Putrajaya, 28 November 2024 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), telah mempengerusikan Sidang Selari 9 Festival Idea Putrajaya (FOI 2024) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi bertemakan Masyarakat MADANI. Sidang selari tersebut mengangkat tajuk forum Cabaran Transformasi Digital terhadap Kesejahteraan Rakyat dan Sosio Budaya. Majlis dimulakan dengan ucapan oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Ali bin Selamat, Felo Akademi Professor Malaysia & Felo Penyelidik, Pusat Kecemerlangan Inovasi Media dan Permainan (MaGICX), UTM, yang mengetengahkan perspektif terkini tentang inovasi digital dan implikasinya terhadap masyarakat.
Forum ini telah dipengerusikan oleh Ybrs. Prof. Dr. Rosli Md Illias, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTM dan menampilkan tiga pakar jemputan, iaitu Prof. Ts. Dr. Nor Badrul Anuar Juma’at (Ketua Pegawai Maklumat, Universiti Malaya), Prof. Dr. Norbahiah Misran (Peneraju Kluster Penyelidikan Teknologi Digital dan Terkehadapan, Universiti Kebangsaan Malaysia) dan En. Muhammad Arif Tukiman (Ketua Pegawai Eksekutif, RunCloud Sdn. Bhd).
Forum ini telah menarik lebih 200 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, staf akademik, ahli professional, agensi, kementerian dan industri untuk memahami cabaran dan transformasi digital dan kesannya kepada kesejahteraan dan sosio budaya. Perbincangan forum tertumpu kepada isu-isu kritikal seperti jurang digital, keselamatan siber, dan cabaran sosio-budaya seperti tekanan mental akibat sindrom ‘always-on’ dan pengasingan sosial dalam masyarakat. Ia turut membincangkan langkah-langkah strategik yang boleh dilaksanakan untuk memudah cara pengurusan perubahan teknologi ini sambil memastikan nilai-nilai sosio-budaya kekal menjadi asas kepada pembangunan lestari.
Sebagai sebuah universiti terkemuka dalam pendidikan dan inovasi, UTM sentiasa menekankan kepentingan kesedaran terhadap penggunaan teknologi secara bertanggungjawab serta memastikan transformasi digital menjadi alat pemerkasaan yang inklusif dan menyeluruh. Penganjuran ini membuktikan keseriusan UTM dalam memperkukuhkan hubungan antara akademia, industri, dan masyarakat, sejajar dengan aspirasi untuk membina masyarakat MADANI yang progresif dan berdaya saing.
https://www.facebook.com/dvcri.utm/videos/1244540576664978/
#UniversitiTeknologiMalaysia
#UTMSanjunganBangsa
#FestivalIdeaPutrajaya2024
#PutrajayaFestivalOfIdeas
#PutrajayaFOI
#IdeaKPT
#MalaysiaMADANI