Selamat Hari Akademia 2025: Integrasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan Tinggi

Selamat Hari Akademia 2025: Integrasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan Tinggi

Oct 5, 2025 | UTM NewsHub

Andai ditelusuri bait-bait lirik lagu keramat Universiti Teknologi Malaysia (UTM), “Keunggulan Terbilang”, terserlah nilai dan komponen utama yang membentuk ekosistem UTM, iaitu “pengajaran”, “penyelidikan”, “penulisan”, “perundingan” dan “perkhidmatan kepada watan”. Semua komponen ini digerakkan oleh satu agen perubahan yang tidak ternilai, iaitu golongan akademia. Tanpa mereka, apalah erti kewujudan sebuah institusi pendidikan tinggi. Golongan akademia bukan sekadar menyampaikan ilmu di dewan kuliah, tetapi turut berperanan sebagai pemikir, penyelidik, penulis dan perunding yang menyumbang kepada pembangunan ilmu serta kemajuan negara. Aktiviti-aktiviti ini akhirnya memberi manfaat besar kepada pelbagai pihak, khususnya mahasiswa, masyarakat, kerajaan dan industri. Mahasiswa, misalnya, dibekalkan dengan ilmu, kemahiran dan nilai afektif bagi membentuk atribut yang diperlukan oleh industri masa kini. Mereka perlu sentiasa mempersiapkan diri menghadapi perubahan yang sejajar dengan tuntutan semasa. Jika dahulu pensyarah menyampaikan kuliah menggunakan helaian nota pada kertas lutsinar yang dipancarkan ke layar, atau menulis dengan pen marker sambil merujuk buku teks yang tebal, kini suasananya jauh berbeza. Dunia pendidikan terus berkembang seiring pesatnya kemajuan teknologi, khususnya kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI), yang mula mengubah wajah dan kaedah penyampaian ilmu dalam ekosistem universiti moden.

Bertepatan dengan tema Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2025, iaitu “Integrasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan Tinggi”, penggunaan serta manfaatnya dalam ekosistem pendidikan tinggi sememangnya tidak dapat dinafikan. Jika dahulu buku rujukan fizikal dibawa ke mana-mana sama ada ke dewan kuliah atau ke perpustakaan, kini mahasiswa hanya perlu membawa sebuah tablet ke dalam kuliah. Nota dan sumber pembelajaran disimpan dalam bentuk salinan lembut, manakala maklumat pula dapat dicapai di hujung jari melalui aplikasi teknologi AI. Sebagai salah seorang ahli akademia di universiti sanjungan bangsa ini, saya juga tidak terkecuali daripada memanfaatkan teknologi AI dalam membantu pelbagai urusan akademik. Antaranya termasuk menghasilkan surat rasmi, membuat pembacaan pruf terhadap makalah ilmiah dan menyemak data penyelidikan. Walau bagaimanapun, penggunaannya perlu diseimbangkan dengan kecerdasan manusia yang dikurniakan Tuhan. Hal ini selaras dengan salah satu nilai teras ISES UTM, iaitu integriti, yang menuntut agar setiap penggunaan teknologi dilakukan dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.

Sebagai ahli akademia, kita sedar akan batas antara hak milik intelektual dan hasil janaan sistem. Justeru, saya sering mengingatkan mahasiswa agar menggunakan AI sebagai alat bantu, bukan sebagai alat kebergantungan. Dengan hanya memberikan arahan atau prompt ringkas mahupun spesifik, dalam tempoh yang singkat mereka mampu memperoleh karangan yang panjang beserta senarai rujukan. Namun, timbul persoalan penting, adakah rujukan-rujukan tersebut benar-benar wujud? Dan andai benar wujud, sejauh manakah ketepatan interpretasi yang diberikan oleh sistem AI itu? Akhirnya, di sinilah terletaknya peranan kecerdasan manusia untuk menilai, menimbang dan menghakimi. Teknologi hanyalah alat, sedangkan kebijaksanaan manusialah yang menentukan nilainya.

