+607-5535809 hydrogen@utm.my

Memperkasa Kepimpinan Diplomat Sains ASEAN

Ini ialah artikel kelapan kerjasama Majalah Sains dan Young Scientist Network (YSN), dibawah Akademi Sains Malaysia (ASM). Penulis merupakan salah seorang perserta mewakili Malaysia untuk program ASEAN Science Diplomat Assembly yang berlangsung di Filipina pada April lepas.


Oleh: Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim, Ahli YSN-ASM
Fakulti Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

 

Baru-baru ini, telah berlangsung satu program besar di peringkat rantau ASEAN yang dikenali sebagai ASEAN Science Diplomat Assembly. Program yang julung-julung kali diadakan di Canyon Cove, Nasugbu, Batangas, Filipina pada 8-12 April 2017, merupakan program perintis dalam merapatkan kemuafakatan di rantau ini. Program ini telah berjaya dilaksanakan menerusi usaha gigih salah seorang Felo Sains dan Teknologi (ASEAN-US), Prof. Glenn Banaquas. Beliau merupakan Pengarah Eksekutif bagi Environmental and Climate Change Research Institute di Filipina, mengambil peluang bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN yang beribu pejabat di Jakarta, Indonesia dalam menjayakan program ini.  Tema program ini adalah ‘Empowering Science and Technology Leaders for Climate Resilient ASEAN’. Matlamat utama program ini adalah untuk melatih saintis serta jurutera yang terpilih bagi melahirkan duta sains yang berkaliber dan mampu menyampaikan mesej-mesej berkaitan sains kepada orang ramai pada pelbagai peringkat umur dan latar belakang terutamanya di negara masing-masing.

Beberapa bulan sebelum tarikh program ini berlangsung, pihak penganjur telah menghebahkan secara kolektif kepada semua negara anggota ASEAN untuk menghantar permohonan bagi menyertai program ini. Lebih 600 permohonan telah diterima dan daripada jumlah ini, 100 penyertaan lengkap telah disaring sebelum 15 orang pemohon akhirnya terpilih.

Daripada 15 peserta program ini, empat daripadanya adalah dari Malaysia iaitu Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim, Prof. Madya Dr. Zainura Zainon Noor, Prof. Madya Ir. Dr. Fadhil Mohd Din dari Universiti Teknologi Malaysia serta Prof. Madya Dr. Sawal Ali dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Peserta lain adalah dari Thailand seramai dua (2) orang, Myanmar (2), Vietnam (2) dan Filipina (5).

Wakil daripada Malaysia, daripada kiri: P.M. Dr. Sawal Ali, P.M. Dr. Zainura Zainon Noor, P.M. Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim (penulis) dan P.M Ir. Dr. Fadhil Mohd Din

Majlis makan malam pada 8 April 2017, telah dirasmikan oleh Dr. Leah Buendia, Timbalan Setiausaha, Jabatan Sains dan Teknologi, Filipina. Jemputan daripada pelbagai agensi telah hadir untuk memberi ceramah kepada para peserta berkaitan teknik komunikasi dan interaksi yang berkesan bagi memperkemaskan peserta-peserta yang terpilih untuk menjadi duta kecil sains di negara masing-masing. Antara slot yang sangat menarik adalah daripada Cik Nadine Jacinto, Pegawai Perhubungan British Broadcasting Corporation (BBC) serta Ketua Produksi Radio RJ FM Filipina. Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Alam Sekitar berkongsi tips mengenai peranan saintis kepada masyarakat setempat yang dapat menyentuh hati para pendengar menerusi mesej pendek di saluran radio bagi memperbaiki kualiti hidup serta alam sekitar menerusi kesedaran terhadap sains. Beliau menunjukkan bagaimana radio boleh digunakan sebagai salah satu medium komunikasi untuk menyampaikan pengetahuan mengenai sains dengan pendekatan yang mudah dan mesra untuk diterima oleh pendengar. Sejurus selepas menyampaikan tips (antaranya, gunakan ayat ringkas tetapi padat dan berimpak tinggi serta pastikan terma-terma yang digunapakai dapat difahami oleh pelbagai peringkat pendengar), para peserta diminta untuk menyediakan skrip radio masing-masing berdurasi 1 minit untuk dikongsi bersama dalam bengkel tersebut.

Ketika sesi makan malam pada hari tersebut, kami cukup bertuah kerana dapat mendengar perkongsian pengalaman daripada Dr. Reinabelle Reyes, salah seorang saintis muda tersohor di Filipina yang kini bertugas di Ateneo De Manila University. Beliau yang baru menginjak usia 31 tahun, telah memperolehi  Ijazah Kedoktoran dari Princeton University pada usia 27 tahun dalam bidang Astrophysics. Beliau merupakan salah seorang penyelidik yang terlibat dalam membuktikan teori Einstein dan penulis utama bagi penerbitan artikel di dalam Journal Nature (jurnal tersohor yang sangat berimpak tinggi dalam penerbitan di bidang sains), berkongsi pengalaman beliau sejak kecil bagaimana beliau mula-mula terlibat dalam menerokai bidang sains.

