CFiRST UTM & Cordoba Leadership Center Meterai Perjanjian Persefahaman, Perkasa Inovasi Pengajaran Al-Quran
KUALA LUMPUR, 20 Januari 2026 – Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama Cordoba Leadership Center Sdn Bhd (iLuvQuran) dalam satu majlis menandatangani dokumen kerjasama yang berlangsung di Bangunan Menara Razak, UTM Kuala Lumpur (UTMKL).
Majlis menandatangani perjanjian ini diserikan dengan kehadiran Pengarah CFiRST, Prof. Madya Dr. Aminudin Hehsan serta Ketua Projek, Dr. Zilal Saari. Cordoba Leadership pula diwakili oleh Puan Nur Zahirah M Sukran (Pengarah Urusan) dan Puteri Nur Suraya Binti Zainal Abidin (Bahagian Pembangunan Undang-Undang dan Perniagaan).
Kerjasama ini memperkukuh komitmen kedua-dua pihak untuk memartabatkan pengajaran dan pembelajaran Al-Quran secara lebih tersusun, kontemporari dan berimpak, khususnya melalui pembangunan latihan, modul, serta ekosistem pembelajaran yang menyantuni keperluan pendidik Al-Quran masa kini.
Antara peluang kolaborasi yang dirangka termasuk:
- Pembangunan dan pemantapan modul latihan pengajaran Al-Quran yang lebih sistematik, praktikal dan mudah diaplikasi mengikut kumpulan umur pelajar.
2. Pelaksanaan latihan peningkatan profesional (upskilling) untuk guru Al-Quran dan penyedia perkhidmatan pengajaran Al-Quran melalui pendekatan digital dan pembelajaran kendiri berpandu.
3. Penghasilan kandungan pengajaran serta nota rujukan yang membantu pendidik meningkatkan kualiti bacaan, hafazan dan kefahaman Al-Quran.
4. Penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkukuh inovasi PdP Al-Quran, termasuk penambahbaikan reka bentuk pelan pengajaran yang menekankan nilai, adab dan mesej Al-Quran.
5. Pengukuhan jaringan kerjasama universiti–industri sosial bagi memperluas manfaat kepada komuniti pendidikan Al-Quran di Malaysia.