Aspek pentaksiran merupakan antara cabaran besar yang dihadapi dalam kalangan ahli akademia pada masa kini. Sewaktu saya menghadiri sebuah persidangan di London pada bulan April yang lalu, saya mendapati isu pentaksiran pelajar dalam era kecerdasan buatan (AI) menjadi antara agenda utama yang dibincangkan para peserta. Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah cabaran mentaksir pelajar agar seiring dengan atribut yang diperlukan oleh industri masa kini. Sebagai contoh, terdapat pembentang yang menekankan keperluan agar pelajar menyatakan dengan jelas prompt yang digunakan ketika menghasilkan tugasan, di samping melampirkan hasil janaan AI daripada prompt tersebut. Pelajar juga dikehendaki menjelaskan bagaimana hasil janaan itu dimanfaatkan dalam penghasilan tugasan akhir mereka. Selain itu, ada juga pembentang yang mengehadkan bilangan prompt yang dibenarkan, dan syarat tersebut perlu dipatuhi dengan melampirkan bukti penggunaan. Tidak kurang juga terdapat ahli akademik yang menghendaki pelajar menghubungkan maklumat tertentu kepada artikel jurnal sahih yang telah disahkan melalui kajian. Justeru, ahli akademia perlu memastikan bahawa AI digunakan sebagai alat bantu dan pelengkap kepada ilmu yang disampaikan, bukan sebagai pengganti kepada peranan dan kebijaksanaan pensyarah.

Saya akui bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) banyak membantu dari pelbagai aspek, khususnya dalam semakan penggunaan bahasa Inggeris. Terdapat pelbagai aplikasi berasaskan AI yang dapat digunakan untuk menyemak kesilapan ayat serta tatabahasa dalam bahasa tersebut dengan lebih tepat dan pantas. Teknologi AI juga menjadi alat penting bagi ahli akademia dalam menelusuri artikel jurnal yang bersesuaian dengan bidang kajian yang dijalankan, di samping membantu memahami kandungan sesuatu artikel dengan lebih mendalam dan menyeluruh.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut mencipta sejarah apabila menjadi universiti pertama di Malaysia yang menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan. Penubuhan fakulti ini merupakan satu kejayaan besar yang membuktikan bahawa institusi pendidikan negara kini berada di landasan yang tepat dalam memacu agenda pendidikan berteraskan teknologi masa hadapan. Sehubungan itu, sewaktu pembentangan Belanjawan 2025 pada tahun lalu, Perdana Menteri menegaskan bahawa bidang kecerdasan buatan akan terus dikembangkan ke semua universiti penyelidikan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta, berbanding RM20 juta pada tahun 2024. Langkah ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara agar lebih bersedia menghadapi era transformasi digital yang berasaskan AI.

Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) telah mengubah landskap pendidikan tinggi dengan cara yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. Daripada alatan AI generatif yang mampu menghasilkan karangan atau esei dalam hanya beberapa saat sehinggalah kepada sistem penyelesaian masalah secara automatik, dunia akademik kini berhadapan dengan bentuk sokongan baharu yang luar biasa. Keupayaan ini, walaupun amat membantu, turut mengaburkan sempadan antara pemahaman hasil kecerdasan manusia dan hasil yang dibantu oleh mesin. Sehubungan itu, penggunaan teknologi AI dalam ekosistem pendidikan tinggi, khususnya dalam kalangan ahli akademia, sememangnya membawa banyak manfaat. Namun begitu, penggunaannya perlu dilaksanakan secara seimbang dengan kebijaksanaan dan keinsafan manusia agar nilai ilmu, integriti dan keaslian akademik terus terpelihara.

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM

Source: UTM NewsHub

Explore More

UTM Global Connect 2025: Universities in the Age of AI and Alliances

Johor Bahru, 7 Oct – At the opening of UTM Global Connect 2025, Vice-Chancellor Professor Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim struck a decisive note. “Artificial Intelligence is not a novelty; it is a necessity,” he declared to an audience of university leaders, policymakers,...

UTM Kuala Lumpur semarak nilai kelestarian bandar melalui SRM ECO KOMUNITI @SG BUNUS

KUALA LUMPUR, 4 Okt. – Sekretariat Rakan Muda (SRM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dengan kerjasama UTMSPACE dan Yayasan Wilayah Persekutuan berjaya menganjurkan program SRM ECO KOMUNITI @SG BUNUS yang berlangsung di Kebun Bandar, Sungai Bunus, Kuala...

UTM terajui Festival IDEA Johor 2025 dengan tema Komuniti Bestari Masa Depan Lestari

JOHOR BAHRU, 4 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul sebagai peneraju utama penganjuran Festival Idea Johor (FIJ) 2025 yang berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri selama dua hari bermula 4 hingga 5 Oktober 2025. Perasmian festival edisi...

UTM Wins Second Place at 2025 KPT Innovation Contest with “TinkerIOT

PUTRAJAYA, Oct 2 – At the Ministry of Higher Education (KPT) Innovation Competition 2025, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) introduced an exciting new project called TinkerIoT—an innovation designed to make learning about the Internet of Things (IoT) and Artificial...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index