
LUNDU, 5 Nov – Kejayaan pendekatan quadruple helix yang menggabungkan kolaborasi strategik antara akademia, agensi, industri dan komuniti terserlah menerusi penganjuran Program Pengurusan Risiko Bencana Berbasis Komuniti (Community-Based Disaster Risk Management, CBDRM) di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, Lundu, Sarawak.
Program anjuran Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Sarawak dengan kerjasama Geomapping Technology Sdn. Bhd., Borneo Geoscience Sdn. Bhd. dan Pejabat Daerah Lundu ini menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri daripada wakil agensi berkaitan serta komuniti daripada sembilan kampung sekitar Taman Negara Gunung Gading, Lundu. Majlis perasmian program disempurnakan oleh Ketua Pengarah JMG Malaysia, Datuk P. Geol Zamri Ramli.

Program selama dua hari yang berlangsung pada 5 dan 6 November itu memuatkan pelbagai pengisian ilmiah dan aktiviti berbentuk interaktif, dengan matlamat utama meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pengurusan risiko bencana berkaitan geologi seperti banjir aliran puing (kepala air) dan kejadian tanah runtuh di kawasan sekitar taman negara berkenaan.
Turut menyertai program ialah Pensyarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Khairul Hisyam Kamarudin, yang dijemput khas sebagai penceramah pada sesi pertama.
Dalam ceramah bertajuk “Mengangkat Cerita Kecil Komuniti Desa Tahan Uji”, beliau berkongsi pandangan tentang ketahanan komuniti desa dalam menghadapi risiko bencana serta kepentingan membina jaringan sosial dan ilmu dalam memperkukuh daya tahan setempat kepada lebih 100 orang peserta yang melibatkan wakil agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan komuniti sekitar kawasan Taman Negara Gunung Gading.
Selain sesi ceramah, pelbagai aktiviti menarik turut dijalankan bersama komuniti termasuk permainan interaktif Disaster Imagination Game (DIG), Disaster Almanac serta kaji selidik isi rumah bagi penilaian Climate-Disaster Resilience Index (CDRI) yang dijalankan buat julung kalinya di kawasan Gunung Gading.

Pada hari kedua, tumpuan program beralih kepada Bengkel Pelan Tindakan Khas (PTK) Pengurangan Risiko Bencana Berbasis Komuniti (CBDRR) serta Program Jenguk Desa (Town Watching) yang dikendalikan oleh Dr. Khairul bersama Dato’ Zakaria. Aktiviti lapangan ini dijalankan bersama pihak agensi, pasukan penyelidik daripada Geomapping Technology Sdn. Bhd. dan Borneo Geoscience Sdn. Bhd. serta wakil komuniti tempatan bagi meninjau kawasan berisiko dan tindakan mitigasi yang telah dilaksanakan.
Sambutan terhadap bengkel tersebut amat menggalakkan apabila kehadiran peserta melebihi sasaran sehingga mencecah 75 orang. Situasi ini memerlukan sesi perbincangan kumpulan fokus (FGD) dipecahkan kepada beberapa kumpulan dengan tambahan fasilitator dan pencatat bagi memastikan setiap suara komuniti dapat diangkat dengan efektif. Dalam sesi ini, peserta berkongsi pengalaman, cabaran serta kekuatan yang dimiliki dalam menghadapi dan mengurus risiko bencana setempat.

Secara keseluruhannya, program CBDRM yang berlangsung selama dua hari ini berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memperkukuh kefahaman komuniti terhadap kepentingan pengurusan risiko bencana menerusi penglibatan aktif pelbagai pihak. Pendekatan libatsama komuniti ini membuktikan bahawa pengurusan risiko yang berkesan hanya dapat dicapai melalui kolaborasi erat antara masyarakat, profesional, dan pihak berkuasa tempatan.
Menurut Dr. Khairul, kejayaan penganjuran ini membuktikan kekuatan sinergi antara pelbagai pemegang taruh dalam memastikan komuniti lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
“Program seperti ini memberi peluang kepada semua pihak untuk berkongsi ilmu, bertukar pandangan serta membina keupayaan bersama bagi meningkatkan daya tahan komuniti. Saya amat berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh JMG Malaysia, JMG Sarawak, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Geomapping Technology serta Borneo Geoscience,” katanya.
Tambah beliau, UTM komited untuk terus memperkukuh jaringan kolaborasi akademia, agensi, industri dan komuniti melalui pelbagai inisiatif berbentuk penyelidikan dan pembangunan masyarakat agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh.
Source: UTM NewsHub