Wacana Intelektual MADANI 2025 kupas masa depan pendidikan era AI

Wacana Intelektual MADANI 2025 kupas masa depan pendidikan era AI

Oct 9, 2025 | UTM NewsHub

JOHOR BAHRU, 8 Okt. – Siri kesembilan Wacana Intelektual MADANI 2025 anjuran Majlis Profesor dengan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) sebagai hos penganjur telah dilaksanakan dengan jayanya, meneruskan kesinambungan siri perbincangan ilmiah yang mengupas isu semasa dalam dunia pendidikan negara. Bertemakan “Pendidikan dalam Era AI”, wacana ini menyelami transformasi pendidikan Malaysia dalam menghadapi gelombang kecerdasan buatan (AI) yang kian pesat.

Program berilmiah ini menampilkan tiga tokoh akademik terkemuka dalam bidang pendidikan, iaitu Prof. Ts. Dr. Zaidatun Tasir, Prof. Dr. Johari Surif dan Prof. Dr. Muhammad Sukri Saud, manakala sesi perbincangan telah dipengerusikan oleh Prof. Dr. Azlina Mohd Kosnin. Perbincangan ilmiah tersebut menumpukan perhatian kepada pelbagai aspek penting seperti strategi pengintegrasian kecerdasan buatan (AI) dalam proses pengajaran dan pembelajaran, cabaran pelaksanaannya di bilik darjah, serta potensi AI dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Selain itu, isu etika, privasi data serta jurang digital turut menjadi tumpuan, dengan penekanan terhadap keperluan memperkukuh literasi AI dalam kalangan pendidik dan pelajar agar sistem pendidikan negara kekal relevan, berdaya saing dan selaras dengan nilai-nilai MADANI.

Prof. Dr. Azlina Mohd Kosnin mempengerusikan sesi Wacana Intelektual MADANI 2025, mengemudi perbincangan yang mengupas transformasi pendidikan dalam era kecerdasan buatan

Menurut Prof. Ts. Dr. Zaidatun Tasir, pakar teknologi pendidikan, kemunculan AI telah membuka lembaran baharu dalam dunia pendidikan, khususnya dalam aspek pentaksiran dan pedagogi.

“Apabila AI semakin rancak digunakan dalam pendidikan, saya melihatnya sebagai peluang besar untuk kita berubah. Kemunculannya menjadi pemangkin kepada transformasi cara pendidik melaksanakan pentaksiran yang lebih autentik, berpusatkan pelajar dan juga ke arah pentaksiran untuk pembelajaran dan bukan pentaksiran pembelajaran semata-mata” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa transformasi ini dapat dilihat melalui empat aspek utama. Pertama, perubahan daripada pentaksiran berbentuk judgement kepada pendekatan berorientasikan pembelajaran, yang menumpukan kepada peningkatan berterusan pelajar.

“Pentaksiran harus berbentuk performance-based, bukan sekadar memberi markah, tetapi membantu pelajar mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya melalui refleksi,” jelasnya.

Kedua, beliau menekankan keperluan menjadikan pentaksiran lebih autentik dan berasaskan dunia sebenar, dengan menekankan tugasan seperti kajian kes, kerja lapangan dan projek kontekstual.

Faktor ketiga ialah penglibatan aktif pelajar dalam menentukan bentuk pentaksiran, yang bukan sahaja meningkatkan motivasi malah memupuk tanggungjawab terhadap pembelajaran mereka. Sementara itu, aspek keempat menyentuh isu etika dalam penggunaan AI yang perlu dipandu dengan prinsip kebertanggungjawaban. Menurut beliau lagi, jurang literasi AI masih menjadi cabaran terbesar dalam kalangan pelajar, guru dan pensyarah kerana ramai belum benar-benar memahami bagaimana teknologi ini berfungsi dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan secara beretika.

“Literasi AI bukan sekadar tahu menggunakan alatan AI seperti ChatGPT, tetapi melibatkan kefahaman tentang prinsip, etika dan batas penggunaannya. Tanpa literasi yang betul, pelajar akan menjadi pengguna pasif yang hanya bergantung kepada jawapan tanpa berfikir secara kritikal,” tegasnya.

Beliau menambah bahawa pelajar perlu digalakkan berfikir secara seimbang, iaitu dengan dan tanpa bantuan AI agar daya analisis serta kreativiti mereka terus berkembang. Namun begitu, cabaran infrastruktur dan capaian internet yang tidak sekata turut perlu diberi perhatian agar jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

Prof. Ts. Dr. Zaidatun Tasir berkongsi pandangan tentang peranan AI sebagai pemangkin kepada perubahan dalam sistem pentaksiran dan pedagogi pendidikan masa kini

Sementara itu, Prof. Dr. Johari Surif menegaskan bahawa sebelum berbicara soal integrasi AI, masyarakat harus memahami makna sebenar pendidikan. Beliau merujuk kepada pandangan tokoh pemikir Islam, Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang mendefinisikan pendidikan sebagai proses menanam makna dalam diri insan untuk melahirkan adab, akhlak dan keperibadian luhur.

“Pendidikan bukan hanya tentang kecemerlangan akademik, tetapi pembentukan insan beradab. Dalam rukun pendidikan, guru menjadi pendidik utama yang membimbing dengan hikmah, manakala pelajar ialah penuntut ilmu yang menuntut dengan adab serta berperanan aktif dalam proses pembelajaran,” katanya.

