JOHOR BAHRU, 15 Okt. – Inovasi dan teknologi perlu bergerak seiringan dengan kelestarian bumi demi kesejahteraan hidup manusia dan alam sekitar pada masa yang akan datang. Ini adalah berkait rapat dengan timbulnya keperluan mendesak untuk mentakrifkan semula kejuruteraan dalam dunia hari ini pentingnya untuk menilai semula bagaimana inovasi dan teknologi boleh wujud seiring dengan kelestarian bumi.
Pengarah Pusat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTMCCS), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Fadhil Md. Din di dalam syarahannya telah membawa pendengar menyelusuri persimpangan antara kejuruteraan, kelestarian dan kesejahteraan bumi.
“Ia jelas mencerminkan keperluan mendesak di zaman yang kita lalui ini iaitu zaman di mana kemajuan manusia dan batasan alam sekitar sentiasa berada dalam ketegangan.
“Bidang kejuruteraan atau pembangunan juga harus mengalami evolusi atau anjakan paradigma bagi menangani cabaran persekitaran dan cabaran sosial di mana aktiviti manusia menjadi kuasa dominan yang membentuk iklim, ekosistem dan juga proses geologi Bumi,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan dalam Sesi Syarahan Perdana Profesor yang bertajuk ‘Redefining Engineering in the Age of Anthropocene: Aligning Sustainability Practises and Planetary Health’ yang berlangsung di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI), kampus Johor Bahru.

Turut hadir adalah Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Prof. Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin; Pengarah Pusat Teknologi Membran Termaju (AMTEC), Prof. Ts. Dr. Juhana Jaafar dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar , Yang Berhormat Datuk Hj. Pandak Hj. Ahmad.
“Saya ingin tekankan bahawa sentuhan kelestarian amat diperlukan dalam setiap pendekatan amalan harian, sistem yang kita operasikan dan kaedah yang kita jalankan. Daripada perspektif peribadi saya, elemen kelestarian seharusnya merangkumi aspek keterhadapan ataupun futuristic.
“Contoh sifat yang perlu ada pada sesuatu bahan yang kita hasilkan mahupun kaedah serta proses, haruslah mempunyai ciri-ciri seperti adaptif, regeneratif, penyembuhan kendiri (self-healing), pembangunan kendiri (self-growth), responsif, boleh berubah bentuk dan rupa mengikut keadaan sekeliling, fleksibel dan yang sewaktu dengannya. Dengan memiliki ciri-ciri sedemikian, kita akan sentiasa bersedia menghadapi sebarang perubahan drastik dan tidak terjangka,” katanya.

Prof. Fadhil juga mengetengahkan isu yang sangat relevan dalam era Anthropocene di mana aktiviti manusia menjadi kuasa utama yang mengubah sistem semula jadi Bumi.
Dalam konteks ini, beliau mengajak pendengar untuk melihat semula kejuruteraan yang tidak hanya berkisar sebagai bidang yang membina infrastruktur dan teknologi moden tetapi sebagai satu disiplin yang memastikan setiap inovasi seiring dengan prinsip kelestarian dan kesihatan planet demi memelihara kehidupan.
“Kita semua perlu sedar akan krisis alam sekitar yang sedang melanda contohnya pemanasan global, kehabisan sumber semula jadi dan kepupusan biodiversiti. Ini jelas menunjukkan bahawa cara lama kita membina dan menggunakan sumber sudah tidak lestari. Maka dengan ini kita perlu menilai semula peranan kejuruteraan dalam era baharu ini,” katanya lagi.
Kejuruteraan bukan lagi sekadar membina jambatan atau loji kuasa, tetapi perlu menjadi pemangkin kepada pembangunan yang beretika, berdaya tahan dan seimbang antara keperluan manusia dan kesinambungan alam.
Antara contoh nyata yang menunjukkan kesimbangan teknologi dan alam sekitar adalah perubahan dari membina kereta berasaskan bahan api fosil, kini beralih kepada kenderaan elektrik dan hidrogen.
“Dalam bidang pembinaan, kini lebih banyak bangunan hijau dibina yang menjimatkan tenaga, menggunakan semula air dan pengudaraan semula jadi. Dalam kejuruteraan air pula contohnya, air kumbahan dirawat dan digunakan semula untuk pertanian atau industri dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap sumber air bersih,” tegasnya lagi.
Menurut Prof. Fadhil lagi, kelestarian sejati bukan sekadar “go green”, tetapi menyelaras setiap keputusan kejuruteraan dengan kesihatan planet.
“Jurutera masa depan perlu berfikir secara holistik iaitu bekerjasama dengan saintis, ahli ekonomi, perancang sosial dan komuniti untuk merangka penyelesaian yang adil, berdaya tahan dan adaptif.
“Contohnya, membina benteng banjir yang bukan hanya kukuh secara kejuruteraan, tetapi juga mempertimbangkan keperluan penduduk setempat dan pemuliharaan habitat semula jadi,” katanya.
Prof. Fadhil selanjutnya menegaskan betapa perlunya perubahan paradigma iaitu transformasi drastik daripada kejuruteraan berasaskan kemudahan dan pertumbuhan ekonomi semata-mata kepada kejuruteraan yang menekankan keseimbangan, tanggungjawab dan pemulihan.
“Dengan menyelaraskan amalan kejuruteraan dengan prinsip kelestarian dan kesihatan planet, kita dapat membina masa depan yang lebih mampan di mana teknologi menyokong alam bukan menentangnya.”
Prof. Fadhil kemudiannya mengiringi ADUN Kota Iskandar , YB Datuk Hj. Pandak Hj. Ahmad menyempurnakan perasmian buku bertajuk ‘Citizen Science’.


Pelancaran buku Citizen Science yang disempurnakan oleh ADUN Kota Iskandar, YB Datuk Hj. Pandak Hj. Ahmad menandakan komitmen berterusan Universiti Teknologi Malaysia dalam memperkukuh hubungan antara sains, masyarakat dan kelestarian.
Melalui syarahan ini, Prof. Fadhil menyeru seluruh warga akademia dan profesional kejuruteraan agar terus memperjuangkan pendekatan pembangunan yang berpaksikan keseimbangan antara kemajuan teknologi dan pemuliharaan alam, demi menjamin kesejahteraan generasi akan datang.
Source: UTM NewsHub