Pusat Hidrografi Nasional, 2 Ogos 16 – Majlis Pelancaran Ekspedisi Pelayaran Saintifik Kebangsaan (EPSK) Bagi Tahun 2016 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Ekspedisi kali ini merupakan yang kedua sejak pelancaran ekspedisi yang pertama pada tahun 2009. EPSK merupakan kerja sama strategik di antara lima kementerian iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Kementerian Pertahanan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
Penganjuran ekspedisi bagi tahun ini di buat pada skala yang lebih besar dengan melibatkan tiga buah platform dari TLDM (KD MUTIARA), Jabatan Laut Malaysia (MV PEDOMAN) dan Universiti Malaysia Terengganu (RV DISCOVERY) dengan jumlah penyelidik seramai 50 orang. Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (sains), Kementerian Sains Teknologi Dan Inovasi Professor Madya Dr Ramzah Dambul, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Professor Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar, Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia, Dato’ Hj. Baharin Dato’ Abdul Hamid dan Timbalan Panglima Tentera Laut.