Masjid Sultan Ismail, UTM Johor Bahru sudah sinonim dengan para staf dan pelajar yang...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index

UTM Open Day