Wacana Kecerdasan Digital UTM pupuk kesedaran etika dan kemanusiaan dalam dunia AI

Wacana Kecerdasan Digital UTM pupuk kesedaran etika dan kemanusiaan dalam dunia AI

Nov 1, 2025 | UTM NewsHub

KUALA LUMPUR, 30 Okt. — Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), telah menganjurkan program Wacana Kecerdasan Digital (AI): Teknologi Pintar, Jiwa Beretika pada 30 Oktober 2025 bertempat di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur.

Program ini bertujuan memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai realiti serta aplikasi kecerdasan buatan (AI), di samping membincangkan implikasi moral dan etika penggunaannya dalam kehidupan seharian. Penganjuran ini juga berhasrat menyemai kesedaran bahawa kemajuan teknologi harus disertai nilai kemanusiaan, integriti dan tanggungjawab sosial agar manfaatnya dapat dirasai secara seimbang.

Peserta Wacana Kecerdasan Digital (AI): Teknologi Pintar, Jiwa Beretika

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Prof. Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed, Ahli Lembaga Pengarah Universiti; Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, Menjalankan Fungsi Ketua Kampus UTM (Cawangan Kuala Lumpur); Khairulbahiyah Yaakub, Ketua Pustakawan UTM; serta Nik Masriza Zakaria, Timbalan Ketua Pustakawan UTM Kuala Lumpur.

Upacara perasmian disempurnakan oleh Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, disusuli dengan tayangan montaj khas bertajuk “Gerak AI@Perpustakaan UTM”, yang menampilkan usaha dan inisiatif berterusan perpustakaan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat kampus terhadap teknologi kecerdasan buatan. Montaj tersebut turut memaparkan garis masa program, kempen, serta aktiviti literasi digital yang telah dan akan dilaksanakan bagi menyemai kefahaman mendalam tentang penggunaan AI secara beretika dan bertanggungjawab.

Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin menyempurnakan perasmian program

Sambutan terhadap wacana ini amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 200 orang peserta terdiri daripada warga UTM serta komuniti luar, termasuk penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tembak dan SMK Taman Sri Rampai, serta wakil agensi kerajaan dan sektor swasta. Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat ini mencerminkan usaha berterusan UTM dalam memperkukuh literasi digital yang bersifat inklusif dan menyeluruh.

Program ini dibahagikan kepada dua sesi wacana dan satu sesi forum utama. Wacana pertama bertajuk Realiti Kehidupan di Dunia AI disampaikan oleh Prof. Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim, Ketua Pegawai Digital Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang mengupas bagaimana teknologi pintar kini menjadi sebahagian daripada rutin harian manusia. Beliau turut menegaskan kepentingan keseimbangan antara penggunaan teknologi dan tanggungjawab moral pengguna.

Prof. Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim, Ketua Pegawai Digital UMS, menyampaikan wacana pertama

Wacana kedua bertajuk Etika di Sebalik Teknologi Pintar pula disampaikan oleh Dr. Hazdalila Yais Hj. Razali, Pensyarah Jabatan Undang-undang Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau menekankan keperluan membina kerangka etika yang kukuh dalam pembangunan teknologi agar kemajuan AI kekal berpaksikan nilai kemanusiaan.

Dr. Hazdalila Yais Hj. Razali menyampaikan wacana berkaitan realiti, etika dan nilai kemanusiaan dalam penggunaan teknologi AI

Kemuncak program menyaksikan forum bertajuk Menjadi Bijak di Dunia Serba Pintar, yang dipengerusikan oleh Ts. Dr. Rozzeta Dolah, Pensyarah Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), UTM. Forum tersebut turut menampilkan dua tokoh akademik berpengalaman iaitu Prof. Dr. Mohd Asyraf Zulkifley dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh, Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) UTM.

Perbincangan tersebut membuka ruang wacana holistik tentang bagaimana individu dan organisasi dapat mengadaptasi, memanfaatkan serta membuat keputusan berhemat dalam landskap digital yang pesat berubah.

Sesi forum “Menjadi Bijak di Dunia Serba Pintar”

Ketika menjawab pertanyaan peserta berhubung risiko penyalahgunaan AI, Prof. Dr. Mohd Asyraf Zulkifley menjelaskan bahawa kadar “halusinasi” sistem seperti ChatGPT dianggarkan sekitar 38 peratus, menunjukkan perlunya pengguna menilai kesahihan maklumat sebelum mempercayainya. Menyambung perbincangan tersebut, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh menegaskan bahawa manusia tidak perlu gusar AI menggantikan peranan manusia, sebaliknya harus bimbang jika manusia sendiri hilang nilai kemanusiaan dalam mengejar kemajuan teknologi.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada para panel jemputan sebagai tanda penghargaan atas perkongsian ilmu dan pandangan mereka. Penganjuran ini sekali lagi membuktikan komitmen UTM dalam memperkukuh budaya ilmu yang seimbang antara teknologi dan kemanusiaan, sejajar dengan tema universiti Menginovasi Penyelesaian Lestari serta aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke arah membina masyarakat digital yang berakhlak, beretika dan berperikemanusiaan.

Source: UTM NewsHub

Explore More

KTF UTM perkukuh minat pelajar terhadap STEM di Simpang Renggam

SIMPANG RENGGAM, 8 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kolej Tun Fatimah (KTF) terus memperkukuh jalinan universiti dengan masyarakat apabila menyertai Karnival Kerjaya STEM Peringkat Negeri 2025 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)...

Hisham Hellyer Appointed as UTM Adjunct Professor

KUALA LUMPUR, Nov 6 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) has appointed internationally renowned scholar Prof. Dr. Hisham A. Hellyer as an Adjunct Professor, marking a significant step in strengthening the university’s global academic engagement and international...

UTM Launches NexScholar — AI Platform for Jaringan Pakar MADANI

PUTRAJAYA, Nov 6 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) proudly introduced NexScholar, its newest spin-off company leveraging Artificial Intelligence (AI) to revolutionize Malaysia’s research and innovation ecosystem. The official launch of NexScholar took place during...

Forum MyIDEAS: Falsafah, Etika dan Kelestarian dalam Dasar AI IPT

PUTRAJAYA, 6 November 2025 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Perbadanan Putrajaya telah menganjurkan forum Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) sempena Festival IDEA Putrajaya 2025, bertemakan “Pembangunan...
Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index

UTM Open Day