Penulis: Dr. Juhaizah Talib @ Harun

Tetamu dan peserta di pentas karnival bersama hadiah menarik.
Tetamu dan peserta di pentas karnival bersama hadiah menarik.

ISKANDAR PUTERI, 25 Okt 2025 – Dataran Iskandar Puteri meriah dengan suasana sukan apabila Karnival Pembangunan Sukan Akar Umbi Iskandar Puteri 2025 berlangsung bersempena sambutan Hari Sukan Negara 2025. Dianjurkan oleh Sports Innovation & Technology Centre (SITC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama pelbagai rakan strategik, karnival ini berjaya menarik lebih 3,000 peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk pelajar, ibu bapa, jurulatih dan anggota komuniti setempat.

Kerjasama strategik gerakkan karnival

Karnival ini merupakan inisiatif SITC di bawah Institute of Human Centered Engineering (iHumEn), UTM, dengan rakan kerjasama termasuk Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Kolej Komuniti Pasir Gudang serta penaja bersama Celestica Electronic (M) Sdn. Bhd. Kesemua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran program dan pencapaian objektif yang disasarkan.

Program berkonsepkan pemindahan ilmu ini menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik termasuk Larian Fun Run 3.5KM, Simposium Pembangunan Sukan 2025 dan Klinik Bola Sepak, selain pameran agensi, kaunter kesihatan serta gerai komuniti tempatan.

Acara dimulakan dengan ucapan aluan oleh Tuan Haji Mohd Anizam Jamian, Setiausaha Kehormat PBNJ, sebelum disempurnakan perasmiannya oleh YBhg. Tuan Haji Hasrin Kamal Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. UTM turut diwakili oleh Prof. Madya Dr. Megat Aman Zahiri Megat Zakaria, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi.

Larian Fun Run 3.5KM meriahkan Dataran

Larian Iskandar Fun Run 3.5KM menarik penyertaan lebih 3,000 peserta dan dimulakan dengan sesi senamrobik, diikuti pelepasan peserta. Acara ditutup dengan cabutan bertuah melibatkan 100 hadiah menarik bagi memeriahkan suasana.

Peserta melakukan senamrobik sebelum larian dimulakan.
Peserta melakukan senamrobik sebelum larian dimulakan.
Pelepasan peserta Larian Iskandar Fun Run 3.5KM di Dataran Iskandar Puteri.
Pelepasan peserta Larian Iskandar Fun Run 3.5KM di Dataran Iskandar Puteri.

Simposium kupas pembangunan atlet muda

Simposium Pembangunan Sukan 2025 mengupas topik-topik penting seperti pemakanan sukan, kesesuaian fizikal, serta peranan ibu bapa dalam pembangunan atlet muda. Sesi ini diperkukuh oleh barisan pembentang dan moderator daripada Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), UTM dan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), termasuk Dr. Diyana Zulaikha Abdul Ghani sebagai moderator, Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Zainuddin membincangkan pembangunan fizikal, Dr. Izwyn Zulkapri tentang pembangunan pemain jangka panjang, Dr. Muhamad Hafiz Ismail mengenai mewujudkan persekitaran bola sepak yang positif, dan Risnainy Mat Zain, pakar pemakanan dan dietitian sukan dari MSNJ.

Hadiah disampaikan oleh Dr. Izwyn Zulkapri sebagai penghargaan atas semangat dan komitmen peserta sepanjang sesi.
Hadiah disampaikan oleh Dr. Izwyn Zulkapri sebagai penghargaan atas semangat dan komitmen peserta sepanjang sesi.
Pengarah SITC, Dr. Kamaruzaman Soeed menyampaikan cenderahati kepada Dr. Muhamad Hafiz Ismail sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan perkongsian ilmu.
Pengarah SITC, Dr. Kamaruzaman Soeed menyampaikan cenderahati kepada Dr. Muhamad Hafiz Ismail sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan perkongsian ilmu.

Klinik Bola Sepak asah kemahiran asas

Klinik Bola Sepak yang dikendalikan MBIP dan PBNJ turut mendapat sambutan hangat daripada lebih 120 peserta bawah 12 tahun daripada sekolah-sekolah sekitar Iskandar Puteri. Peserta diberi pendedahan kepada asas kemahiran bola sepak termasuk first touch, menendang bola, membawa bola, permainan 1 lawan 1, serta small sided games. Aktiviti ini bukan sekadar mengajar teknik sukan tetapi turut membina keyakinan, disiplin dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta.

Latihan bola sepak membina keyakinan, disiplin dan semangat kerja berpasukan.
Latihan bola sepak membina keyakinan, disiplin dan semangat kerja berpasukan.

Sokongan penaja dan rakan kerjasama

Penganjuran karnival ini turut mendapat sokongan penaja utama, Celestica Electronic (M) Sdn. Bhd., yang menyumbang RM20,000, manakala MBIP dan PBNJ menyalurkan peralatan dan logistik bernilai hampir RM100,000. Sumbangan ini membolehkan kos pengurusan aktiviti, penyediaan kemudahan, token penceramah serta hadiah peserta dipenuhi dengan baik.

Menurut Pengarah SITC, Dr. Kamaruzaman Soeed, penganjuran karnival ini membuktikan komitmen UTM dalam memperkasakan masyarakat melalui pendekatan inovasi sosial. “Karnival ini bukan sekadar acara sukan tetapi juga wadah perkongsian ilmu dan kolaborasi antara universiti, industri, kerajaan tempatan dan komuniti, selaras dengan semangat pemindahan ilmu yang diterapkan oleh UTM,” katanya.

Keseluruhan program berlangsung lancar hasil kerjasama erat semua agensi terlibat serta sokongan komuniti setempat. Karnival ini diharapkan diteruskan sebagai acara tahunan, sekali gus memperkukuh jenama Iskandar Puteri sebagai hab aktiviti sukan dan inovasi komuniti di Johor.

#UTM #SITC #FEST #SukanAkarUmbi #IskandarPuteri #HariSukanNegara2025

Research Ecosystem
Get the latest news & events Customer Satisfaction Survey
UTM Open Day