
Bilik Seminar IVAT, 28 Julai 2025 – Institut Voltan dan Arus Tinggi (IVAT) telah menerima kunjungan daripada Chair Resource Sustainability Research Alliances (RSRA) dalam satu sesi perjumpaan yang berlangsung secara santai tetapi penuh bermakna. Perjumpaan ini diadakan bagi tujuan berkongsi pencapaian IVAT sepanjang tahun 2024 hingga pertengahan 2025, serta memperkenalkan staf-staf baharu di bawah naungan RSRA.
Sesi ini turut dihadiri oleh staf akademik serta staf pengurusan dan profesional IVAT, sekali gus memberi peluang untuk membina jaringan lebih erat antara kedua-dua pihak. Dalam perjumpaan ini, turut dibincangkan ialah peranan RSRA dalam menyokong Pusat Kecemerlangan (CoE) di bawahnya serta peluang kolaborasi strategik yang dapat dimanfaatkan bersama.
Selain memperkukuh komunikasi dua hala, sesi ini juga memberi pendedahan kepada staf IVAT mengenai struktur dan fungsi RSRA, termasuk saluran rujukan sekiranya terdapat pertanyaan atau inisiatif yang memerlukan kerjasama rentas PTJ.
Diharapkan pertemuan ini menjadi titik tolak kepada hubungan yang lebih produktif antara IVAT dan RSRA, serta membuka laluan kepada perancangan hala tuju yang lebih jelas dan inklusif bagi memperkasa penyelidikan dan pembangunan mampan di seluruh universiti.