Pada hari ketiga program, antara slot yang amat menarik adalah sesi bersama Cik Laila Garcia, Financial Literacy and Advocacy Specialist dari Asian Development Bank yang menyampaikan isu mengenai komunikasi berkesan bersama masyarakat. Beliau berkongsi tips yang cukup praktikal dan terkini berkaitan penggunaan alat bantuan visual bagi menangani isu komunikasi dalam bidang yang terlalu saintifik dan teknikal. Walaupun ceramah seperti ini sudah sering kali disertai, namun perkongsian daripada beliau merupakan  panduan yang cukup segar dan menyentuh isu-isu praktikal yang cukup relevan bagi sesiapa yang sering membuat penyampaian kepada umum. Antara yang menarik untuk dikongsi ialah, penceramah menerangkan kaedah-kaedah terbaik dalam menangani kelompok pendengar atau peserta yang pelbagai jenis. Ada jenis yang sangat suka bertanya walaupun tiada keperluan untuk berbuat demikian; ada kelompok yang sangat pasif – seolah-olah mereka sedang berada di dunia yang lain ketika sesi ceramah sedang berlangsung; dan ada juga jenis individu yang bertindak seperti ‘pengganggu’ yang suka memberikan pendapat atau kenyataan yang boleh menyebabkan kekeliruan kepada para peserta lain.

Kami juga terpesona dengan penyampaian yang dibuat oleh Dr. Rodel Lasco, Pemenang Hadiah Nobel IPCC serta selaku Pengarah Kebangsaan bagi World Agroforestry Center. Perkongsian beliau berkaitan isu perubahan iklim terutamanya tentang pengalaman di negaranya sendiri berkaitan bencana alam di Filipina seperti Taufan Haiyan cukup menarik. Beliau juga berkongsi langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan, ahli akademik serta penyelidik bagi menyiapkan rakyat setempat dalam menghadapi situasi yang sama pada masa akan datang. Antara yang menarik ialah dengan memasukkan kandungan berkaitan bencana alam ke dalam silibus pelajaran bagi pelajar se awal sekolah rendah lagi. Seterusnya, Cik Alice Cheong Lee Sing, Timbalan Pengarah / Ketua Divisyen Sains dan Teknologi, Sekretariat ASEAN berkongsi dengan para peserta tentang peluang-peluang dana yang ditawarkan oleh ASEAN dan negara-negara dialog termasuklah Jepun, India, China, Republik Korea dan Rusia. Maklumat lanjut tentang dana-dana yang ditawarkan boleh didapati daripada laman web ASEAN sendiri. Selepas sesi makan malam, beliau menyambung dengan memberikan kami panduan terperinci tentang cara-cara menyediakan kertas kerja bagi permohonan dana-dana tersebut.

Pada hari terakhir program, para peserta dibawa melawat ke tempat-tempat menarik di sekitar Bandar Nasugbu, Batangas. Terdapat pelbagai kawasan yang masih mempunyai kehidupan alami terutama ketika kami dibawa makan tengahari di restoran terkenal di Bandar tersebut iaitu Restoran Balay Dako. Program ditutup dengan sambutan majlis makan malam rasmi yang cukup meriah yang mana para peserta diberikan sijil serta cenderahati daripada pihak penganjur. Paling menggamit tumpuan ialah kod pakaian yang ditetapkan oleh penganjur adalah berteraskan kepada pakaian tradisional negara masing-masing pada malam tersebut. Ini membolehkan setiap peserta mendalami serta menghayati semangat setiakawan ASEAN yang diimbangi bersama personaliti setiap negara anggota.

Secara keseluruhannya, pengalaman mengikuti program ini cukup indah kepada para peserta, bukan sahaja dari aspek teknikal dan ilmu yang diperolehi, tetapi menjurus kepada jaringan kolaborasi kukuh yang dijalinkan bersama peserta-peserta dari negara lain sepanjang berinteraksi di sana. Juga pengalaman merasa gegaran akibat gempa bumi sebanyak tiga kali (dengan skala ritcher 5.9) di kawasan program berlangsung cukup memberi kesan kepada kami bukan sahaja daripada perspektif pengalaman peribadi, tetapi juga menambahkan lagi kesedaran akan kepentingan serta keyakinan kami untuk terus menyumbang dalam bidang kelestarian alam sekitar serta perubahan iklim bagi kebaikan sejagat.

Nota: Penulis ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada peserta-peserta dari Malaysia iaitu , Prof. Madya Dr. Zainura Zainon Noor, Prof. Madya Ir. Dr. Fadhil Mohd Din dan Prof. Madya Dr. Sawal Ali atas input yang diberikan dalam penyediaan artikel ini.

 

Research Ecosystem
Universiti Teknologi Malaysia UTM Nexus - Research & Innovation

Office of Deputy Vice Chancellor (Research & Innovation)

DVCRI Profile Johor Bahru Office Kuala Lumpur Office

Higher Institution Centre of Excellence (HI-COE)

Advance Membrane Technology Research Centre - AMTEC Institute of Noise & Vibration - INV Wireless Communication Centre - WCC

Research Institute

Centre of Excellence (COE)

Institute of High Voltage & High Current - IVAT UTM-MPRC Institue for Oil & Gas - IFOG Centre for Artificial Intelligence & Robotics - CAIRO Centre for Engineering Education - CEE Centre for Advanced Composite Materials - CACM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing - ICA Institute of Bioproduct Development - IBD

Service Entity

Research Management Centre - RMC Penerbit UTM Press Centre for Community & Industry Network - CCIN Innovation & Commercialisation Centre - ICC University Laboratory Management Centre - PPMU Institut Sultan Iskandar - UTM-ISI

Get the latest news & events

Customer Satisfaction Index