Dalam konteks pedagogi moden, beliau menjelaskan bahawa pendekatan berasaskan learning analytics mampu membantu guru memahami corak pembelajaran pelajar melalui analisis data dalam sistem e-pembelajaran. Ia membolehkan guru mengenal pasti topik sukar dan menyesuaikan strategi pengajaran dengan lebih efektif. Konsep adaptive dan personalized learning juga dijangka menjadi teras pendidikan masa depan, membolehkan pendekatan pembelajaran disesuaikan dengan keupayaan dan minat pelajar.

Beliau turut memberi peringatan terhadap bahaya kebergantungan berlebihan kepada AI tanpa bimbingan yang sewajarnya.

“Jika pelajar hanya menerima jawapan daripada AI tanpa menilai kebenarannya, maka proses pembelajaran sebenar tidak berlaku. Lama-kelamaan mereka akan berhenti berfikir,” ujarnya.

Tambahnya lagi, meskipun cadangan memperkenalkan kursus etika AI disambut baik, cabaran beban kurikulum perlu dipertimbangkan. Beliau mencadangkan agar unsur AI disisipkan merentas kurikulum bagi memastikan ia menjadi sebahagian daripada subjek pendidikan.

Prof. Dr. Johari Surif menegaskan kepentingan memahami makna sebenar pendidikan serta peranan adab dan nilai kemanusiaan dalam mendepani gelombang teknologi baharu

Sementara itu, Prof. Dr. Muhammad Sukri Saud pula menegaskan bahawa sistem seperti ChatGPT sebenarnya telah dibina berasaskan prinsip etika, namun tanggungjawab utama tetap terletak kepada pengguna.

“Pendidik harus membimbing pelajar mengenal pasti sempadan penggunaan AI, apa yang boleh digunakan dan apa yang tidak. AI boleh membantu dalam penyediaan bahan bantu mengajar, tetapi peranan guru sebagai pendidik nilai tidak boleh diganti,” tegasnya.

Prof. Sukri turut menyoroti potensi besar AI dalam memperkukuh bidang TVET, khususnya dalam pembangunan kemahiran praktikal yang seiring dengan keperluan industri semasa. Beliau menjelaskan bahawa AI boleh membantu pelajar menggunakan perisian reka bentuk seperti AutoCAD bagi menghasilkan model dan lakaran yang lebih tepat dan realistik. Malah, AI juga berupaya menilai kemahiran pelajar secara sistematik serta mencadangkan latihan tambahan mengikut tahap kemampuan individu.

Dalam konteks latihan industri, AI turut berperanan memadankan pelajar dengan tempat latihan yang sesuai berdasarkan profil kemahiran dan minat masing-masing, sekali gus memperkaya pengalaman pembelajaran di dunia sebenar.

“AI memastikan kurikulum TVET sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi semasa dan membantu pelajar bersedia dengan kemahiran yang relevan dengan industri,” katanya. Namun beliau mengingatkan bahawa peranan guru tetap tidak boleh diketepikan.

Prof. Dr. Muhammad Sukri Saud menerangkan kepentingan penerapan etika AI dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan teknologi digunakan secara berhemah dan bertanggungjawab

Wacana yang berlangsung di FEST itu turut menarik penyertaan meluas dalam kalangan pelajar, pensyarah, kakitangan universiti serta guru-guru sekitar Johor Bahru. Program ini turut diserikan dengan pameran daripada setiap jabatan di bawah FEST yang mempamerkan pelbagai hasil penyelidikan, inovasi pengajaran serta bahan bantu belajar berasaskan teknologi terkini. Melalui penganjuran wacana seperti ini, UTM terus memperkukuh peranannya sebagai universiti peneraju dalam memperkasa wacana ilmu dan membentuk ekosistem pendidikan berteraskan nilai kemanusiaan. Perbincangan yang menjurus kepada keseimbangan antara teknologi dan nilai ini diharap dapat menjadi panduan kepada para pendidik dan pembuat dasar dalam merangka hala tuju pendidikan negara yang lebih lestari dan berpaksikan prinsip MADANI.

Para panel, moderator dan peserta merakamkan sesi bergambar kenangan selepas Wacana Intelektual MADANI 2025, yang menghimpunkan para sarjana dan pendidik dalam membincangkan hala tuju pendidikan era AI di UTM Johor Bahru

Source: UTM NewsHub

Explore More

EF = AI × (OI)²

At first glance, the title may seem geeky and perhaps an imitation of Einstein’s famous equation, but it’s intentionally crafted to spark curiosity. The idea behind it is simple yet profound: Engineering Future (EF) will be powered by Artificial Intelligence (AI), but...

UTM Global Connect 2025 Concludes with NALI and INATEX Awards Honouring Innovation and Learning Excellence

JOHOR BAHRU, 8 Oct — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) concluded its flagship event, UTM Global Connect 2025, with a meaningful closing ceremony that celebrated innovation, teaching excellence, and international partnership. The event, held at Persada Johor...

INATEX-NALI 2025 perkasa inovasi UTM di persada global

JOHOR BAHRU, 7 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju inovasi pendidikan dan penyelidikan melalui penganjuran UTM Global Connect (UTMGC) 2025 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada...

From OHPs to Deep Learning: A Gen-X Reflection on Learning Revolutions

When I first joined academia, the rhythm of teaching and learning was very different. Assignments meant long hours in the library, photocopying journal articles, and typing references on a word processor. If you needed something from Arkib Negara, you snail-mailed...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index